Tuesday, November 18, 2008

Percaya atau Tidak?

Phew! Dua daripada 5 masalah aku selesai malam ini. Dan mungkin malam ini antara malam terbaik perkumpulan kami - maksud aku sejak aku kenal kalian - Najwan, Adi, Afif dan Saifullah.

Dari cerita forum ekonomi di bilik seorang peguam, kami beranjak ke kedai nasi lemak di Bangsar untuk cerita-cerita separa santai dan bermanfaat untuk kami sebagai anak muda, insyaAllah. Aduh, kena sediakan duit lagi untuk buku.

Dalam proses di kedai nasi lemak ini, bersama kami ialah peniaga yang hidupnya diuji keras selepas memilih syahadah. Kami hanya tahu ini selepas dia berlalu. Sebelum itu kami panjang bercerita tentang Malaysia, Obama, Anwar, UMNO, Ezam dan Tok Ayah. Aku pasti arus bawah di sebalik apa yang dilihat ramai dalam realiti hidup terlalu kompleks untuk dimengertikan. Dalam pandangan libertarian, mungkin ini kekuatan pasaran (cewah, selit juga tu!).

Siapa sangka manusia boleh berubah? Tapi percaya atau tidak bahawa ada manusia yang tidak percaya. Sebab itu kata kunci kepada perubahan ialah komunikasi. Dalam komunikasi ada maklumat. Dalam maklumat ada ilmu. Dalam ilmu ada makna. Dan ketibaan makna inilah barangkali cuba digarap oleh Prof. Syed Naquib al-Attas. Tapi apabila merenung semula Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, aku fikir pandangan Pak Khalid punya asas - kerana Prof. Syed Naquib menolak mentah apa yang disifatkan tidak memberi makna. Tidak hairanlah Pak Khalid sangat menguasai perdebatan panjang yang sering diusulkan kami - anak muda - saat kami sering bersama.

Ya, komunikasi. Kalian tentu ingat peristiwa seorang artis wanita putus kasih dengan boyfriendnya (yang khabarnya berminat masuk Islam). Di sana kata kunci ini berperanan. Wanita itu mengawal komunikasi massa - biar I yang handle katanya.

Ini bukan cerita gosip. Mana-mana diktator cukup takut dengan seruan media bebas. Dan hakikat kewujudan internet sebagai arus komunikasi telah meruntuhkan banyak tembok yang menggelapkan makna di sebalik komunikasi terbatas selama ini.

Lihat, lihat. Di sana ada hubungan antara isu politik yang kalian mungkin tidak minat dengan isu peribadi. Situasi berbeza tapi nilainya sama. Dan dalam lambakan maklumat dalam arus komunikasi, apa yang kalian pilih sebagai kebenaran?

Di sanalah tingginya kepentingan periwayat dan dalam konteks akademik ditunjukkan dalam citation. Sebab itu, aku sentiasa fikir bahawa keadilan itu sangat penting.

Bagaimana kita menangani isu tanpa keadilan? Berbalik kepada entri pentingnya keadilan - peluang untuk membela diri dan melengkapkan puzzle ini sangat penting. Mereka yang tidak mahu puzzle ini lengkap sudah tentu akan mengawal sistem komunikasi. Sistem adu domba hanya muncul dari komunikasi yang penuh halangan.

Sikap aku? InsyaAllah di mana-mana aku sediakan diri untuk diadili. Panggil saja siapa yang mahu menuduh aku apa-apa dan panggil aku bersama. Masing-masing punya bahan bukti untuk mempertahankan diri.

Kenapa takut? Kerana di sebalik komunikasi yang adil terkendong makna dan makna ini mampu menukar keyakinan pada sesuatu kebenaran yang diambil.

Hati-hati dengan perangkap besar dalam hubungan sesama manusia ini. Ia boleh membunuh anda secara senyap.

No comments:

Post a Comment