
Faisal Tehrani adalah antara penulis novel yang aku simpan koleksi novelnya. Pertama kali bersua muka pada tahun 2003 di Pearl International Hotel dalam satu program anjuran IKD berkaitan Penulis Muda.
Dia punya karisma dan upaya untuk menyampaikan inti penceritaan dengan jelas. Lewat 2006 penulisannya mula dihidu sebagai berunsur Syiah dan dia menerima tekanan yang tidak sedikit dari pelbagai khalayak. Entah kenapa, kebelakangan ini aku sering rasa Faisal telah tenggelam dalam permainan The Others.
Untuk aku Faisal masih kekal dgn gaya yang memukau dalam penulisan.
Tetapi untuk mereka yang mengenal liberalisme dan pluralisme, karya Faisal melalui Tuhan Manusia ini gagal memberikan karakter sebenar mereka yang berfahaman liberal dan percaya kepada realiti jamak.
Faisal untuk aku masih gagal merobek liberal dari akarnya melainkan cubaan merobek liberal dari 'sangkaan'. Definisi yang diberikan cukup mirip dengan tulisan Dr. Siddiq Fadzil tentang isu ini dan sekali lagi, untuk aku ia cenderung bersifat 'sangkaan'.
Jika kita tengok dalam banyak komentar Faisal, beliau sering mendepankan nama John Hick sebagai pemuka idea pluralisme, dan untuk aku ia tidak cukup mewakili persoalan liberalisme dan pluralisme yang lebih besar.
Sekurang-kurangnya Faisal telah menunjukkan sikap dan telah berjuang untuknya dalam realiti kehidupan yang berunsur liberal dan plural.
No comments:
Post a Comment