Monday, November 17, 2008

Tulisan yang aku baca?

Sejak blog aku ini berubah corak, maka aku mahu menulis apa jenis blog yang aku baca?

Jujurnya aku tak memilih. Aku suka singgah di macam-macam blog sama ada pengisiannya childish, berat, bersifat jurnal harian atau apa saja. Lihat saja blog lama aku di tumpang muda - agak berat, blog di amin ahmad - santai dan blog di FHR3616 - separa akademik.

Pokoknya aku suka bila ia bicara jujur meskipun dalam bahasa yang diolah berbentuk fiksyen. Dalam banyak-banyak blog aku suka:

1) Blog Ustaz Hasrizal - ini blog yang mengungkap bahasa dakwah yang penuh ketelitian. Aku rasa mesej Abu Saif sering mudah sampai pada aku kerana banyak isu yang disentuhnya sangat rapat dengan pengalaman aku. Dalam sms aku dan dia beberapa kali, Abu Saif kekal menjadi manusia biasa yang luar biasa di pandangan mata aku. Aku percaya tanpa keluasan pengalaman, ketinggian akal-budi, ketinggian sabar dan kedalaman sapere aude, tak mungkin ia mampu digarap. Terima kasih Ustaz!

2) Tulisan Buddi Hikayat atau Hasmi Hashim. Aku kenal Hasmi semasa hidupnya susah (dari pandangan mata aku la). Seorang pelukis dan penulis sambilan yang makan seharian belum tentu cukup tapi tekal. Sejak dulu ucapan, tulisan dan sembang kami, dia sentiasa membuatkan hati aku bergetar. Aku percaya tanpa kesakitan dan kepayahan hidup yang dihadapi dengan rasa sabar dan keyakinan kepada ketinggian maksud Tuhan memuliakan manusia, ia tak mampu digarap. Terima kasih Hasmi.

3) Tulisan yang mencabar pemikiran aku. Aku sentiasa menetapkan bahawa rasionalisme aku boleh dicabar dan aku sedia berubah. Aku percaya kepada bidalan ular menyusur akar tak hilang bisa, resmi padi menunduk dan sintesis. Kadangkala kenyataan aku seperti berbunyi angkuh, tapi insyaAllah untuk kawan-kawan yang sangat rapat dengan aku misalnya Afiq, Najwan dan Afif - aku mungkin antara yang paling tak mahu pandangan aku diterima bulat-bulat tanpa dicabar. Ia sebenarnya proses berfikir. Ini mungkin kesan aku bergaul dengan kelompok yang kuat sapere aude-nya. Terima kasih untuk pengalaman hangat dalam arus Reformasi berasaskan idea (maaf terlalu ramai yang menyumbang di bahagian ini).

4) Aku suka tulisan santai yang jujur menyampaikan rasa hati dari hidup sehari-hari. Ia mungkin bentuk Jibunshi yang tidak tersusun. Entah kenapa, biar selekeh mana pun tulisan itu, seakan kejujuran padanya berhubung dengan perasaan aku. Lebih-lebih lagi tulisan yang menunjukkan penghargaan besar kita kepada ibu bapa, keluarga, kekasih dan kawan-kawan. Kadangkala ini mungkin boleh menjadi reverse psycho kepada nilai negatif yang bisa ditemukan di mana-mana.

5) Aku suka tulisan yang ada nilai bergurau tak semena-mena. Blog 13 May mungkin ada elemen ini tapi awas, ia boleh dianggap offensive bagi pejuang feminisme.

Dalam kata ringkas - kreatif, ada nilai pragmatik dan menambah nilai dalam hidup.

Sebenarnya dalam hidup kita, aku rasa tak ada yang boleh kita persetujui 100%. Bagaimana kita menangani hal ini? Jujurnya aku bersyukur kepada Tuhan atas pengalaman hidup aku yang rencam dan sebahagiannya bila fikir-fikir balik macam tak percaya. Dari keluasan ini (yang tentunya aku percaya setiap pengalaman kita unik), aku belajar untuk tidak cepat menghukum, percaya akan potensi positif dinamisme manusia dan rasa mahu menghargai semuanya.

Kawan-kawan di kampus selalu kata orang banyak mengambil kesempatan dari sikap baik aku. Ya, aku tak nafikan malah kadang-kadang luka di hati tu ada juga. Tapi aku percaya tidak sedikit juga mendapat manfaat dari cara baik aku. Akhirnya, aku percaya nilai apa yang kita pegang dalam bertindak menentukan proses panjang kehidupan.

Teringat pula baju yang aku hadiahkan kepada adik aku (seorang OKU) "People, people, why are we fighting?".

* Sebenarnya kalau korang buka semua klip video yang aku attach kat bahagian hiburan di blog ni..korang akan tahu aku ni jenis macam mana. Tapi sajak-sajak tu sila abaikan kerana Jimadie kata aku ni sesuai dengan Rendra (dibetulkan semula).

2 comments:

  1. Bila aku cuba letak karya Mas Goen dan Rendra, maka aku percaya kau maksudkan Rendra :)

    ReplyDelete