Cerita 1
13 Mei 1969 telah tercatat sebagai hari hitam untuk Malaysia kerana kewarasan akal tunduk kepada emosi. Masing-masing saling menuduh dan rentetan dari itu digunakan sebagai alat untuk berkuasa. Kewarasan akal rakyat tunduk lagi pada nafsu sebilangan manusia. Dan 13 Mei 1969 tidak pernah dijadikan bahan rasional untuk wacana awam multi perspektif. Doktrin terus berjalan malah lebih keras selepas PRU-12, walaupun mereka sedar isunya tidak memberi kesan yang sama sebagai yang dikehendaki. PKR akan terus menghantui UMNO, bukan sahaja kerana DS Anwar, tetapi kerana idea penubuhannya merobek amalan politik UMNO. InsyaAllah revolusi pemikiran yang dibawa Rasulullah s.a.w. bahawa kemuliaan manusia itu pada taqwa dan bukan pada bangsa, harta dan rupa paras akan juga tiba dengan wajah yang benar di Malaysia.
Cerita 2
15 Mei - Selain mengingati Nukbah Palestin, jangan lupa ia juga Hari Belia Malaysia. Maka di bahu kita generasi muda untuk terus menggiatkan budaya taqwa. Telah ditunjukkan Allah s.w.t. dalam Al-Quran bahawa ilmu adalah jalan kepada taqwa. Sudah tentu ilmu itu menuntut amalan para peraihnya. Dalam proses berilmu, dinamika ilmu itu sendiri dan manusia selalu jadi perkara yang aku renung. Zaman aktif dengan kegiatan kemahasiswaan dulu selalu aku tekankan dua perkara asas ini - kemuliaan insan dan martabat ilmu.
Cerita 3
16 Mei Hari Guru - Selamat Hari Guru dan Selamatkan Profesyen Perguruan! Siapa juga kita ilmu adalah bahan yang disampaikan guru. Guru boleh jadi silap dan lemah pandangannya tetapi ia harus dinilai dari sudut konteks. Moga tiada guru yang hanya melihat profesyen guru hanya untuk cari makan. Dan kita yang belajar ilmu harus berkongsi dengan yang lain kerana sudah menjadi teladan dari Rasulullah s.a.w. agar kita menyampaikan darinya walau satu ayat, tak perlu tunggu ilmu cukup kerana ilmu Allah s.w.t. ini sangat luas. Tapi janganlah pulak kita membodohkan diri dengan fanatisme tak bertempat terhadap 'satu ayat' yang kita sampaikan atas maksud ilmu.
Cerita 4
Sebaik pulang dari kampung aku masuk ke hutan untuk menjalankan program bersama pihak sekolah. Dinamika ilmu untuk berkongsi dengan adik-adik sekolah rendah nyata dituntut. Kenakalan mereka bukanlah perkara enteng sebaliknya cukup menguji. Spontan aku mewar-warkan kepada rakan-rakan bahawa mengendalikan program untuk kanak-kanak harus jadi silibus rasmi kursus perkahwinan! Siapa kata senang hidup berkeluarga? Suka-suka nak bercinta..memang benarlah anjuran Ustaz Hasrizal untuk melihat dunia perkahwinan ini lebih luas dan jauh.
Cerita 5
Dunia perkahwinan sedikit sebanyak sama dengan realiti kehidupan. Cewah, macamlah aku ni dah berkahwin. Sedikit sebanyak yang sama itu maksud aku ia melebihi persoalan individu. Meski seorang liberal faham bahawa individualisme adalah tiang asas yang membina faham itu, ia tidaklah berdiri sendiri melainkan didokong dengan tiang-tiang yang lain. Kita tengok dalam hal keluarga pun telah disebut 'sedangkan lidah lagi tergigit'. Dalam perkembangan semasa, konflik kepentingan antara Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah kian runcing. Sebenarnya aku tak peduli pun. Kritikan Tun kepada Pak Lah adalah sama sebagaimana sebahagian rakyat mengkritik sekian lama. Jika Tun rasa Pak Lah tak melayan dia sebagai ahli UMNO, Tun juga patut rasa bagaimana ramai lagi tidak dilayan sebagai rakyat. Malah ramai lagi di mana-mana, bukan sekadar rakyat, malah tidak dilayan sebagai manusia pun!
Kita telah tiba di satu era yang menuntut sikap dan pertanggungjawaban yang lebih tinggi. Era ketamadunan dicabar dengan keangkuhan buta terhadap kemodenan. Telah bersediakan kita memberi jawapan kepada Allah s.w.t. dengan persoalan yang ditinggalkan kepada kita "apakah kita mahu meninggalkan zuriat yang lemah?".
Monday, May 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment