Hari ini aku jumpa kawan lama. Asalnya kami kenal kerana kami sama-sama aktif dalam pasukan Catur Perlis. Dulu aku dan adiknya juara negeri, tetapi dia jauh lebih tua dari aku. Dari lanjutan krisis politik 1998, masih segar jawapannya kepada pertanyaan aku "Hang sokong Mahathir ke Anwar?". Jawabnya waktu itu "Kalau hang tanya aku M atau A, aku pilih A, tapi A aku Abdullah Ahmad Badawi!".
2004 saat aku jadi pimpinan kampus, dia antara yang rapat dengan circle Pak Lah. Waktu itu Pak Lah baru naik dan muka aku keluar di surat khabar menegaskan harapan agar Pak Lah memberi ruang kepada penglibatan mahasiswa dalam proses pembangunan negara. Dia hubungi aku dan kami berkongsi pandangan. Masih terlalu awal untuk melihat hala tuju Pak Lah, seperti biasa gambaran awal lebih banyak positif berbanding sangsi. Dan kami sama-sama menaruh harapan agar Pak Lah memberi makna baru kepada erti hidup bernegara. Aku seperti biasa percaya reformasi adalah kerja semua orang, walaupun hakikat real politik cenderung bersikap hitam dan putih, dan itulah yang membunuh ruang kebebasan rakyat.
Pasca PRU-12, semua maklum. Kredibiliti Pak Lah jatuh menjunam. Hari ini kita boleh lihat Khairy seperti tidak ada arah. Walaupun ego politiknya masih ada, hanya sekadar itu. Dia tidak lagi memiliki trump card. Hanya menanti saat jatuh. Ada beberapa orang rapatnya adalah mantan mahasiswa UPM dan ada di kalangan mereka sangat tebal perkaumannya dan dikenali berwatak samseng di kampus (samseng dalam erti kata banyak guna kekerasan dari otak!). Khairy sebenarnya sedar, baik dalam UMNO-BN atau sebaliknya, semua menunggu masa untuk menghilangkan hayat politik Khairy sebaik saja Pak Lah turun dari kerusi PM.
Perkembangan politik Sabah menunjukkan Pak Lah gagal dalam usaha mententeramkan kegawatan di sana pasca PRU-12. Buang duit rakyat! Jika kita perihatin, justifikasi-justifikasi yang dibawa oleh Ahli Parlimen dari Sabah adalah landasan awal untuk menyediakan rakyat kepada kemungkinan penghijrahan besar-besaran, baik dalam bentuk penyertaan kepada Pakatan Rakyat dalam erti kata masuk PKR, PAS dan DAP...atau mereka membentuk pakatan lain - Pakatan Borneo barangkali. Siapa dapat menafikan hujah-hujah tuntas Ahli Parlimen dari Sabah tentang kegagalan BN menghargai sumbangan kemenangan dari mereka? Dalam serba dianaktirikan, prestasi Sabah adalah jauh lebih terpuji dari negeri yang mendapat 5 dan 7 jawatan menteri.
Perubahan sentiasa menjadi detik cemas, paling tidak sedikit gawat. Kerana perubahan memerlukan beberapa aturan baru dari segi struktur, nilai, peranan dan hala tuju. Tapi itu tidaklah bermakna perubahan itu payah dan tidak perlu. Perubahan adalah ketetapan Allah s.w.t. dalam hidup, bahawa manusia perlu bergerak dari satu keadaan yang kurang baik kepada lebih baik. Dan perubahan Malaysia kini hampir pasti. Kerana aku seorang Islam dan umumnya berfikiran liberal, maka menjadi tugas rakyat untuk memastikan perubahan ini mengikut landasan yang wajar. Perubahan Malaysia seharusnya ke arah yang lebih baik. Ya, lebih baik itu konotasinya umum..ayuh kita menggerakkan keteraturan spontan melalui wacana yang kaya!
Tuesday, May 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment