Alhamdulillah aku berpengalaman - dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga UMNO sebelum emak dan ayah berhenti politik sepenuhnya - ayah memberi khidmat kepada kesatuan sekerja dan emak memilih untuk memberi lebih masa kepada keluarga. Dan sepanjang tempoh itu aku dapat lihat bagaimana budaya dalam UMNO berubah, mak dan ayah juga jadi kesal kerana khidmat telah menjadi khianat dan tauladan telah jadi tau makan.
Aku masih ingat dulu sekitar 80-an, banyak orang jumpa ayah - baik dari UMNO, PAS dan rakyat biasa. Ayah memang seorang workoholic, dulu ayah orang kanan Dato' Radzi Sheikh Ahmad di Perlis. Aku juga ingat ayah terlibat dalam pembinaan surau milik PAS di Santan.
Memang dalam tempoh pemerintahan Tun Dr Mahathir sekitar tahun 80-an, banyak perkara baru dilaksanakan dan bersifat revolusi kepada sikap. Tapi entah kenapa, ia tidak begitu diberi perhatian selepas UMNO diharamkan.
Ramai yang lupa UMNO yang ada kini ialah UMNO Baru. Dan UMNO Baru ini tidak malu mengaku mewarisi perjuangan UMNO lama. UMNO yang Dato' Onn, Tunku Abd Rahman dan Tun Hussein keluar kerana perkara dasar yang terencat. Malah aku percaya jika Tun Razak dan Tun Dr Ismail masih hidup, mereka akan menentang dasar-praktis ketidakadilan yang diamalkan oleh UMNO kini.
Ya, memang masih ada mereka yang jujur dalam UMNO. Mereka ini rata-ratanya adalah mereka yang celik sejarah. Dan mereka ini hanya terikat dengan UMNO kerana nostalgia dan rasa taat setia kepada sesuatu yang asal dimulakan dengan tujuan murni. Tapi sayang peranan mereka ini telah dibataskan. Dan mereka ini tanpa sedar telah mendidik generasi muda yang lemah semangat perjuangannya untuk berkata - tak apa, kita cuba berjuang dari dalam.
Hakikatnya? Aku akan mudah berkata kepada mereka ini - buktikan pada aku satu hari nanti perjuangan mereka dari dalam itu apa hasilnya kepada rakyat. Dan tunjukkan pada aku contoh mereka yang berjaya dengan perjuangan dari dalam. Ya, Anwar Ibrahim mungkin dilihat paling berjaya tapi mereka lupa perbandingan Anwar dengan mereka adalah cukup jauh dan budaya UMNO dan zaman saat kemasukan Anwar dibanding dengan budaya serta zaman kini adalah cukup berbeza.
Voltaire mungkin benar dengan telahannya - fanatisme adalah penyakit segala abad! Dan aku mahu tegaskan bahawa baik Melayu, Cina dan India serta suku kaum yang ada - kita adalah khalifah dan tidak ada yang lebih tinggi antara satu dengan yang lain dan taqwa dan syurga itu tidaklah berhak kita memutuskannya melainkan kita cuba mematuhi dan mengajak dengan bijaksana untuk masyarakat mematuhi kehendak-Nya.
Islam menolak Dasar Bumiputera yang dijalankan secara tidak adil dan berbentuk perkauman. Tetapi Islam boleh menerima Dasar Bumiputera yang adil tujuannya, perlaksanaannya dan jelas keadilannya.
Harapan baru Malaysia ada pada kita - anak Malaysia yang cintakan tanah air dan rakyatnya!
Wednesday, February 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment