Monday, April 7, 2008

Tempias PRU-12 dan Erti Hidup Bernegara

Ada satu perkara yang penting untuk difahami, kesan dari keputusan PRU-12. Dan ia berlaku pasca PRU-12 bila kita lihat perbezaan pendapat mula mendapat tempat secara terbuka. Hanya mungkin kerana kita tidak biasa dalam persekitaran begitu, ditambah dengan sikap quick-fix, maka perbezaan pendapat secara terbuka ini dipandang sebagai sesuatu simbol kegagalan, sebagai ketidakmatangan, sebagai permusuhan dan macam-macam lagi.

Apakah sebenarnya begitu? Aku memilih untuk meraikan fenomena ini sebagai tanda awal sinar perubahan di Malaysia. Kerana melaluinya, insyaAllah hak dan kebajikan rakyat lebih terjamin berbanding sikap yes men. Dan kerana kesan kepelbagaian (atau pluraliti) inilah yang membuatkan aku rasa PKR adalah satu keperluan dalam politik negara, tanpa menafikan keperluan adanya parti-parti politik yang lain.

Mengambil pelajaran pasca 1999, kita tahu Dewan Muslimat PAS menggesa PAS kembali memperjuangkan Negara Islam dan hasilnya pakatan BA berantakan. Dialog (atau debat) yang ditawarkan Lim Kit Siang kepada TG Haji Hadi tidak bersambut, DAP juga semakin keras menolak Negara Islam, PKR gagal memainkan lebih peranan wajar saat itu malah sebahagian aktivis dakwah memilih untuk meminggirkan diri setelah 'kalah dalam pertarungan' dalam parti. Dan BN berkuasa lagi dengan majoriti terbesar dalam sejarahnya pada 2004 dan sikap angkuh mereka juga berkali-kali lebih besar.

Apa yang kita cari dalam kemenangan PRU?

PAS yang mahu menjadi tunjang Pakatan Rakyat mungkin menyandarkan sumbangan tenaga keahlian terbesar dalam pakatan. DAP menafikan kerana PAS mengutip kerusi Parlimen paling sedikit (apakah DAP bersedia untuk itu jika PAS mengutip kerusi paling besar?). PKR mungkin lebih ghairah berbekalkan ketokohan DS Anwar yang umumnya buat masa ini diiktiraf sebagai de facto kepada peralihan mood yang ada tapi kita akur sahaja kekuatan aktivis akar umbi DAP dan PKR tidak sekuat PAS kecuali di bandar barangkali. Dan hampir semua kerusi bandar dikuasai DAP dan PKR malah swing vote paling ketara adalah dari masyarakat bukan Melayu.

Adalah lebih elok ketiga-tiga parti bergerak dengan kapasiti yang ada. Karpal dan generasi DAP harus memulakan engagement ini, jauh dari mengharap DS Anwar terlibat. Masing-masing harus menunjukkan daya kepimpinan baru yang lebih pro-aktif untuk seek first to understand. PAS juga harus bergerak untuk itu dan tawaran TG Nik Aziz kepada Karpal harus diusahakan dengan lebih jitu. Kerana tawaran TG hadir sebagai jawapan kecaman Karpal, maka tawaran lebih kondusif harus digerakkan, jauh dari sikap mahu membuktikan siapa benar (baca:menang).

Jujurnya dari pengalaman aku, dialog, debat, wacana dan sebagainya lebih banyak digerakkan oleh PKR atau simpatisan PKR dengan penglibatan aktivis masyarakat sivil, tokoh-tokoh pelbagai parti. Ia tidak lain dan tidak bukan untuk memberi ruang dan menunjukkan potensi kerjasama yang lebih kuat atas semangat masing-masing berupaya membuktikan sesuatu tanpa perlu menafikan yang lain.

Pluralisme tidak beerti menerima hakikat kebenaran yang banyak. Tetapi cukup menerima kepelbagaian itu sebagai satu realiti. Keganasan ditolak, kasih sayang disemai. Menganggap pluralisme itu sebagai 'paksaan' menerima kebenaran lain (konteks paling jelas ialah agama) adalah pandangan mereka yang kalah menerima realiti kepelbagaian yang memang pilihan Allah s.w.t..

Islam-centric tidak bercanggah dengan kuasa-centric jika kita yakin dengan kaedah usul Fiqh yang banyak mengajar kita untuk membuat keputusan. Aneh, dalam banyak gesaan ke arah Islam, semakin banyak elemen tidak sedar masuk ke dalam diri aktivisnya dan semakin kuat fanatik tidak bertempat - tanpa kecuali aku!

Ya Allah, permudahkanlah. Janganlah Kau bebani kami dengan apa yang Kau tahu kami tidak berupaya menanganinya. Amin.

* Untuk mereka yang berani dari jauh mengata yang bukan-bukan terhadap Pakatan Rakyat, eloklah belajar jadi berani bertempat. Mentadbir Malaysia bukan semudah menulis buku sastera di mana kita berkuasa penuh mencorakkan segalanya (walaupun tidak realistik)!

1. TG Haji Hadi realistik
2. Penjelasan Karpal

No comments:

Post a Comment