Wednesday, May 14, 2008

60 Tahun Nakbah Palestin


Bencana besar, begitulah ertinya Nakbah saat tertubuhnya negara haram Israel pada 15 Mei 1948. Kenapa ia haram? Kerana ia ditubuhkan atas kezaliman dan penindasan terhadap yang lain. Demi Allah s.w.t., tidaklah Rasulullah s.a.w. membuka kota Makkah dan juga Madinah Bandar Bercahaya dengan cara zalim dan menindas melainkan konsensus dan wibawa Baginda s.a.w. yang diizinkan Allah s.w.t..
Aku masih ingat 2005, saat Jonah menghubungi aku dan kami berjumpa sekitar UPM. "Anwar akan beri pidato tentang Palestin di bangunan Kesatuan Sekerja, kau kena datang dan bawa kawan-kawan". Kami hadir dan pidato ringkas Anwar selepas beberapa pemidato lain sebelumnya cukup untuk menunjukkan bahawa isu Palestin kekal isu bersama dan kezaliman adalah tertolak dan tidak boleh dikompromi.
Jujurnya, bidasan Presiden Iran kini, Mahmoud Ahmadinejad kepada Amerika Syarikat untuk aku adalah bidasan yang paling tepat. Ya, kita boleh saja tidak bersetuju dengan beberapa dasar Iran di bawah pemerintahannya sebagaimana Ayatollah Montazeri yang juga seorang Syiah lakukan, tetapi sentimen perbezaan aqidah, mazhab atau apa juga tidak harus menjadikan kita hilang rasional.
Palestin bumi bertuah. Tuahnya mungkin bukan 'selamat, aman dan makmur' seperti kita di Malaysia, tetapi kerana di sanalah panggilan syahid itu dekat dan di sanalah mungkin keyakinan kita pada Allah s.w.t. itu dekat.
Berbahagialah mereka yang berjuang menentang kezaliman di mana-mana. Semoga Allah s.w.t. tidak menjadikan kita lalai.

1 comment: