Lompat parti tidak sepenuhnya tidak beretika. Betul, jika ia dengan tujuan (causes) yang baik logiknya bagus. Ada beberapa perkara yang aku fikir kita perlu jelas untuk membezakan isu di Perak dan Projek 916 yang diwar-warkan oleh DS Anwar.
Peralihan kerajaan harus melalui Perlembagaan dan Undang-Undang. Jika kita sedar, DS Wan Azizah pernah membawa usul ini di Parlimen sebelum ditolak dan DS Anwar sendiri pernah menggesa DS Abdullah membuat sidang khas Parlimen bagi membawa usul ini kemudiannya. Soal kenapa DS Anwar tidak meneruskan usul ini selepas sidang dibuka adalah isu lain yang boleh dibincang terlepas daripada isu menggunakan saluran ini.
Di mana-mana, sistem wajib adil dan diyakini adil. Namun sistem tidak bergerak sendiri melainkan digerakkan oleh manusia. Sebab itu dalam soal perjalanan sistem, penting ada timbal balik (check and balances). Dalam proses ini pentingnya kebebasan kerana di sana ada penghujahan untuk pertimbangan saksama. Meletakkan Sultan atau Agong di dalam situasi membuat keputusan sebenarnya adalah weakest point dalam sistem yang ada kini. Ya, ramai yang berpandangan latar belakang Sultan Azlan sebagai bekas Ketua Hakim tidak mungkin berlaku silap. Pada aku ini pandangan yang naif. Ya, mungkin saja Sultan Azlan mengambil kira banyak faktor lain di luar Perlembagaan dan Undang-Undang untuk membuat keputusan ini.
Penyelesaian - Malaysia perlukan sebuah Mahkamah Perlembagaan.
Persekitaran yang meliputi kes ini juga menimbulkan tanda tanya kerana dakwa dakwi yang pelbagai. Dalam realiti dua bekas EXCO dari PKR sedang menghadapi tuduhan rasuah, wujud unsur luar yang boleh mempengaruhi tindakan yang diambil. Kehilangan mereka hingga tidak dapat dihubungi malah oleh keluarga, diwakili oleh Pemuda UMNO dalam kenyataan akhbar dan pelbagai lagi nyata sama sekali berbeza dengan Projek 916 yang diumumkan terbuka.
Walaupun keyakinan ramai terhadap Projek 916 hanya berpaksikan harapan kerana jumlah sekitar 30 orang bukan angka yang kecil dan mudah, ia tidak wujud dari persekitaran yang boleh diragui selain mood perubahan yang ada pada waktu itu.
Apabila ada yang cuba menyamakan situasi di Perak dengan Projek 916, kita harus jelas bahawa Perlembagaan dan Undang-Undang sangat penting kerana kebebasan kita dikawal olehnya secara langsung dan tidak langsung. Pada aku, tindakan Pakatan Rakyat membawa isu ini ke mahkamah adalah satu tindakan demokratik. Tindakan rakyat menyatakan bantahan juga adalah demokratik.
Namun, melontar batu dan menghina Sultan dan Agong pada aku adalah di luar tata susila yang wajar. Kita boleh memahami bagaimana emosinya perasaan yang ada tapi kesabaran tentu lebih baik. Apa yang perlu ialah rakyat mesti membela Sultan agar tidak dipolitikkan sebagai membelakangi Perlembagaan dan Undang-Undang. Sultan dan Agong mungkin silap tetapi tidaklah bermakna mereka harus dihina.
Aku pun bukanlah sokong monarki sangat...cuma memberi ingat agar kita berpada-pada. Jika politik sampai menghilangkan akal-budi, kita patut lekas insaf ke mana nak dibawa Malaysiaku tercinta?
Friday, February 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment