Monday, January 14, 2008

Siri 1 : Masuk Universiti

Waktu itu aku di rumah tok*Esah di Keramat**. Tok tinggal dengan Mak Lang yang sakit sejak kecil. Arwah tok wan telah 8 tahun meninggalkan kami.

Aku buat keputusan untuk tinggal di rumah tok selama seminggu kerana memikirkan 28 Jun adalah ambilan pertama UTM, pastinya surat tawaran akan tiba lebih awal dan aku perlu membuat beberapa persiapan. Hari itu baru 5 Jun, ada kurang sebulan.

Sejak dari kecil, jika aku ke rumah tok di Keramat, aku sangat berharap makcik Tipah ada. Tapi makcik Tipah waktu itu tidak ada. Jadi, tak dapatlah aku berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Orang kampung macam aku bukan tahu jalan di Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi cerita jenayah yang pelbagai..nak jalan sorang-sorang jangan harap!

Duduklah aku terperap di rumah tok. Paling jauh aku akan ke Pasar Dato' Keramat. Mujur ada juadah yang pelbagai dan majalah serta surat khabar yang boleh dibeli.

Melayan kebosanan, aku minta izin pada tok untuk membuat panggilan ke Perlis, manalah tahu surat tawaran tiba di rumah hari itu. Selepas menerima jawapan negatif, aku cuba buat panggilan pada kawan sekolah, Sham. Saat itu Sham ada di Cybercafe. Mujur ayah Sham pinjamkan telefon tangan dengan nombor mula 010.

"Kau dah cek belum? Dapat tak?" tengah perbualan kami.

"Aku tak dapat lagi" kami berdua risau, kerana aku tersalah isi borang UPU, konon kerana nak menurut kata hati mahu ke UTM melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan yang agak glamour masa tu (di samping harapan agar lebih dekat dengan kekasih hati waktu itu!). Sham lebih risau kerana dia hanya lulus pangkat 2 SPM selepas mengikuti kelas tusyen khas dalam beberapa subjek termasuk motivasi, dan antara gurunya aku!

"Tolong cek yang aku" pinta aku pada Sham.

Selesai mengisi nombor kad pengenalan, Sham maklumkan pada aku "Kau dapat Diploma Perhutanan, UPM".

"Hah? Macam mana boleh dapat UPM. Aku isi semua UTM! Kau silap isi kot? Cuba cek sekali lagi" aku tak puas hati.

Selepas membuat semakan semula, nyatalah itu bidang yang aku dapat. Dan aku perlu mendaftar 7 Jun 2000! Hanya esok lusa!

Aku hubungi rumah di kampung maklumkan 'berita sedih' tersebut. Sedih bukan kerana aku akan berpisah dengan keluarga, tapi kenapa Diploma Perhutanan? Kemudian aku hubungi Pak Su minta tolong dapatkan tiket pulang ke Perlis selepas memaklumkan khabar tersebut. Aku baru 3 hari di sini...

Alhamdulillah tiket ada. Bas aku jam 1030 malam. Petang itu aku kemas pakaian. Perlahan. Hati aku rasa sangat tak best.

Selesai solat dan makan malam, paksu bawa aku ke Hentian Duta. Jam 930 malam. 6 Jun hari lahir adik aku, Naim dan orang yang aku sayang waktu itu (senang cakap awek aku la!). Sampai pagi jam 5.30 aku mandi dan rehatkan badan. Usai Subuh aku baring sekejap dan kemudian sarapan. Emak telah aturkan temujanji untuk medical check-up. Mujur emak seorang jururawat!

Selesai medical check-up, ayah bawa beli beberapa keperluan untuk dibawa bersama dan diguna semasa mengharungi kehidupan kampus. Dari kecil aku jarang meminta, sedar akan kemampuan keluarga. Tapi ayah tanya cukup atau tidak pakaian aku. Aku sebenarnya tak mahu susahkan ayah, tapi aku memang tidak ada pakaian yang cukup.

"Berpadalah dulu dengan dua pasang pakai formal" kata aku pada ayah. Lemah. Mujur keperluan sukan aku cukup, duit elaun dari kegiatan sukan dan permainan aku masa sekolah ada aku gunakan untuk lengkapkan keperluan sukan aku.

Waktu pulang aku minta dari ayah untuk turunkan aku di bandar Kangar. Waktu itu jam 4. Aku janji untuk jumpa dia sekejap sekitar jam 4.30. Sebelum tu aku mahu jumpa kawan-kawan di restoran biasa atau cybercafe di bandar.

"Balik dengan apa?" tanya ayah.

"Bas, dalam jam 5.45" jawab aku.

Entah kenapa petang itu tidak ada seorang pun rakan-rakan yang muncul. Semua bercuti kerana keputusan tawaran belum diumumkan. UPM memang awal, jauh awal dari kampus lain.
Yang ada hanya Eppy, itu pun kerana restoran di bawah cybercafe tersebut milik keluarganya.
Aku hanya tinggalkan pesan salam buat rakan-rakan, terima kasih dan minta maaf dan halal segalanya.

Eppy terkejut juga mendengar tawaran yang aku terima. Bukanlah kerana terlalu gah keputusan peperiksaan aku, tapi di kalangan kami mungkin aku antara yang di depan. Jika nasib aku begitu, mereka bagaimana?

Aku jumpa dia di perpustakaan, tempat biasa untuk dia yang cemerlang dalam SPM. Dialah sebahagian inspirasi yang memulihkan keputusan peperiksaanku. Mujur aku cukup disiplin. Soal hati tak pernah jadi bahan perbincangan untuk 6 bulan akhir persediaan aku menghadapi SPM. Usai Ragbi MSSM 1999 di Pekan, Pahang aku minta dia jadi penunjuk ajar.

Dalam proses persetujuan disiplin, aku cuma pinta dari keluarga dan dia untuk 2 perkara - 1) Masuk pertandingan catur merdeka hanya untuk peringkat negeri kerana jika tahun itu aku kekal juara, Piala Pusingan akan aku simpan selamanya - dan itulah yang aku lakukan! 2) Aku mahu akhiri perjuangan muzik - medium luah ras aku waktu itu - dengan gig yang dijadualkan pada hari akhir pertandingan catur - dan aku sempurnakan juga.

Tak sangka di perpustakaan aku jumpa jiran setaman, dihulurkan pada aku RM10 sebagai tanda ucapan tahniah. Anaknya Ketua Pengawas di sekolah kami, kawan baik aku dari kalangan wanita waktu tadika.

Kami jumpa tidak lama, tidak ada janji yang besar untuk dikota, masing-masing hanya berharap setia dan moga jumpa lagi di masa akan datang. Dia dan Erni (selalunya kami berempat dengan Sham) masih tidak menerima apa-apa tawaran. Sebetulnya aku juga tidak menerima apa juga surat, sekadar melalui internet.

Petang itu aku sampai rumah jam 6, rupanya emak buat jamuan kecil-kecilan untuk saudara mara dan jiran terdekat! Aduh, emak tak bagitau pada aku kalau tak aku akan pulang lebih awal. Banyak juga jiran-jiran menghulurkan tahniah dan duit belanja - tanda galakan. Aku terima dengan hati yang tawar, bukan kerana tak sudi tapi hati aku belum bersedia untuk semua ini.

Aku tak ambil masa lama, terus masuk ke bilik dan mengemas pakaian..air mata bergenang...

Malam itu lepas Isya' kami sekeluarga bertolak ke Kuala Lumpur. Entah kenapa bila kereta melintas port aku dan kawan-kawan menimbus masa, air mata aku tidak tertahan. Tumpah.
Aku rendahkan topi yang aku sarung di kepala..aku tak mahu sesiapa tahu perasaan aku saat itu.

Yang ada dalam fikiran aku saat itu adalah nasihat 'pujuk' Pak Su - "Ada sebab kenapa Allah s.w.t. pilih hang masuk UPM dan buat bidang Perhutanan". Itu kata yang paling aku ingat. Lain-lain pujuk Paksu tidak berbekas. Sekadar menjustifikasikan kepentingan bidang Perhutanan.

Malam itu, 7 jam perjalanan dalam kereta aku memujuk diri. Sebagai anak tunggal yang belajar di Universiti setakat ini dan membuah senyum di bibir keluarga, aku harus terus berjuang di medan ini.

....bersambung


*Orang utara biasa panggil tok untuk perempuan dan tok wan untuk lelaki. Tok Esah (Aisyah), tok sebelah ayah.

** Kini tok telah berpindah ke Subang, dekat dengan rumah Pak Njang.

No comments:

Post a Comment