Saturday, February 28, 2009

A “bunga tahi ayam” by any other name will not smell like a rose.

Jika kita ingat kes baju besi, Saidina Ali k.w. r.a. kalah dalam perbicaraan dan memulangkan semula baju besi itu kepada tuannya. Betapa tinggi nilai kedaulatan undang-undang dan betapa santunnya nilai kepimpinan yang ditunjukkan oleh Saidina Ali k.w. r.a..

Dan di sana, tidak pasti sama ada wujud gesaan Saidina Ali k.w. r.a. turun dari kerusi khalifah disebabkan oleh isu ini. Jika zaman sekarang, sudah tentu ramai yang mahu menggesa beliau turun kerana moralnya beliau kalah dalam perbicaraan.

Sebab itu aku rasa kita mesti tahu berehat sebentar dan menekuni tiap permasalahan yang dihadapkan kepada kita pada hari ini. Rasuah dan salah guna kuasa bukanlah sesuatu yang kita harapkan daripada mereka yang dibayar gaji dari cukai rakyat dan juga mereka yang dipilih melalui peti undi.

Tidak timbul soal kerajaan bagi gaji dan buat itu ini kerana sumber asalnya semua ini berjalan bukan kerja 2,3 kerat manusia melainkan masing-masing ada peranan masing-masing.

Kita maklum ada pekerja yang malas dan pekerja yang rajin. Pekerja rajin sebenarnya tak perlu rasa terusik pun dengan kritikan sinis. Pekerja yang tak rasuah sepatutnya gembira bila ada pembongkaran rasuah rakan sekerja atau pegawai mereka kerana mereka inilah kudis pada sektor awam dan pekerja jujur ini tidak berani melaporkan kerana 'jaga periuk nasi'.

Tak tahu sejauh mana undang-undang kita telah menyelamatkan 'whistleblowers' dan sejauh mana tegasnya kita terhadap kedaulatan undang-undang yang juga menjadi sebahagian peruntukan dalam Rukun Negara. Perasuah tidak taat Rukun Negara yang pertama lagi - kepercayaan kepada Tuhan! Jika mereka taat mereka tentu faham hadis nabi s.a.w. tentang pemberi dan penerima rasuah akan dimasukkan ke dalam neraka!

Kita harus tuntut ketelusan dalam kerja...sampai satu masa kita harus berani katakan, meski pada mereka yang punya talian darah dengan kita bahawa - cukuplah, takutlah pada Allah s.w.t. dan hadapilah kesan daripada perlakuan salah anda.

Keadilan tidak harus selektif.

Terima kasih Tunku Aziz yang memang dikenal ramai dalam perjuangan panjang Transparency International memerangi rasuah.

Terima kasih juga kepada Tuan Guru Nik Aziz untuk kenyataan ini. Semoga kita lebih berani dalam membezakan prinsip dan ketidakmatangan yang kita tempa sendiri untuk diri kita.

No comments:

Post a Comment