Saturday, January 26, 2008

Perspektif 1 : 10 Tahun Reformasi

Sebenarnya aku mahu menulis 10 Tahun Reformasi ini pada 2 September 2008. Tapi nampaknya kawan-kawan sebahagiannya telah menulis lebih awal. Penulisan mereka lebih cenderung berbentuk introspektif yang dalam tentang Reformasi. Ia bukan baru kerana mereka telah lama menekankan perihal itu pada aku.

10 Tahun Reformasi untuk aku punya pelbagai perspektif.

Peristiwa 1

Saat itu aku di Tingkatan 4, 1998. Kebetulan hari pemecatan Dato' Seri Anwar aku di Kuala Lumpur, betul-betul di PWTC kerana mewakili negeri untuk Kejohanan Catur Merdeka Kebangsaan 1998. Kami menginap di Dynasty Hotel.

Entah kenapa di luar PWTC begitu ramai ahli politik Pemuda UMNO berkumpul. Katanya solidatiri untuk Dato' Seri Anwar. Aku tidak ambil pusing, malam itu kami mahu balik dan aku mahu segera berkemas selepas menyaksikan perlawanan persahabatan Malaysia-Indonesia bawah 12. Malaysia tewas 1.5-3.5.

Esoknya bila kami pulang, baru kami mengerti. Berita memaparkan pemecatan Dato' Seri Anwar dan minum pagi aku sekadar refleksi kejadian di PWTC.

Peristiwa 2

Selang beberapa lama, Dato' Seri Anwar keluar dengan mata lebamnya. Aku dan abang cetak gambar mata lebam dengan tulisan Justice for Anwar dan kami buat tag untuk dipakai. Aku pakai tag ini di sekolah. Rata-rata mood waktu itu adalah mood Reformasi dan ramai yang tersenyum melihat aku memakainya.

Tapi ada beberapa orang guru yang fanatik UMNO menempelak aku. "Kau nak kena buang sekolah?". Dia antara guru yang rapat dengan aku dan kelas Sejarah tingkatan 5 selalu jadi medan untuk aku dan dia berbeza pendapat. Tapi dia tidak lekas mahu menghukum aku. Katanya dia suka aku belajar dan dia cuma bimbangkan aku dibuang sekolah walaupun akui dia penyokong UMNO.

Peristiwa 3

Rumah aku jadi tempat beberapa orang jiran datang untuk berborak politik dengan ayah. Ayah dan emak dulu orang kuat UMNO. Ayah tegas menyatakan simpati kepada Dato' Seri Anwar dan mengingatkan orang-orang UMNO di cawangan agar tidak lekas membuat keputusan 'sokongan tidak berbelah bahagi' yang diperlukan Mahathir saat itu. Aku yang dah tahu menggunakan internet tidak putus mencetak keluar perkembangan terkini Reformasi yang aku fikir bagus untuk dikongsi. Laman Reformasi, Komentar, Sedarlah antara laman yang aku ingat sebagai laman yang banyak menyumbang kepada penyebaran isu Reformasi.

Satu hari rumah aku didatangi beberapa keluarga yang rapat. Seorang darinya menyatakan pada aku "Hang tau tak aku kena buat surat mohon maaf kepada Jabatan Pendidikan dan Sekolah sebab ambik gambaq dengan Mahfuz dalam kapal terbang masa kami pi Sarawak?"

Catatan : Dia ke Sarawak kerana mewakili negeri untuk satu pertandingan (aku tak ingat pertandingan apa, bahas ke forum ke apa ntah).

"Ambil gambaq pun salah?" balas aku.

Dia jawab "Tu la, padahal kami ambik gambaq sebab dia tu ahli politik terkenal, bukan kami nak politik pun".

Sesudah itu aku membebel panjang berkaitan Reformasi dan kebebasan yang aku faham dari pembacaan yang cetek.

Tiba-tiba pakcik aku, seorang Jutawan yang memang kami kenal sangat kuat UMNO bersuara dari ruang tamu "Hai kuat sangat Reformasi, nanti kerajaan tak bagi masuk Universiti macam mana?"

Ego aku waktu itu hanya mencebik "Tu lagi satu bukti kerajaan tak adil".

Peristiwa 4

Ada seorang guru di sekolah yang tinggal satu taman dengan aku bertanya "Bila ayah nak buat mesyuarat lagi?".

Jawab aku "Ayah dah tidak aktif dengan UMNO, mesyuarat dah lucutkan jawatan ayah kerana ayah menunjukkan simpati kepada Dato' Seri Anwar".

"Oh, saya masih UMNO" balas guru itu.

Catatan : Tidak lama selepas itu guru tersebut ada berjumpa aku dan menyatakan dia telah mendokong Parti keADILan Nasional. Bila aku risik, rupanya itu protes kerana tanah emaknya telah diambil kerajaan negeri dengan pampasan yang tidak dipersetujuinya.

Peristiwa 5

Seorang jiran aku memang terkenal sebagai guru Bahasa Melayu yang fanatik dengan agenda Bahasa Melayu. Dalam borak-borak biasa soal politik, dia kata "antara perkara yang bagus saya nampak dari peristiwa Reformasi ni ialah rakyat mula membaca dan ambil tahu".

Sebenarnya dari 5 peristiwa awal ini ada beberapa mesej yang penting dan berbeza boleh aku belajar untuk menghadapi hidup.

i. Kita akan lebih cepat belajar jika kita terlibat.

ii. Ramai orang yang baik-baik, tapi dipaksa oleh sistem yang mahu perkara tidak baik diamalkan. Dan mereka yang baik-baik ini bukanlah mahu melawan sangat, tapi lebih suka tidak menunjukkan sikap, kerana politik hanya mengenal jalur hitam dan putih, sedangkan hidup ini lebih luas dari soal politik.

iii. Sering manusia mengambil sikap mudah untuk berada dalam zon selesa, hinggalah terkena batang hidung sendiri.

iv. Manusia pada satu tingkat cenderung berlaku zalim.

v. Reformasi harus bermula dari Sapere Aude! (Keberanian untuk tahu).

Menjadi seorang sentimental bukan mudah! Reformasi sentiasa akan jadi detik yang aku ingat sebagai saat memaksa aku menjadi dewasa dan terus mencari kematangan.

No comments:

Post a Comment