Pagi tadi aku terima berita dari seorang kawan - Ezam masuk UMNO.
Ramai dari kalangan kita di Malaysia kenal Ezam sejak mula Reformasi 1998 dan dari saat itu kita tahu Ezam punya karisma dan mampu memobilisasi rakyat dengannya. Ezam ditahan ISA dan juga pernah menerima hukuman OSA. Rekod perjuangan Ezam di zaman Reformasi 1998 tidak mudah padam. Sebab itu bila Ezam berpatah arang dengan PKR atas sebab-sebab yang dilihat peribadi antara dia dan Azmin, ramai yang dukacita. Dia mungkin aset besar dalam politik Malaysia umumnya dan politik PKR khususnya dulu.
Aku mula dipertemukan secara personal dengan Ezam pada 2004, waktu itu kebetulan aku ke pejabat IKD mencari buku-buku yang bagus untuk dibaca dan ofisnya sementara ada di sana. Dia bersama Tian Chua waktu itu. Di kalangan sebahagian teman aktivis lingkaran Bangsar, aku mungkin dianggap satu-satunya aktivis (jika boleh dipanggil begitu) UBU yang berjaya menempatkan diri dalam pimpinan pelajar, dan aku tidak selesa. Jalur politik aku lebih banyak kelabu berbanding hitam atau putih. Sudah tentu ia masih kelabu jika aku tidak mahu kompromi dengan penegasan sikap bahawa aku menolak kezaliman. Tapi pada masa yang sama aku percaya engagement perlu. Maksudnya aku akan gunakan saluran yang mungkin untuk menyampaikan rasa tidak bersetuju aku. Aku tidak percaya kepada permusuhan terhadap individu tetapi sikap. Mahu tak mahu sikap itu ada pada individu. Ruang tipis inilah yang sukar kita jelaskan.
Pasca Ijok, ada sebilangan teman marah atau menunjukkan rasa tidak senang kerana aku kekal berhubung dengan Ezam malah kerap ke pejabat GERAK untuk sesi pengenalan, mesyuarat dan perkongsian bersama Ezam sendiri. Ezam mahu aktif bersama GERAK. Jujurnya aku nyatakan kepada Ezam bahawa GERAK harus bergerak sebagai NGO, bukan parti politik. Program-program awal GERAK banyak bersifat parti politik dan bukan NGO, maksud aku fokus kepada pendidikan kesedaran dan penyelidikan. Aku nyatakan pada Ezam secara jujur bahawa aku dan kawan-kawan mendokong isu melawan rasuah, tetapi untuk mengajak kami aktif bersama GERAK mungkin sukar kerana kami percaya lebih banyak isu mahasiswa, anak muda dan lain-lain yang telah kami beri komitmen. Malah aku nyatakan tegas pada Ezam bahawa ramai dari kalangan kami mendokong isu dan tidak bersetuju dengan kecaman bersifat kebudakan oleh Ezam kepada DS Anwar dan PKR. Dalam beberapa siri pertemuan kami, cukup jelas Ezam 'bertempur' dengan Azmin. Bukan rahsia dalam PKR bahawa Azmin adalah strategis dan Ezam lebih bersifat crowd puller.
Ezam mungkin idola anak muda satu waktu dulu, tempias dari karisma DS Anwar. Tapi Ezam mungkin tidak tahu bahawa ada sekelompok anak muda yang sampai bila-bila sedia menjadi minoriti tidak lupa menganalisis Ezam dan ramai pimpinan lain pasca ISA.
Aku tak tahu sama ada ini adalah percaturan politik lebih besar. Umum maklum Ezam cenderung membawa DS Anwar ke dalam UMNO dan pertemuannya dengan Khairy bukan rahsia sebelum ini. Ezam dan Khairy masing-masing ada perancangan sendiri untuk masa depan politik mereka.
Parti adalah wadah perjuangan. Biar namanya UMNO, PKR, PAS atau apa saja...amalan tetap jadi bukti. Jika Ezam merasakan UMNO adalah yang cocok dengan jiwanya, maka aku hanya mahu ucapkan selamat berusaha untuk Ezam.
Wednesday, May 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment