Monday, April 14, 2008

Jatuh Bangun

Aku percaya UMNO hari ini telah bergerak menjadi PAS satu waktu dulu dan PAS hari ini telah bergerak menjadi UMNO satu waktu dulu. Dan ciri ini adalah ciri yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. sejak dulu lagi.

Eksklusiviti dan Inklusiviti. Eksklusiviti sentiasa tertolak bila ia sampai ke peringkat di mana wajah sebenar mereka ternampak. Inklusiviti sentiasa berpeluang diterima kerana di mana-mana muka bumi, majoritinya mahu hidup berkasih sayang dan menolak segala bentuk kekerasan - sama ada bersifat ragut hingga kepada perang. Eksklusiviti dan inklusiviti ini boleh ditunjukkan dalam banyak bentuk dan sering dalam bentuknya yang disalah fahami ialah konotasi yang dipilih (dan selalunya dikuatkan keyakinan ramai melalui amalannya).

Bahasa inklusif sentiasa bahasa yang segar dan sukar dibentuk. Kecenderungan kuasa adalah kecenderungan menyerap bentuk kuasa lain. Dan ini pada tingkatnya akan menghakis agenda Masyarakat Madani atau Masyarakat Sivil. Sebab itu dalam beroleh kejayaan, sebahagian YB dari PR mungkin tidak pernah memikirkan ini - bagaimana kesan campur tangan politik (baca:dalam lingkungan memperkukuh 'cengkaman kuasa parti') kepada hal-hal kuasa rakyat seperti perlantikan ketua kampung dan lain-lain. Hasilnya kerja yang bukan kerja hakiki YB pun diheret sama.

Pengalaman pemerintahan BN sekian lama telah menyerap keyakinan rakyat untuk berdikari - bahawa mereka boleh mengurus diri mereka sendiri seperti perlantikan ketua kampung dan sebagainya. Kehodohan wajah UMNO-BN kian nampak melalui penolakan mereka kepada hakikat kekalahan di beberapa negeri utama di Semenanjung Malaysia dari peringkat JKKK hingga Menteri!

Rakyat harus dididik oleh YB-YB baru bagaimana Demokrasi Liberal dan Demokrasi Sosialis bergerak dan memberi manfaat kepada rakyat. Di sana terlalu banyak nilai yang islamik boleh dilihat dan itu akan merintis jalan yang luas untuk agenda Negara Islam, jika PAS mahu terus menggunakan istilah itu. Jangan lekas jadi macam sasterawan muda (yang pada aku agak poyo walaupun karyanya aku suka baca) dalam memahami realiti. Menjadi ahli parti lebih lama bukan kayu ukur pemahaman. Aku, kau dan kita semua harus bergerak kepada satu titik engagement yang wajar dan bukan apologetik hanya kerana kita tak pandai berenang.

Aku mahu berkongsi pandangan dengan DS Anwar dalam seloroh guraunya semasa Perhimpunan Alumni Renaisans Asia di mana aku adalah sebahagian darinya - "Nik Nazmi tak apalah penat sebab dia jadi YB, tapi saya yang tak jadi YB ni penat macam mana? Semalam jumpa TG Haji Hadi, pagi ni jumpa YB LKS...". Hasil lanjut dari ayat ini diungkapkan dalam bahasa "Mereka yang menolak negara Islam dengan hujah Malaysia ditubuhkan sebagai negara sekular pun tak betul-betul faham apa yang dikatakan sekular, jadi macam mana kita nak harap sebuah kemajuan berlaku dalam masyarakat? Saya tidak mahu dan lekas untuk bergantung kepada mana-mana ideologi politik (secara tunggal)" lebih kurang begitu bunyinya.

Aku sejak bersama IKD bermula 2001 tidak pernah menjadi ahli dan ruang demokratik dari didikan IKD pada aku cukup luas malah mencabar diri dalam seluruh prosesnya. Inklusiviti sentiasa membolehkan kami mahu mempertahankan pandangan dengan rasa bebas, menyusun semula pandangan yang tidak kukuh malah buruk, belajar memahami 'bahasa lain yang asing dari nilai yang kami pegang, mencari titik pertemuan untuk mengekalkan kerjasama pada tingkat wajar dan sebagainya".

Ingat. Inklusif adalah bahasa segar dan lebih meyakinkan. Eksklusif akan sentiasa tertolak bila sampai ke tingkat wajahnya yang hodoh.

No comments:

Post a Comment