Friday, February 8, 2008

Siri 1b : Demokrasi?

Jujurnya, cerita demokrasi ini adalah cerita lama. Ia kian jadi bahan bualan umum sejak runtuhnya empayar Soviet Rusia akhir dekad 80-an pada abad lepas. Di Malaysia, cerita demokrasi sampai ke telinga aku tatkala riuh perihal pemecatan Tun Salleh Abas, juga sekitar tempoh yang sama. Hanya mungkin kerana Amerika yang selalu mahu jadi jaguh demokrasi, maka demokrasi sering dilihat agenda Amerika untuk menjajah semula walhal akar demokrasi jauh menyusur sejarah - sejak zaman Athens lagi.

Demokrasi yang sihat sentiasa menyediakan peluang untuk partisipasi rakyat. Meskipun demokrasi adalah simbol kepada kebebasan individu, ia tidaklah semudah itu kerana untuk turut serta dalam ruang awam (public sphere), nilai-nilai lain seperti kompromi, toleransi dan sebagainya diperlukan. Justeru, dalam menikmati kebebasan ruang persendirian (private sphere), seorang individu juga akan terlibat bersama-sama (secara jemaah) untuk membentuk masa depan dengan nilai kebebasan yang ada.

Demokrasi sebagai sebuah sistem yang membenarkan pemerintahan majoriti sering juga mengalami apa yang disebut 'tyranny of majority' di mana atas nama majoriti (yang mengangkat melalui proses demokrasi), kezaliman dibenarkan. Penerangan ini lebih jelas bila Tun Dr. Mahathir dalam komentarnya tidak lama sebelum ini mengatakan 'Rakyat setuju dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebab itu mereka masih pilih kerajaan Barisan Nasional (BN)'.

Maka demokrasi sebagai sebuah institusi yang mendokong kebebasan seakan menikam dirinya sendiri. Benarkah begitu?

No comments:

Post a Comment