Friday, January 30, 2009

Alangkah Seronoknya Jika Kita Ada Mesin Masa Untuk Tengok Masa Depan

Sebentar tadi aku lepak minum dengan Ewan, rakan serumah aku. Dia akan ikut kursus seminggu sebelum tahu akan diposting ke mana. Nampaknya sejak rumah ini dihuni, hanya aku yang kekal - itupun sebab semua kerja aku memang operasinya di Lembah Klang. Ya, mungkin hanya hingga akhir tahun ini tapi belum ada kepastian yang jelas. Hari demi hari pelbagai perkembangan mempengaruhi tiap keputusan yang mahu dibuat, haih!

Mulanya kami bual tentang reunion sedekad rakan-rakan yang sama belajar Diploma dulu - sebahagiannya tidak sambung Ijazah, ada yang sambung dalam bidang lain dan ada yang sambung dalam bidang yang sama. Dari sana kami baru tahu seorang rakan ex-Diploma dah pun berkahwin dengan seorang guru yang juga rakan Diploma kami. Unik, perkahwinan ini jadi dalam realiti tidak pernah kenal hati budi dan berbual pun! Ia hanya jadi dari satu ungkapan "saya nak pinang awak boleh?". Ya, sejak akhir-akhir ini aku semakin percaya cinta selepas kahwin itu macam menarik pula...akhirnya, bahagia itu adalah proses tiap detik, bagaimana kau sama merancang dan runding masalah. Benar kata pensyarah aku, kita tak boleh bagi makan cinta pada anak bini. Cinta ada pada tempatnya tersendiri tapi ia terlalu ideal untuk dijadikan sebab tunggal kepada kehidupan. Semoga mereka bahagia hingga hujung nyawa - Rizal dan Rosnita!

Kami tak lama pun kerana pagi ini Ewan akan balik ke kampungnya di Temerloh, Pahang. Kiranya, ini mungkin waktu-waktu berbaki untuk kami bual apa yang boleh. Kata Ewan dia tak pernah terfikir pun nak kerja apa yang dia ada sekarang.

Dari kisah perkahwinan Rizal dan kisah Ewan ni, aku teringat cerita Zaki pada aku satu malam. Katanya ada seorang anak muda - boleh jadi pria atau gadis - sedang mencari cinta untuk dijadikan pasangan hidup hingga hujung nyawa. Lalu seorang pendita menunjukkannya satu kaedah. Dibawanya anak muda ini ke satu laluan hutan dan disuruhnya anak muda ini membawa keluar sebatang kayu sebesar lengan yang paling cantik. Katanya "itulah cinta kamu". Hanya satu syarat, anak muda ini tidak dibenarkan berpatah balik.

Dalam mengharungi rentis hutan ini, bertemulah anak muda ini dengan kayu yang cantik lalu diambilnya.

Apabila meneruskan perjalanannya, anak muda ini bertemu dengan kayu lain yang dilihatnya lebih cantik daripada yang sebelumnya. Lalu dia meninggalkan kayu yang awal dan diambil kayu yang kemudian. Perjalanan diteruskan sehingga beberapa kali anak muda ini bertemu kayu lain yang lebih cantik dan ditinggalkan kayu sebelumnya.

Di hujung kilometer terakhir, dia meninggalkan kayu yang ada dengan anggapan akan bertemu kayu lain yang lebih baik. Akhirnya dia keluar dari hutan tersebut tanpa sebatang kayu pun! Katanya, kayu-kayu pada kilometer terakhir semuanya tidak lebih baik daripada yang dia tinggalkan sebelumnya.

Kata sang pendita "itulah cinta".

Pendeta kemudian membawanya ke satu hutan lain dan berkata "Masuklah kamu ke hutan ini dan pilihlah kayu yang kamu suka dan balik ke sini dalam sekian waktu dan ambillah hanya sebatang sahaja kayu dan keluar".

Anak muda ini sedar waktu yang diberikan itu hanya cukup untuk dia menghabiskan perjalanan mengharung hutan tersebut. Masuk sahaja anak muda ini ke hutan tersebut, dia bertemu dengan sebatang kayu yang difikirkannya agak baik lalu dia mengambilnya dan dibawa keluar.

Tanya pendita "Kenapa kamu ambil yang ini?"

Jawab anak muda "Berdasarkan pengalaman aku yang lepas, aku terlalu memilih hinggakan aku pulang dengan tangan kosong. Aku terlalu inginkan kesempurnaan sedangkan ia tidak kekal dan setiap satunya ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Aku fikir, biarlah aku terima ini seadanya dari menyesal kemudiannya kerana nafsu yang tak pernah puas".

"Itulah realiti dalam pencarian cinta untuk dijadikan pasangan" jawab pendeta itu sambil tersenyum.

Hurm.

Ya, aku seorang yang percaya pada proses dan bukan hasil akhir. Proses sentiasa memerlukan kesediaan sepanjang masa untuk ketawa, hiba, gembira, duka, setia, jujur, ikhlas dan sebagainya. Hasil akhir yang baik mungkin saja sebuah kebetulan. Hasil akhir yang buruk mungkin saja berlaku dalam realiti kita berusaha. Tapi jika kita gagal selepas berusaha, ia mungkin satu kegagalan yang ada nilai kepuasan tersendiri dan winner never quits. Tentu saja gagal kerana tidak berusaha itu sesuatu yang sangat L.O.S.E.R. dan ciri asas pengecut.

Kita tak mungkin tahu masa depan kecuali khabar-khabar yang kita yakin sebagai aqidah yang terasionalkan. Pun begitu, khabar ini tidak datang menyuruh manusia bertenggek menantikannya saja. Hatta saat kiamat berlaku pun Nabi s.a.w. menyuruh umat yang sedang bercucuk tanam meneruskan kerjanya. Hebat!

Kita hanya mampu merancang dan tentunya kita merancang untuk sesuatu yang baik dan kelemahan adalah sifat asasi kita sebagai tanda kita adalah makhluk. Kita tak tahu apa akan jadi pada waktu di depan justeru impian dan harapan sentiasa menjadi sumber yang menggesa kita ke depan.

Ketahuilah bahawa iman itu ada pada rasa takut dan berharap pada Allah s.w.t..

Seronokkan jika ada mesin masa untuk kita tahu apa hasil pilihan kita hari ini?

Tapi, indahnya hidup ada pada proses yang kita lalui dari masa ke masa, bukan hasilnya...

2 comments:

  1. hmm.

    "Tapi jika kita gagal selepas berusaha, ia mungkin satu kegagalan yang ada nilai kepuasan tersendiri dan winner never quits. Tentu saja gagal kerana tidak berusaha itu sesuatu yang sangat L.O.S.E.R. dan ciri asas pengecut."

    ayat ini walaupun cliche dan telah didengar banyak kali :) tapi telah mengetuk jiwa saya

    hidup ini terlalu singkat untuk tidak mecuba!

    ReplyDelete
  2. ya, ia cliche tapi selalu drive aku ke depan :)

    ReplyDelete