
Lewat tahun 2001 aku kenal seorang anak muda dari kelompok OxBridge. Namanya Adlan Benan Omar. Dia lulusan Kolej Melayu Kuala Kangsar. Dia mengambil risiko sebagai anak muda yang ditatang kerajaan untuk terjun ke dalam kancah perjuangan Reformasi di Malaysia. Namanya berlingkar di kalangan tokoh-pemikir Reformasi kerana akal briiliant. Dan sejak saat mula kenal, aku tidak ambil masa yang lama untuk mengakui kehebatan seorang Ben, begitu kawan-kawan memanggil dia.
Lama sesudah itu dia keluar parti dan berita tentang dia sayup dan hampir tidak kedengaran. Lama sesudah itu aku jumpa dia lagi di rumah lama Dato' Seri Anwar Ibrahim di Bukit Damansara, saat Anwar pulang dari Munich. Ya, dia nampak uzur.
Selang masa setahun, kami bersama dalam Forum Muda Malaysia, slot yang berbeza. Tapi Benan masih kekal brilliant seperti biasa. Orangnya sinis dan cepat mesra. Dalam pada itu, hilang Ben adalah hilang yang penuh tanda tanya. Seperti Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, dia tak mahu umum tahu sakit yang dihadapinya.
Hari ini 3.45 petang Benan telah pergi selamanya menyahut panggilan Ilahi. Pada usia 35 tahun, aku percaya ramai jadi saksi sumbangan Benan kepada negara, baik semasa dia berkhidmat dalam gerakan pelajar di UK, semasa menyumbang bakti bersama kerajaan dan juga semestinya saat menempuh gelora Reformasi.
Aku menghadapi ini dengan rasa hampir tidak percaya. Namun tulisan Benan yang ada dalam koleksi MCKK masih boleh aku tatap - bagaimana cinta anak muda kepada hidup menjadi pejuang.
Al-Fatihah untuk Benan.
Semoga yang hidup mengerti bahawa keadilan Allah s.w.t. itu sangat dekat dengan kita. Segala kezaliman dan keadilan kita dalam menempuh hidup pasti akan dihisab, biar sebutir zarah.
* Hari ini juga Tan Sri Megat Junid pergi meninggalkan semua. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment