Selepas tidur yang tak lelap di rumah tok Esah, kami bersiap, Subuh dan aku keluar membeli sarapan tak jauh di seberang jalan, betul-betul berdepan dengan surau di Kampung Dato' Keramat. Pukul 830 pagi aku salam tok Esah dan adik-adik sebelum naik kereta Paksu dengan ayah dan mak.
Kami tiba di UPM sekitar jam 930. Ruang parkir di Kolej Matrikulasi (nama lama bagi Kolej ke-13, UPM) penuh dengan pelajar baru mendaftar. Aku menunggu giliran di bawah khemah besar yang tersedia. Ada lebih kurang 8 kaunter pendaftaran dikendalikan pelajar lepasan matrikulasi di sana. Ambilan kami hampir seluruhnya menginap di Kolej Ke-13 kerana kolej ini dulunya menempatkan pelajar matrikulasi dan kelompok kami, SPM 1999 adalah kelompok pertama yang diambil untuk matrikulasi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (kini Kementerian Pelajaran).
Sebaik selesai urusan mendaftar dan mengambil gambar, aku terus ke bilik (sebenarnya dormitori, maklumla kolej untuk pelajar matrikulasi dulunya). Satu bilik untuk 10 orang! Memandangkan dalam keluarga aku anak pertama masuk ke universiti, kami tak banyak songeh. Hingga akhir minggu orientasi bilik aku hanya dihuni oleh 8 orang.
1. Aku
2. Firdaus Harun - lelaki perkasa, budak Hutan
3. Tariq Mubarak - lelaki kacak (nak kahwin awal bulan Februari 2008),Budak Hutan
4. Black (apa nama Black aku dah lupa!haha) - student Diploma Kesihatan Haiwan
5. Shahrul - mat rempit kacak, student Diploma Pertanian
6. Chip - mahasitua, bekas tokey ayam, Diploma Perladangan
7. Imam - mahasitua, pak imam surau kolej, Diploma Perladangan
8. Fariz - seorang lagi lelaki kacak dan sentiasa bercerita tentang aweknya,haha - Diploma Pembangunan Manusia
Kemudian aku bersama Tariq keluar berurusan dengan Pusat Kesihatan Universiti. Di situ aku kenal Ujang, budak nogori.
Selesai segala urusan, aku jumpa mak, ayah dan paksu. Pada mak dan ayah aku mohon restu dan selalu doakan aku. Aku beritahu mak dan ayah bahawa aku ingin jadi pejuang. Entah kenapa aku cukup bersemangat mahu melalui kehidupan di kampus. Selepas mendengar pesan mak, ayah dan paksu, mereka pun berlalu dan petang itu kami akan bertemu untuk kali pertama dengan semua fasilitator bagi melalui Minggu Orientasi Universiti.
Abang aku pernah beberapa kali berpesan sepanjang pengajianku akan kerisauan mak. Maklumlah kataku "harap kalau tertangkap, mak tak datang tengok dengan tangisan". Aku faham, ibu mana mahu anaknya diapakan. Mungkin itu silap aku. Tapi selalu juga aku cuba tapis kataku "insyaAllah saya tidaklah sebodoh itu untuk membuatkan diri tertangkap dengan perlakuan yang bodoh. Saya akan cuba pastikan perjuangan saya betul".
Hari itu jadi hari yang penuh makna. Hari yang memisahkan kenangan hidup yang penuh suka duka di zaman persekolahan dengan hidup yang menuntut makna pertanggungjawaban.
Monday, January 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment