Monday, April 27, 2009

Bila Dua Tuan Guru Berbeza Pendapat Secara Terbuka

Aku rasa lucu pun ada, sedih pun ada. Kedua-dua atas sebab yang sama.

Perbezaan pendapat dua Tuan Guru yang agak popular di kalangan rakyat (kerana terlibat langsung dengan politik) kini telah jadi bahan perdebatan sempena pemilihan PAS tahun ini. Dari komentar-komentar yang berlangsung, ia menunjukkan isu ini isu serius yang mesti ditangani PAS.

Entah kenapa aku rasa ia tidak sepatutnya menjadi begitu serius meskipun jika tidak ditangani dengan baik ia boleh memberi dampak yang serius.

Pada aku mudah saja - terimalah ini sebagai satu proses demokrasi yang sihat. Memang dalam liku gerak kerja berpasukan, fasa Storming adalah fasa yang getir. Ia fasa yang akan menentukan sama ada persaudaraan dan norma yang dibentuk selama ini cukup ampuh atau tidak untuk mengusung agenda pasukan.

Menuju demokrasi matang, kita tak akan dapat mengelak dari perbezaan pendapat dan itu adalah satu rahmat buat aku. Ulama' mazhab semuanya tidak mahu bersama kerajaan dan ada yang mengisytiharkan secara terbuka bahawa pandangannya tidak layak dijadikan sumber paling autoritatif dalam proses hukum. Mereka ini adalah mereka yang takutkan Tuhan asbab kelemahan mereka.

Ia berbeza, sangat berbeza dengan kemahuan galak orang ramai atas nama agama mahu mewakili Tuhan. Di sanalah mulut lancang memanggil orang sesat, syaitan, kafir dan sebagainya. Lebih malang lagi bila ia dihambur kepada saudara seaqidah yang berbeza pendapat dari hal urusan umat.

Aku tak tahu sama ada ini produk usrah yang tepu atau memang sikap kita manusia yang sentiasa mahu berada di zon selamat dengan mengisytiharkan sempadannya dan melihat mereka yang melebihi sempadan ini sebagai sesat sedangkan si pembuat sempadan itu sendiri tidak yakin ia benar-benar sesat.

Hujah pendokong muqabalah dengan UMNO ada justifikasi dan begitu juga hujah penentang mereka. Tapi yang bermasalah tentu saja apabila perbezaan ini mahu ditangani secara autoritarian dan bukan demokrasi sebagai cara. Mungkin mereka yang mendengar demokrasi ralat kerana istilah itu dikatakan "asing dari istilah Islam". Mungkin, siapa tahu? Dan mereka seolah-olah rela dengan penolakan demokrasi sebagai cara sekaligus membiarkan autoritarian sebagai "nilai yang memang dari Islam".

Fikir-fikirlah.

Ada garis besar di sana yang akan menentukan sama ada PAS akan menjadi parti terbilang di Malaysia atau sebaliknya.

Untuk aku, tenang-tenang saja. Perbezaan kedua Tuan Guru itu tidak lebih hanya satu proses muhasabah dinamika Fiqh Siyasah yang luas dan juga latihan berterusan untuk ahli memahami seruan ketelusan, keterbukaan, kebebasan dan keadilan yang selama ini dituntut.

Dari aku yang tidak faqih dan tak pasti tentang nasib di hari pembalasan.



3 comments:

  1. Salam,

    saya rasa mungkin kerana status kedua2 tok guru yang semacam cult figure itu

    kedua2 mereka mempunyai pengikut sendiri dan berpihak - dalam erti kata pendapat sebaliknya harus salah - hanya hitam dan putih

    tambahan pula dengan cerita kewujudan apa yang dipanggil puak Erdogan dan juga puak ulama' yang mana juga semacam diwakili oleh kedua2 tok guru.

    saya kurang arif tentang produk usrah pas, tapi ada juga kedengaran cerita yang kurang enak

    wallahua'lam

    ReplyDelete
  2. Aedi,

    jika PAS gagal mengambil isu ini secara positif, PAS akan jadi tidak relevan utk beberapa waktu sehingga mereka memahami beza apa yang penting dan patut didahulukan.

    saya kadangkala kasihan. saya kenal ramai kawan2 dan ustaz PAS yg baik2 dan terpecaya. tapi baik saja tidak cukup untuk membawa negara dan Islam ke depan.

    ReplyDelete