Monday, January 12, 2009

Sila Ambil Tahu...

Perdana Menteri telah bentang 10 usul dalam sidang khas Parlimen Malaysia untuk menyatakan sikap terhadap isu di Palestin.

Ketua Pembangkang mendokong penuh usul yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Di luar negara, istilah yang dipakai ialah - parti kerajaan dan parti lawan, bukan parti pembangkang. Propaganda bahawa pembangkang sentiasa membangkang ialah usaha menerapkan faham ekstrim dan tidak sihat dalam demokrasi. Sepanjang sejarah pembentukan dasar di Malaysia sejak Merdeka, tidak lebih 25 dasar pun dibangkang di Parlimen.

Kamu, terutama di kampus yang sedang hangat mengikuti Pilihan Raya Kampus, sila faham baik-baik.

Kamu sama kamu ialah mahasiswa. Kamu tak perlu gaduh-gaduh kerana lebih banyak titik temu berbanding titik beza yang kamu boleh dapatkan jika kamu pilih kaedah paling cocok dengan dunia akademik - bincang, bahas, debat, ucap awam dan sebagainya. Itu medan kamu selayaknya, sesuai dengan adanya kata TINGGI pada eja Pengajian Tinggi.

Kamu tahu tak kenapa kamu sering bergaduh?

Kerana kamu biarkan diri kamu bodoh untuk selamanya mewakili fraksi kerajaan dan pembangkang. Kamu harus belajar bahawa mana-mana fraksi yang kamu pilih sekalipun, kamu harus berjuang untuk politik baru - politik idea. Musuh politik idea hanya mereka yang mencemburui kebebasan dan keadilan. Idea tak mungkin hidup subur dalam persekitaran terkongkong dan menekan. Sebab itu latihan gaya maki hamun dan paksa macam BTN sudah tidak relevan. Ia bercanggah dengan prinsip kemuliaan insan seperti yang Tuhan tegaskan pada ayat "walaqad karramna Bani Adam..." dan ia bercanggah dengan prinsip "ilmu mengangkat darjat manusia...".

Tugas kamu mahasiswa ialah untuk memperkasa diri dengan ilmu dan peribadi yang tsiqah (terpercaya).

Kamu dibuai oleh politik hitam-putih kerana ada mereka yang mahu menjaga kepentingan mereka sendiri - sama ada jawatan dalam kampus atau dalam negara. Mereka ini mahu kamu bergaduh sesama sendiri sedangkan kamu sama mahasiswa - membayar yuran dan wajar mendapat akses yang sama pada semua tempat. Mereka mengajar kamu diam dan buang prinsip dengan cara menindas sebahagian yang lain, walaupun yang ditindas itu sangat berbakat! Mereka ajar kamu untuk bongkak dan angkuh dengan kuasa tapi bermain lidah laksana wali suci dalam propaganda.

Mereka mahu kamu rasa kamu lebih mulia daripada insan lain selagi mendokong mereka. Mereka ajar kamu ketawa melihat sebahagian daripada kamu sendiri ditindas...dari tangan kamu! Mereka tidak peduli pun apa ada dalam otak kamu asalkan kamu pergi kelas dan duduk baik-baik dalam peperiksaan. Kedurjanaan pengkhususan!

Politik hitam-putih di luar sana jangan kamu bawa masuk ke dalam kampus. Ya, kamu boleh berbaik dengan Pak Menteri atau hero jalanan pembela rakyat tapi awas...kamu harus berani kata tidak untuk sebahagian perkara.

Kamu harus berusaha sedaya upaya kamu dalam waktu singkat di dunia kampus untuk menggerakkan masyarakat ilmuan menghidupkan perubahan dalam masyarakat umum dan bukan sebaliknya. Tapi sayang bukan? Pensyarah yang kita ada hari ini juga sebahagiannya sibuk fikir nak naik pangkat, sibuk buat duit dari projek-projek luar dan mereka ini sebahagiannya bangga jadi ayam kampung dengan kuasa yang mereka ada.

Dunia kian maju. Kamu boleh tulis dan sampaikan fikiran kamu di dunia maya. Jika kamu takut di tengah malam ada aparat yang ketuk pintumu untuk heret kau keluar, maka kau boleh tulis dengan bahasa santun dan guna nama samaran. Ya, mereka masih boleh datang ke alamat kamu daftarkan IP kamu. Kenapa? Sebab negara kita negara polis! Negara ini hanya medan bebas untuk mereka yang berkuasa dan kaya tapi sempit untuk mereka yang meronta mencari sedikit ruang untuk menikmati hidup.

Hidup memang payah, dan kerana itu hidup kau harus bermakna.

Kau boleh pilih jalan singkat untuk capai nikmat hidup. Terpulang. Saat telanjang kita di Mahsyar, tidak ada apa yang boleh mengalih perhatian kita selain terus takut pada segala yang patut kita sesalkan sekarang.

Kau dan aku, jika boleh kita mahu terus laung "gaudeamus igitur juvenes dum sumus!" (we will enjoy as long as we are young/kita mahu terus bergembira selagi kita muda).

Tractatus Logica Philosophicus ditulis dalam kepayahan perang.

Perlukah kita sebuah kepayahan yang sarat untuk menjadi manusia yang hebat?

Jangan kau pinta kepayahan kerana kau tak akan sanggup membayar harganya...maka, sementara akal waras kau masih sanggup memikirkan yang terbaik, kau harus nyatakan sikap yang jelas.

Politik idea bukan politik yang sukar. Ia memaksa diri kita sendiri untuk berada pada piawaian tinggi.

Politik hitam-putih sama macam jalan dua hala. Kau bayangkan jika sebuah lori besar masuk laluan kau sedangkan laluannya di sebelah kiri (ikut jalan Malaysia la!) - kau mahu elak masuk laluan dia atau kau patuh buta tuli terhadap undang-undang kerana itu laluan kau?

Undang-undang, sebahagiannya dicipta untuk dilanggar!

Aku bersuara kerana aku ada. Aku bertindak kerana aku ada.

I think, therefore I am. Sanggup? Hei kamu, jangan mengaku kalah dulu...

* Hei, aku tahu kamu suka aku yang playful dan kreatif...maka anggap ini seperti pesan di radio ya - ini pesanan khidmat masyarakat! Jaga diri kamu selalu. Cheers!

2 comments:

  1. KPO di kampus..medan untuk politikkan pemikiran pemimpin baru kesatuan di kampus..nyesal aku gi kursus tu.nasib baik dpt sijil...hihi!!=P

    ReplyDelete
  2. eh, jangan kau kesal. kdg2 yg pahit itulah satu pengalaman berharga utk kau lalui hidup nanti...

    ReplyDelete