Tuesday, May 6, 2008

Perjalanan Dakwah 1

Sebetulnya Siri Perjalanan Dakwah ini mahu aku rangkumkan dalam label Diari Kampus, hanya kerana manisnya pengalaman itu. Namun, tidaklah aku nafikan bahawa terma dakwah telah aku kenal sebelum tadika lagi. Arwah Tok Wan (panggilan untuk datuk bagi orang sebelah utara - Perlis, Kedah dan Pulau Pinang terutamanya, Tok Wan ni sebelah ayah) adalah seorang pendakwah sepenuh masa. Menurut Pak Njang dan Pak Su aku, Tok Wan seguru dengan Ustaz Hanafi, pengasas Silat Cekak Ustaz Hanafi. Dari seorang pendakwah sekitar Derga, Alor Setar Kedah, dia berpindah ke Keramat, Kuala Lumpur sebelum menyahut panggilan Ilahi tatkala sujud Asar sekitar 1992 (aku darjah 4 masa tu, masih aku ingat dan akan ku tulis satu hari nanti). Selain itu, aku bertadika di Tadika Islam, bukan PASTI, tapi seingat aku diusahakan oleh kalangan ustazah Jemaah Islah Malaysia.

Panjang pulak pendahuluan. Ok, masuk bab dakwah di kampus, umumnya dalam tabligh, kami cuba mencontohi sikap para sahabat r.a., sampaikan sebahagian dari aktivis tabligh mengajar anak mereka bila cikgu tanya cita-cita nak jadi apa jawab pada cikgu "nak jadi sahabat r.a.!". Aku kira buku-buku agama dan kisah-kisah sekitar kehidupan sahabat r.a. dan mereka yang kemudian banyak juga dibeli untuk menghayati pengorbanan mereka. Ada juga lembaran kisah-kisah aliran Syiah yang aku baca dan sudah tentu kisah Imam Ja'far As-Siddiq cukup banyak. Memang dari kecil aku rasa Saidina Ali k.w. adalah seorang dari ramai sahabat r.a. yang aku suka - mungkin kerana Saidina Ali k.w. adalah watak muda yang berani dan cerdas. Tapi tidaklah pula aku menganut faham Syiah kerana itu.

Ada satu dialog antara seorang yang dipercayai Syiah dengan Ja'afar As-Siddiq. Ceritanya begini..

Soalan :
Wahai putra Rasulullah, siapakah manusia terbaik setelah Rasulullah s.a.w.?


Ja’far al-Siddiq menjawab:
Abu Bakar r.a.


Soalan :
Mana hujahnya dalam hal itu?


Ja’far menjawab:
Firman Allah s.w.t.

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad s.a.w.) maka sesungguhnya Allah s.w.t. telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negeri Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat r.a.) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah s.w.t. bersama kita". Maka Allah s.w.t. menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad s.a.w.) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. (al-Taubah 9:40)

Cuba fikirkan, apakah ada orang yang lebih baik dari dua orang yang nombor ketiganya adalah Allah ? Tidak ada seorang pun yang lebih afdhal daripada Abu Bakar selain Nabi
s.a.w..


Maka Sesungguhnya ‘Ali bin Abu Thalib ‘alaihi salam telah tidur di tikar Rasulullah s.a.w. (demi menggantikannya dalam peristiwa hijrah) tanpa mengeluh (jaza’, ertinya tabah) dan tidak takut (faza’, ertinya ia tegar)

Ja'far :
Dan begitu pula Abu Bakar, dia bersama Rasulullah s.a.w. tanpa jaza’ dan faza’

Soalan :
Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah menyatakan berbeza dengan apa yang anda katakan!

Ja'far :
Apa yang difirmankan oleh Allah


Dijawab :
ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita” bukankah ketakutan tadi adalah jaza’ ?


Ja’far :
Tidak kerana Huzn (sedih) itu bukan jaza’ dan faza’. Sedihnya Abu Bakar adalah khuatir jika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dibunuh dan agama Allah tidak lagi ditaati. Jadi kesedihannya adalah terhadap agama Allah dan terhadap Rasul Allah, bukan sedih terhadap dirinya. Bagaimana (dapat dikatakan dia sedih untuk dirinya sendiri padahal) dia disengat lebih dari seratus sengatan dan tidak pernah mengatakan “His” juga (tidak pernah) mengatakan “Uh” (tidak mengerang kesakitan).


Marilah kita menghargai pengorbanan sahabat r.a. dan berhenti mencela mereka pada sebarang perselisihan dan belajarlah bagaimana kecintaan kepada Islam diterjemahkan dengan penuh kasih dan hati-hati dari sikap melampau, apatah lagi tidak pernah menjadi pegangan mana-mana sahabat r.a. untuk memaki sesama sahabat r.a., jauh sekali menjadikan ia sebahagian dari kepercayaan bersifat aqidah!




No comments:

Post a Comment