Aku masih ingat dulu (zaman tak boleh tidur dan sakit dada memikirkan banyak 'hutang' aku pada umat yang tak terlangsai). Ada terlalu banyak persoalan yang aku fikirkan dan tidak mampu aku jawab.
Rupanya 'sakit dada' ni bukan hanya dialami oleh aku. Seorang kawan aku yang tinggal satu dorm juga mengalami nasib yang sama. Mungkin kami mempunyai pengalaman yang sama - membesar dalam kepayahan tetapi selalu syukur dengan takdir Tuhan - maka kami selesa tidur tak beralaskan tilam, tetapi hanya tikar. Tilam jadi tempat aku letak buku-buku dan pakaian.
Pernah waktu Kay datang berborak dengan aku di bilik pada waktu tengah malam berasa terkejut. Rakan aku yang tidur tak beralaskan tilam ini mengigau sedang berkhutbah dan terselit bacaan hadis sambil mengingatkan manusia akan kebesaran Allah s.w.t.. Waktu itu, air mata aku bergenang. Khairani, entah apa kau buat sekarang? Semoga ada lagi waktu-waktu untuk kita bicara tentang kesakitan hidup dan rasa kasih pada umat dan akhirat. (Aku sangat rindukan kalian saat ini).
Dakwah
Pada hujung minggu yang lapang, kami akan keluar berdakwah di sekitar Serdang, Bangi, Kajang dan Hulu Langat. Aku tak pasti sama ada terma dakwah di sini ialah sama macam biasa kita semua fikirkan. Dakwah mungkin berbunyi 'mengajar orang lain'. Tapi kami diajar untuk keluar berdakwah untuk membaiki diri kami sendiri. Ya, sebab itu aku tak ralat jika mahu ikut berdakwah. Aku sentiasa melihat keperluan membaiki diri sebagai bahagian yang aku dapat darinya. Peduli apa orang nak kata, aku gembira dengan kasih sayang yang hidup dalam hubungan kami. Tak pernah kami membiarkan antara kami jatuh tak beralas.
Terima kasih untuk linangan air mata kalian saat berdoa untuk kebaikan umat.
Ya Allah, Kau pandanglah kami dengan pandangan rahmat dan kasih-sayang-Mu, janganlah Kau pandang kami dengan pandangan kemurkaan-Mu. Kami umat yang jahil ya Allah, kami tak pandai berdoa ya Allah. Kami hanya harapkan kasih sayang-Mu ya Allah. Yakinkanlah kami dengan sebenar-benar yakin bahawa kami hanya ada Kau sebagai tempat mengadu nasib.
Dorm
Kami berkongsi duit untuk masak (curi-curi) dan selebihnya kami sentiasa memastikan ada minuman panas dan biskut pada waktu tengah malam. Maka dorm kami akan penuh orang datang tumpang belajar (hehe, aku tak tahulah kalian ada niat sampingan dapat minum dan makan biskut kering percuma).
Kami ada mesyuarat harian pada pukul 1030 malam untuk membuat beberapa keputusan ringkas tentang hal masing-masing. Ia tidak mengambil masa lama kerana biasanya jadual menjaga kebajikan dorm dan penghuninya itu ditetapkan setiap minggu. Selepas mesyuarat kami akan susuli dengan bacaan kitab hadis atau tazkirah ringkas untuk 5-10 minit. Masing-masing mengambil giliran untuk hal ini. Pengunjung dorm kami pada mulanya ada yang segan-segan. Mereka hanya datang dorm kami sebelum dan selepas mesyuarat bilik dan bacaan kitab. Tapi lama kelamaan mereka juga suka ikut bersama.
Buku
Berbalik kepada persaoalan yang tak berjawab, entah kenapa aku diilhamkan untuk membeli dan membaca beberapa buku (baca: sebahagiannya kitab dalam pengertian masyarakat) yang akhirnya menjawab persoalan aku. Ya Allah, sungguh Kau Maha Mendengar.
Jujurnya, kegiatan aku dalam urusan 'pure dakwah' (ini terma aku) mungkin tidak lama - sekitar 3-4 tahun. Tapi ia cukup kuat memberi kesan kepada kehidupan aku. Sebenarnya di saat aku lemah, aku sangat rindukan masa-masa aku 'pure uzlah'. Namun aku harus pragmatik. Aku punya tuntutan kerja dan tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Aku harus pandai sendiri mencari masa untuk 'pure uzlah' ini.
Aku yakin, Kau Maha Mendengar Ya Allah...
Tuesday, November 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment