Ini bukan cerita buku Pak Khalid, ini cerita politik Malaysia.
Saksikanlah, pasca PRU-12, aku percaya UMNO-BN terutamanya, akan menumpukan serangan dan pertahanan untuk memulihkan maruahnya sebegini..
1) Mewujudkan suasana tidak selesa berkaitan hubungan PAS-DAP melalui pelbagai isu. Natijahnya Pakatan Rakyat 2008 hancur sebagaimana Barisan Alternatif 1999. Hal ini pernah aku sebut pada seorang 'roommate' pro-PAS pada tahun 2003. Pilihan yang ada ialah meningkatkan dialog dan menggiatkan penerangan serta rekonstruksi modul tarbiyah untuk PAS, atau modul pendidikan oleh DAP.
Kenapa PAS dan DAP? Jika kita dapat membaca, sejarah perbezaan PAS dan DAP adalah cukup panjang, meski kelihatan banyak juga isu yang sama sejak dulu hingga kini. Perbezaan ini untuk aku lebih kepada tujuan politik, kerana pool pengundi mereka berbeza ras. Alhamdulillah dengan wibawa baru, pengertian akan lebih jelas. Usaha ini tidak mudah, lebih-lebih lagi mereka yang sangat bergantung kepada modal hujah berasaskan ras ini.
Selaku Melayu, jujurlah kawan-kawan bahawa sentimen anti-Cina sama ada lembut atau keras memang jadi rahsia umum. Sama juga dengan kawan-kawan Cina. Ia hanya dapat dilenturkan sebelum dileburkan melalui amalan yang ditunjuk. Wacana rentas budaya harus disemarakkan. UMNO memang sangat mengharapkan PAS menjadi Tumit Achilles dalam Pakatan Rakyat kerana dengan itu imej Pejuang Melayu dapat disegarkan semula. Meskipun UMNO mungkin berharap DAP juga menjadi Tumit Achilles, ia tidak memberi political milage yang banyak untuk UMNO. UMNO sedar desakan dari dalam untuk politik rentas budaya hanya akan menguburkan mereka. Politik rentas budaya bagaimanapun boleh cocok dengan PAS kerana itulah geist Islam. Cuma dinamika penyampaian PAS harus diperkasa.
2) Membuktikan PKR sebagai parti yang tidak boleh dipercayai. Ia wujud dalam konteks kononnya pemimpin PKR pentingkan jawatan, PKR tak bela Islam-Melayu, PKR juga adalah elemen Cina dan Melayu yang tak boleh harap dan sebagainya. Secara politiknya, aku percaya PKR tidak perlu gopoh. Memang buat masa ini ketokohan DS Anwar lebih ke depan, tapi jangan lupa, usaha meletakkan DS Anwar di kerusi PM hanyalah simbol. Apa yang penting ialah usaha melahirkan generasi yang berdaya tahan untuk mengekalkan kelangsungan politik rentas budaya ini.
Dari keperihatinan aku, PKR merupakan jambatan penting dalam Pakatan Rakyat. Sosok DS Anwar bukanlah 100% diterima oleh pejuang-pejuang tekal dalam PAS, DAP malah NGO tetapi mereka juga bukanlah fanatik buta untuk tidak mengakui ketokohan dan sejarah perjuangan DS Anwar. Tapi harus diingat bahawa mereka sedia berbeza pendapat malah menentang beliau. Itulah uniknya dan sebenarnya kekuatan Pakatan Rakyat. Hanya saja Pakatan Rakyat akan berdepan dengan sedikit penentangan dalaman sementara proses normalisasi akan berlaku.
Dalam realiti gerak kerja berpasukan, Pakatan Rakyat pada aku kini sedang di peringkat memupuk normalisasi dan ini penting untuk menggerakkan prestasi. Ribut selepas pembentukan pakatan untuk Pilihan Raya dan kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat boleh menjadi positif atau negatif. Sebab itu, jika aktivis yang mendokong parti masing-masing gagal memahami teori perkembangan kumpulan ini, mereka akan 'tertipu' dan mula cakap belakang tanpa sedar mereka sedang meruntuhkan proses itu sendiri. Orang yang sejak belasan tahun menyertai parti pun mungkin gagal membaca perihal ini, apatah lagi bila lekas menghukum.
3) Strategi Tangan Salam Kaki Menerajang. UMNO-BN setakat ini masih tegar tidak mengakui bahawa mereka kalah secara moralnya dalam PRU-12. Kekalahan ini boleh saja jadi baik untuk Malaysia, tetapi itu tidak digunakan dengan baik oleh UMNO-BN. Kita tahu usaha membalas dendam sedang bergerak secara halus, baik dari sekatan bantuan atau kerjasama dan sebagainya.
Aku percaya ada saja YB UMNO yang insaf..dan mereka inilah yang cukup bahaya bagi UMNO dalam ribut penghijrahan YB-YB mereka ke Pakatan Rakyat.
4) UMNO memulihkan dirinya. Ini merupakan pilihan akhir dan hampir mustahil. Tidak ada tanda-tanda yang cukup kuat untuk itu melainkan 'tanda-tanda wayang' sebagaimana selalunya. UMNO masih memilih untuk menjadi politikus, bukan negarawan.
Aku ada satu perasaan bahawa Gerakan dan beberapa parti kecil lain akan membuat penghijrahan besar-besaran jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan. Politik mereka yang lebih gentleman dan tidak keterlaluan sebenarnya lebih dekat dengan matlamat asas Pakatan Rakyat. Percayalah, UMNO hanya akan jadi parti kecil sekiranya mereka tewas paling tidak untuk 3 penggal. Maksud aku, jika rakyat beri 3 penggal kepada Pakatan Rakyat, maka itu bukti mereka menunjukkan prestasi...
Tapi jangan lekas seronok...kemenangan PRU hanyalah cebisan peluang menguji prinsip dan nilai yang dipersetujui bersama. Jangan tertipu, mungkin ada kelompok ekstrim sedang mengintai peluang untuk mengambil alih Malaysia!
Monday, May 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment