Waktu kecil dulu mungkin kita (atau hanya aku? mustahil!) pernah mimpikan sesuatu dari masa depan. Sedar atau tidak impian kita banyak didorong oleh persekitaran yang membentuk (pandangan) kita.
Aku rasa Alfred Adler dan Sigmund Freud ada benarnya dalam mengungkap pengalaman zaman manusia membesar dan bagaimana mereka menghadapi hidupnya kemudian. Cuma aku kurang berminat dengan Freud - ah, aku konservatif barangkali? haha, liberal konservatif?
Jika kalian baca pengalaman dari sebelum tadika sampai ke darjah 5, setakat yang aku tulis tu, ia sebenarnya tak cukup menggambarkan perasaan sebenar aku. Ya, mungkin kesukaran dan kesakitan hidup pada akhir 80-an dan awal 90-an itu berbeza dengan realiti masa kini. Dulu mana ada internet apa bagai ni.
Aku tak tahu. Tapi ramai orang berpendapat teknologi telah memakan sebahagian daripada apa yang mereka anggap nilai budaya. Mungkin.
Isham pernah tulis bagaimana fenomena SMS telah mengambil sebahagian daripada kemesraan hidup keluarga. Itu baru SMS. Aku yang buta IT dan hanya berjinak ala-kadar dengan dunia teknologi pun dapat rasakan sedikit sebanyak kesannya kepada nilai budaya.
Ah, tapi aku tak salahkan itu. Aku selalu beranggapan nilai budaya lama itu baik. Ia buat aku rasa rindu dan gembira. Dan mungkin itu yang menyebabkan manusia jadi konservatif? Mungkin.
Tapi menyalahkan nilai budaya baru pada aku tidak tepat sepenuhnya. Budaya perlu mesra dengan perkembangan zaman. Dan kemesraan ini tidak sepenuhnya menanggalkan nilai lama. Yang ada mungkin pengambil bentuk baru. Macam air barangkali...mengambil bentuk bekas yang menakunginya.
Hurm, sedikit sebanyak zaman kanak-kanak aku, walaupun aku belum tulis lanjut tentang darjah 6, membentuk perasaan aku.
Kasih aku pada mereka yang susah (dan ia selalu buat aku simpati pada sosok kiri dalam dunia ideologi), suka aku pada orang-orang kaya berhati mulia (dan ia buat aku nampak bagaimana sosok kanan yang ideal harus bergerak) serta benci aku pada mereka yang wewenang persoalan masyarakat (dan merdeka individu aku bergerak dalam puing interdependent).
Impian selalunya ideal. Kau mahu selalu jadi yang terbaik dalam soal hidup. Dan apa yang terbaik pada kau ini selalu akan kau cuba pertahankan.
Soalnya, yang baik pada kau belum tentu baik pada orang lain dan realiti ini yang selalu memaksa kita sabar.
Ah, kadangkala yang ideal itu bukanlah kita maksudkan bahawa esok dunia akan berubah. Cuma konsep dan prinsipnya harus jelas justeru kita tahu mahu ke mana akhirnya. Sebab itu kebenaran ada pada sabda Rasul s.a.w. tentang mereka yang bijak.
Dalam hidup aku mungkin orang terakhir yang mahu lekas berhukum. Kau akan lebih tahu jika kau kenal aku betul-betul. Aku terlalu kuat dibentuk oleh apa yang aku percaya tentang potensi manusia dan kuasa persuasif. Ah, ideal barangkali?
Entahlah, yang penting aku tidak sanggup mulut aku mencampak kau ke neraka. Dan mungkin dari ketidaksanggupan aku ini sebenarnya membiarkan kau. Malah, mungkin ia membiarkan aku juga!
Aku tak tahu. Aku hanya percaya semua manusia mahukan hidup yang lebih baik. Maka dari persetujuan itu aku yakin kita mampu mengolah sesuatu - tentang apa yang baik dan apa yang tidak baik. Sama ada ia boleh dicapai dalam masa terdekat atau panjang, malah mungkin kita tak sempat menikmatinya, kita harus bermula dan pastikan ia dibincang terus serta diwarisi. Maka, di sana demokrasi sebagai alat jadi penting.
Ada mereka yang suka dengan kebebasan bersuara. Aku juga setuju. Tapi mungkin persetujuan kita pada konsep yang sama ini berbeza dari sudut impelementasinya. Pokok pangkalnya secara prinsip kita harus setuju.
Ada antara kita yang tidak setuju, malah bantah keras jika kuasa pemerintahan Melayu itu beralih ke tangan bangsa Cina atau bangsa India. Secara prinsipnya Rasulullah s.a.w. itu bukan warga Madinah pada asalnya. Justeru, apa prinsip yang kita mahu pegang?
Ya, sebenarnya tentang pemerintahan, kepimpinan dan sebagainya ialah soal kualiti. Justeru, propaganda dengan basis soal kaum untuk aku tertolak. Ia soal nilai. Dan jika mahu disandarkan pada nilai...jelas Melayu pada Perlembagaan itu berani mengambil nilai Islam yang tentunya disandar pada taqwa. Pada pengalaman sejarah Islam, jelas Rasulullah s.a.w. mencintai keadilan biarpun ia datang dari tangan bukan Islam. Tentu saja kita lebih gemarkan yang muslim menjadi pemerintah. Justeru, persiapkanlah barisan muslim yang berupaya dan diyakini mampu berlaku adil dan bukannya suka membangkit sentimen kaum untuk kekal di kerusi kuasa.
Soal miskin, rasuah, penindasan dan sebagainya ialah soal nilai dasar.
Jika kaki kau ada luka, dan orang tunjukkan luka itu... apa molek kau bermatian mengatakan dia salah? Pergilah buat apa yang patut! Jika hanya dia yang ada ubatnya, maka apa lagi?
Aku tahu ia tidak mudah. Tapi jika nilai dasar dan prinsip yang kau pegang itu aku setuju, maka marilah senang-senang kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Jangan nilai politik sentiasa lebih tinggi dari nilai-nilai lain yang banyak.
Aku belum terjumpa di mana-mana kitab soalan Tuhan tentang Melayu atau tidak aku ini.
Dah tahu apa kau impi tentang negara kau?
Salam hormat kawan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
mmmm...
ReplyDeleteMungkin ya tidak..!
*dedar*
aku ni melayu?
ReplyDeleteklu ikut perlembagaan melayu kot, tapi xyah ngaku melayu la...nanti jangkit penyakit...
hahahaha,
ReplyDeletemartin luther king jr kata
"I have a dream!"