Sunday, February 1, 2009

Lompat Parti

Minggu lepas aku makan tengah hari dengan seorang kawan. Dulu dia pernah bertugas memantau pergerakan aku di kampus. Tapi akhirnya kami kini jadi kawan selepas dia benar-benar 'berkawan' dengan aku dari dekat. Waktu lain kami banyak borak tentang ekspedisi. Tapi petang itu cerita kebetulan, cerita politik semasa di Perak.

Kata dia Dato' Nasa, mantan Pengarah FELCRA dan juga ADUN Bota masuk PKR kerana kalah pertandingan peringkat Bahagian. Jujurnya, dalam politik aku tidak menolak kemungkinan ini. Tapi ujar aku mudah. Dalam realiti kerajaan pusat masih dipimpin UMNO-BN, pilihan untuk lompat ke Pakatan Rakyat bukan keputusan yang baik pada kayu ukur politik kuasa. Umum maklum bagaimana UMNO-BN menindas negeri, Yang Berhormat, parti malah penyokong parti lawan. Tanyakan saja bagaimana layanan peruntukan kerajaan Pusat kepada Kelantan. Sedangkan usaha mengeluarkan gas asli di Kelantan pun tergamak dibuat melalui Thailand, inikan pula isu yang serius dan boleh memberi kesan kepada struktur kuasa.

Yang jadi mangsa ialah rakyat sebenarnya!

Dua YB PKR dikatakan hampir pasti akan lompat parti, menjadi wakil bebas sebelum menjadi wakil BN. Mungkin. Umum maklum dakwaan rasuah terhadap mereka sedang berjalan.

Ya, dalam mengkritik mereka ini biarlah kita tidak berlebihan. Saat parti-parti politik mencari calon yang sesuai, para juruteori adalah mereka yang paling penakut sekali menawarkan diri dan meninggalkan pekerjaan yang ada. Tak pernah siapa bayangkan Pakatan Rakyat berjaya merobohkan keangkuhan UMNO-BN di beberapa tempat. Itu premis yang harus diingat. Maka, janganlah kita berlebihan dan biarlah kritikan yang dihala itu jelas.

Pada aku, pilihan terbaik ialah bubar DUN Perak dan adakan semula Pilihan Raya kecil. Pilihan Raya kecil ini mungkin akan jadi 'ibu sebenar' kepada suara rakyat semasa. Aku percaya di sana kedua-dua kelompok ini akan bermatian berkempen. Tapi ingat, demokrasi punya susun atur disiplinnya dan janganlah ia diheret menjadi medan paling sesuai untuk 'membaja' benih darurat dalam negara.

Akta Anti-Lompat Parti walaupun punya justifikasi harus benar-benar difahami. Untuk aku, lompat parti bukan perkara mudah. Ya, mungkin ada YB yang dirasuah...tapi jangan ingat semua YB semurah itu maruahnya. Dalam politik ada prinsip dan ada kaedah. Apa prinsip di sebalik pesan "ingat kehilangan Bala (penyiasat persendirian yang masih hilang selepas membuat kenyataan bersumpah hubungan Najib dan Altantuya) dan kematian Altantuya"? Ini hanya kosa kata dari politik murah, politik yang sedang dihukum oleh rasional rakyat, meskipun lewat.

Di mana-mana, sebuah regim yang terlalu lama berkuasa tidak akan mudah melepaskan kuasanya kecuali erti dan semangat demokrasi merakyat. Rakyat tidak mengundi semata-mata kerana ia kewajipan dari masa ke masa tetapi kerana tiap undi adalah tanda kita semua equal among others dan kita punya hak dari hasilnya. Baik kamu tua atau muda, baik kamu ada PhD atau hanya lulusan sekolah atap - satu undi untuk setiap mereka yang berdaftar adalah tanda kita punya hak yang sama dan tidak ada siapa harus more equal among others.

Aku terharu membaca teks ucapan Obama pada hari mula memimpin masa depan baru yang kita nantikan di Amerika Syarikat. Kerana kebebasan, seorang kulit hitam yang dulu di zaman ayahnya tidak punya hak yang sama kini adalah orang nombor satu di Amerika. Tinggi sungguh nilai ini dan itulah yang aku cuba sampaikan di sini.

Rakyat sebenarnya harus punya keyakinan baru untuk menghukum pemimpin politik yang wewenang rasuah, angkuh dan tidak punya prinsip yang jelas. Keberanian rakyat insyaAllah akan memberi peringatan besar kepada semua ahli politik tanpa mengira parti, bangsa dan agama bahawa kita telah muak dengan adu domba yang banyak tentang bangsa, agama, kuasa dan manipulasi media.

Rakyat tidak sepenuhnya salah. Memang ada rakyat yang benar-benar jujur memberi undi dengan harapan yang paling ikhlas agar YB menunaikan amanah mereka. Juga ada rakyat yang tak pernah peduli pun.

Hanya mereka yang berani akan mencipta sejarah gemilang dan mereka yang penakut hanya melorek sejarah curang.

Ya, keberanian kita yang akan menentukan masa depan Malaysia.

2 comments:

  1. Bye Bye Pakatan..

    Selamat Kembali UMNO Perak...

    Rakyat Perak Selamat Menerima UMNO kembali...

    Hanya Najib saja bole settle benda ni semua...

    tu le teman dah kabo..

    ReplyDelete
  2. Lompat sikatak Lompat

    Lompat tinggi tinggi...

    Apa Najib akan dapat..

    untuk pilihanraya kali ini....

    heh!

    ReplyDelete