Thursday, April 24, 2008

Daerah Sepi

Mulai tengah malam esok, aku akan berhenti menulis untuk sekurang-kurangnya 10 hari kerana akan masuk ke daerah sepi - Pulau Perhilitan (lama), Tasik Temenggor, Perak dan bersama aku ialah hampir 30 orang lagi teman-teman baru dan lama.

Seperti selalunya - camping, memancing, rock climbing, rappeling, kayaking, canoeing, swimming, survival dan mengajar sambil belajar teori dan praktis kemahiran rekreasi luar. Kursus ini kursus wajib yang pernah aku ikut semasa peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda dan kini sebagai pelajar master, aku mewakafkan sebahagian masa untuk berkongsi ilmu dengan adik-adik generasi baru sambil belajar dari abang-abang generasi lama yang akan turut bersama kami untuk 3 hari (almaklum mereka bekerja).

Belajar dalam bentuk eksperimen adalah sesuatu yang cukup meyakinkan aku. Ada bahagian-bahagian penting dalam pendidikan yang sering terlepas pandang dan ia tertunjuk oleh pembelajaran jenis ini. Dalam teori moden, teori ini mula disentuh oleh John Dewey, sebelum Kurt Lewin merumuskannya dan Kolb membentuk model bagi teori pembelajaran jenis ini. Dan untuk mengetahui teori ini juga penting dalam proses kita menanggapi masalah-masalah dalam kehidupan.

Ia mengingatkan aku bagaimana Pak Khalid merumuskan pertandingan intelektual antara dia dan sdr Anwar Ibrahim. Menurut Pak Khalid, sering kali pandangan beliau 'kalah' bila DS Anwar membawakan reality check kepadanya. Kalah di sini bukanlah semestinya satu penolakan prinsip tetapi sebuah idea yang baik kadang kala sangat tergantung kepada konteks dan bila kita bercakap soal konteks, dinamikanya cukup luas.

Lewat minat aku mencerap pengetahuan dan pengalaman politik, soalan yang kerap muncul ialah - apakah semangat sebenar di sebalik wujudnya apa yang dipanggil 'agama'? Soalan ini akan sentiasa muncul bila aku berdepan dengan persoalan-persoalan antara dakwah dan hukum. Dakwah selalunya banyak nilai convivencia, tetapi hukum selalunya tidak.

Daerah sepi 10 hari akan datang bukan dengan niat escapism dari realiti yang tajam dan sering tidak menentu, ia hanya elemen penyegaran - bahawa dalam diri manusia, ada lebih banyak perkara yang manusia sendiri tidak pernah tahu.

No comments:

Post a Comment