Pernah sebelum ini aku bertukar pandangan dengan seorang teman yang aktif di UKM. Dia adalah seorang pelajar undang-undang berbangsa Cina, tapi semangat Malaysia kami lebih tinggi dari semangat bangsa bila berbicara isu kenegaraan.
Antara elemen yang membina faham libertarian ialah Rule of Law atau Kedaulatan Undang-Undang. Sebab itu bila DS Anwar mengungkapkan kepentingan Pasaran Bebas ini bergerak seiring dengan Kedaulatan Undang-Undang, aku senyum dan menjadi minoriti kecil (sekitar 10 orang) yang bertepuk tangan di Universitas Indonesia tempoh hari.
Rakan-rakan sering merasa aku melebihkan Libertarian berbanding sepatutnya aku menyebut saja Islam jika benar ia ada dalam Islam. Aku memilih sikap berbeza. Bagi aku umat Islam harus ada rasa rendah diri dan berterima kasih kerana hari ini yang banyak kelihatan ialah usaha Barat berterusan meneroka lapangan ilmu akhirnya menemukan banyak kecantikan yang sebenarnya digagaskan dalam ajaran Islam. Maka, pada aku, aku akan memberi kredit kepada mereka yang berusaha. Usaha mereka adalah sesuatu yang Islami dan tindakan kita mencuri kredit ini hanya menunjukkan satu lagi sikap buruk umat Islam dalam menangani realiti yang ada.
Sungguh, aku berharap dapat menjadi seorang philantropist yang berjaya menunjukkan bagaimana nilai Islam dapat menampung lompong yang mungkin wujud dalam pandangan libertarian misalnya dalam hal pemilikan harta Islam meletakkan syarat 1) halal dan 2) ia tidak bersifat zalim seperti manipulasi dan penipuan. Aku berkeyakinan bahawa aku punya kekuatan untuk bertegas kepada diri sendiri dalam perihal adil dan zalim melibatkan kepentingan ramai malah dalam hal pertelingkahan individu ini. Tapi aku cukup sedar bahawa sepanjang aku membesar, aku akan diuji Allah s.w.t. pada setiap keyakinan ini. Semoga harta tidak melalaikan kita sebagai manusia meski ia dituntut.
Dalam kenyataan aku pada sahabat aku tersebut, aku menolak definisi Kedaulatan Undang-Undang yang digarap berasaskan Negara Moden (Modern State) sebagai mana diutarakan Karl Marx dan Adam Smith. Sudah tentu aku tidak menolak bahawa dua tokoh dari aliran yang mendominasi pemikiran di Barat ini sebagai sesuatu yang memperkaya pandangan kita. Untuk aku, Sahifah Madinah adalah sumber penting persoalan Kedaulatan Undang-Undang.
Sahabat aku cuba menjelaskan bahawa salah satu unsur penting Rule of Law ialah pemisahan hal ketuhanan dan hal kemanusiaan. Aku pilih berbeza pendapat dengannya kerana pada hemat aku, Kedaulatan Undang-Undang ialah satu kepercayaan bahawa wujudnya satu kuasa yang lebih tinggi daripada manusia di mana semua manusia tertakluk kepadanya (hujahan lebih tepat boleh didapati di sini).
Ramai yang menyalahkan sikap tamak dan menudingnya kepada kapitalisme. Justeru aku bertanya adilkah kita menyalahkan Islam jika ada umatnya yang membuat kerosakan? Tentunya kita sebagai umat Islam sensitif dan mahu menjawab TIDAK! Malah bermatian mengatakan agama ini beerti selamat malah kita dianjurkan untuk berkasih sayang. Pada waktu yang lain kita membuat perisytiharan mutlak bahawa Yahudi dan Nasrani adalah musuh kita selamanya! Aduh, ampunkan kejahilan dan sikap angkuh kami ya Allah.
Benarlah jalan terbaik ialah bersederhana. Kita tidak akan mampu mencapai keluasan ilmu Allah s.w.t.. Yakinlah, dalam pencarian ilmu Allah s.w.t. mencampakkan banyak kebaikan pada sikap sabar dan tidak berlebihan dalam mencari. Ada sesuatu yang terilham di fikiran aku saat aku mahu menulis ini - bahawa manusia yang kuat itu ialah manusia yang sedia meletakkan sesuatu piawai yang adil di mana mereka sendiri tertakluk kepada keadilannya saat mereka atau orang yang mereka sayang mungkin berlaku silap dan salah. Di sinilah tingginya kata-kata "jika Fatimah r.anha mencuri, akan kupotong tangannya" seperti yang diungkap oleh Rasulullah s.a.w.. Ia lebih tinggi daripada hujah politik seorang teman yang membela Tun Dr Mahathir dulu ketika kami cuba berdiskusi dingin "Kalau kita jadi ayah, takkanlah kita nak biar anak kita bankrap?". Teringat kata-kata Saidina Ali k.w. tentang ungkapan yang benar tetapi bermaksud batil.
Sesungguhnya pesan ini untuk diriku terlebih dulu kerana mata ini yang sedang memerhati tiap kata yang tertulis dan telinga ini mendengar ulang baca yang terzahir dari mulutku.
* Manusia, sehebat mana pun kamu, ke liang lahad juga akhirnya. Semoga aku dan kamu (para pembaca) mengerti tentang apa itu keadilan dan kenapa kita harus tegas tentangnya.
** Manusia, di balik himpunan dosa, hati tak mampu menipu tentang kehadiran Tuhan. Sesungguhnya solat itu mencegah fasya' dan munkar, sudahkah kita memahaminya?
Tuesday, December 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment