Wednesday, May 28, 2008

Akhirnya!

Hari ini sms menderu masuk bertanyakan persoalan Ezam.

Jika hari ini arwah Adlan Benan masih hidup, maka dia akan pasti senyum tawar. Dia telah awal tahu bahawa Ezam akan masuk UMNO. Senyumnya tawar hanya kerana dia tahu tetapi ianya realiti pahit untuk diterima, bukan saja dia, tapi lebih ramai.

Sebelum aku menulis terus dari perspektif politik elok aku nyatakan sikap yang umum. Untuk aku, Reformasi adalah kerja semua orang. Ia bukan milik parti atau individu. Jelas.

Mungkin 'hubungan luar biasa' aku dan Ezam secara langsung dan tidak menjadikan banyak teori muncul di kepala. Dan seperti jawab aku pada seorang teman yang sering bangga mendakwa dirinya aktivis JIM-UMNO - some things are better left unsaid. Itu jawapan selepas sikap umum aku disangkalnya sebagai 'play safe and uncommital answer'. Ya, kerana aku bukan ahli parti tetapi jujurnya aku simpatisan reformasi. Dan menjadi simpatisan reformasi dalam erti berparti tidak mudah, dan mungkin aku 'pengecut' menjadi simpatisan reformasi di luar parti.

Teori bersimpang siur antara masalah Ezam dengan PKR dan percaturan politik UMNO dan tokoh-tokoh tertentu. Ah, itu sangat umum. Kita terlalu obses dengan tokoh atau individu, tidak pada idea. Justeru, layaklah Tun Dr Mahathir 'menyiksa' Malaysia sebelum ini untuk membangkitkan kita dari lena yang panjang. Tapi nampaknya kita belum betul benar terjaga.

Secara politiknya Ezam tersepit, itu pandangan aku. Ringkas dan mudah. Selebihnya aku serahkan kepada kalian.

Aku tidak mahu mengharap apa-apa dari Ezam bila dia masuk UMNO. Ada yang mungkin melonjak gembira kerana menurut mereka DS Anwar akan dibelasah oleh bekas orang kuatnya. Aku hanya mahu senyum. Senyum tawar, kerana siapa saja tidak mungkin menafikan peranan Ezam dalam mengekalkan momentum Reformasi 1998 sebelum ini dan tawar kerana Ezam akhirnya memilih menjadi seorang politikus, bukan negarawan.

Ada sms masuk lewat petang tadi untuk menyatakan rasa syukur kerana duri dalam daging kepada PKR pasca ISA akhirnya telah keluar. Sejauh mana kebenaran, persahabatan harus lebih atas semangatnya mengatasi permusuhan politik, hanya saja perbezaan politik itu harus di atas garis idea, bukan garis struktur yang menindas.

Aku masih ingat antara butir penting dalam perjumpaan di pejabat GERAK yang terakhir aku hadir - rakyat bertanyakan nama 'ikan jerung' yang mahu diumumkannya, tapi sehingga kini ia tidak kedengaran. Dan laporan itu aku akui ada - lebih tebal dari tesis tebal yang pernah aku tengok!

Ah, cukuplah..masih ada sisa idea yang mendasar tidak benar-benar diangkat ke muka bicara. Apa yang kalian fikir? Ya, Ezam telah masuk UMNO akhirnya, bersama 6 kotak dokumen rasuah dan nafas politik yang kian sempit sebelum ini. Berhenti bergantung kepada tokoh, tiap dari kita harus bebas!

No comments:

Post a Comment