Thursday, February 7, 2008

Rasuah : Musuh No 1 Negara

Berita di Harakahdaily mengutip pandangan Pengerusi Gerakan Anti Korupsi (GERAK), Ezam Mohd Nor bahawa "semangat anti-rasuah di kalangan pelajar adalah lemah". Pada masa yang sama dia membandingkan semangat anti-rasuah ini dengan situasi di Indonesia serta pengalaman dalam sesi soal jawab dengan mahasiswa di Malaysia.

Rasuah, sebagaimana umum maklum adalah satu jenayah. Dan jenayah ini sebagaimana zina, biasanya tidak dilakukan secara terang-terangan. Setakat ini, kes yang paling nyata terang ialah kes 'politik wang dalam UMNO' yang pernah ditempelak Prof Diraja Ungku Aziz dengan kata "kenapa panggil politik wang? panggillah rasuah!".

Realitinya, yang rasuah ialah mereka yang punya keupayaan wang, atau pun tidak peduli soal maruah diri seperti rasuah seks. Kempen GERAK untuk menjadikan 'Rasuah Musuh No. 1 Negara' adalah kempen yang wajar diraikan. Elok juga ada sebuah badan yang betul-betul memberi fokus terhadap soal ini dan Ezam adalah individu yang dilihat cocok serta mampu untuk ke depan dalam persoalan ini.

Letak ke tepi dulu soal percaturan politik parti dan politik individu bernama Ezam. Soal sekarang adalah rasuah. Kajian Pusat Integriti Nasional (PIN) bahawa tidak kurang 30% mahasiswa sanggup menerima rasuah adalah satu dapatan yang patut kita pandang serius. Rasuah adalah sejenis jenayah kolar putih yang tentunya dilakukan oleh mereka yang berpelajaran, atau paling tidak berkuasa di sektor-sektor yang diwakilinya. Maka, apa jenis latihan pendidikan dan latihan kepimpinan yang telah diberikan kepada kelompok ini?

Seorang rakan, semasa di kampus, pernah bertanya aku tentang rasuah. Contoh yang aku dapat beri waktu itu begini....

"Katakan HEP beri RM 100,000 untuk MPP jalankan program setahun. Katakan MPP jalankan 10 program setahun beerti setiap program punya peruntukan sekitar RM 10 ribu. Maka, yuran yang dikenakan kepada pelajar adalah minima - mungkin sekitar RM 20-RM30 untuk program perkhemahan kepimpinan 3 hari 2 malam".

"Tapi bayangkan jika ada individu atau pakatan beberapa individu dalam MPP yang mahu habuan masing-masing, katakan 4 orang dari mereka mengambil sekitar RM 500 seorang. Jumlahnya RM 2000! Maka, untuk satu program hanya tinggal RM 8000 peruntukan dari HEP. Untuk menampung peruntukan yang hilang ini, yuran pelajar akan dinaikkan boleh jadi hingga RM 50-RM60 seorang Program tetap berjalan, tapi kosnya adalah berbeza!".

Demikianlah halnya dengan kerajaan. Dari segala punca pendapatan, kerajaan masih boleh menggerakkan segala programnya. Tapi ingat, kosnya mungkin berbeza jika persoalan rasuah dapat ditangani sebaiknya!

Hari ini, dalam realiti bahawa duit boleh menjadi sebab kepada segala-galanya, ada yang memandang remeh persoalan rasuah. Malah perlawanan terhadap rasuah dilihat tidak berpijak di bumi nyata.

Hari ini, jika orang mengambil rasuah dari kita, kita mungkin beri dan sebahagian kita mungkin memaki hamun di belakangnya. Hari ini, jika ada yang menolak rasuah, kita mungkin gembira kerana duit kita selamat. Lihatlah bahawa percaturan rasuah adalah percaturan soal kepentingan diri sendiri tanpa moral.

Dan percaturan diri sendiri tanpa moral bukanlah sebahagian cita-cita Negara Maju, Aman dan Adil. Liberalisme adalah cita-cita kebebasan individu dengan kompas moral yang jelas!

Rasuah Musuh No. 1 Negara!

6 comments:

  1. salaam,

    amin, apakah benar liberalisme adalah cita-cita kebebasan individu dengan kompas moral yang jelas?

    moral yang jelas? objektif?

    ReplyDelete
  2. salam aqil,

    untuk saya, tiap idea punya sisi baik dan sisi buruk - terpulang kepada cara pembawaan kita. saya mungkin risau dengan ruang salah laku yang berpunca dari pemikiran liberal, tapi saya juga optimis dengan ruang pemerkasaan melalui pemikiran liberal. jika kita tidak suka sebahagian, kenapa perlu tolak semuanya? mengapa sisi-sisi yang sinonim dengan pandangan Islam tidak kita giatkan wacananya?
    ya, dari sebahagian rujuk silang, saya fikir liberalisme bukanlah sesuatu yang prlu dilihat sebagai musuh sangat...

    ReplyDelete
  3. salaam,

    mengapa dirisaukan salahlaku yang berpunca dari pemikiran liberal?

    lagipun, apakah liberal juga punya keburukan yang harus kita resahkan? apanya keburukan tersebut? bukankah yang bermasalah ialah liberalisme, bukannya liberal?

    ReplyDelete
  4. salaam,

    dan tentang liberalisme sebagai cita-cita kebebasan individu dengan kompas moral yang jelas, ia adalah suatu kenyataan yang harus diberi dukungan lagi.

    ya, sejauh manakah liberalisme telah menawarkan dasar-dasar moral yang jelas? dan, adakah juga kejelasan moral yang ditawarkan oleh liberalisme itu benar2 tidak nisbi dengan tempat, waktu, dan suasana?

    ReplyDelete
  5. Kerana yang saya risau adalah - seperti mana Islam - penolakan total berlaku wewenang tanpa ada keinginan untuk bergelut memahaminya. Tiap idea ada hujah-hujah yang mempertahankannya - baik liberalisme, komunisme atau apa juga. Justeru, untuk saya, sisi baik atau buruk adalah untuk difahami dan dicari jalan pembaikan.

    Saya hanya optimis dengan Islam dan aliran2 pemikiran yang ada, saya percaya adalah sebahagian dari proses pembuktian untuk Islam. Hujah2 liberalisme, pluralisme dan sbgnya boleh saja kita ketemui di dalam Al-Quran dan Sunnah. Justeru, saya mahu ikut bergelut memahami dan melihat, mendengar, menyaring isu dan insyaAllah berdoa dan berusaha menemukan kebenaran.

    Sebagaimana Prof Wan Nazari mengkritik ekonomi liberal, jangan pula kita lupa sebaagian pemuka liberal juga tidak bersetuju, sama seperti mana tidak setujunya Prof Wan Nazari dgn pandangan pemuka liberal yang lain. Justeru, melonggok 'kesilapan' kepada liberalisme untuk saya boleh dicabar.

    Menangani jamak persoalan, saya mahu sedaya upaya berpegang kepada "majority rules, minority rights". Ya, saya mungkin tidak bersetuju dgn idea puak minoriti atau majoriti, tapi utk saya itu bukan alasan untuk saya menafikan hak mereka untuk percaya atas apa juga yang mereka mahu percaya.

    Ada sebahagian umat berfikir bahawa jika mereka menemui kebenaran, mereka mahu 'paksakan' kebenaran ini kepada orang lain. Pada masa yang sama orang lain itu juga mendakwa menemukan kebenaran juga - justeru perlu ada cara yang menangani jamak kepercayaan ini. Dan jangan lupa kepercayaan ini sumbernya adalah pelbagai..

    Keburukan mana-mana idea - sama ada idea itu buruk, atau ia dipersembahkan dengan cara yang begitu buruk sekali.

    ReplyDelete
  6. Salam,

    Aqil, saya akan sampai kepada liberalisme dari pemahaman saya nanti. Mungkin saja liberalisme itu tidak menyeluruh, tapi untuk saya sekurang-kurangnya ada beberapa bahagian penting untuk difahami dalam aspek moral melalui liberalisme

    1) Prinsip autonomi melalui kebebasan individu (sefaham saya dosa individu tertanggung atas diri mereka sendiri, bahkan kerja jemaah juga adalah dihitung dalam 'akaun individu')

    2) Hak sama rata - bahawa tidak ada manusia yang lebih superior antara satu dgn yg lain (dalam Islam kita faham bahawa yg membezakan kita adalah taqwa - satu bentuk intrinsic value yg hanya Allah s.w.t. yang akan memberikan pengadilan-Nya)

    3) Hak untuk bebas (tidak perlu kita bicara terlalu lanjut tentang kebebasan ada batas, kerana kita juga tidak menolak undang-undang dengan seluruh proses yang adil untuk kes-kes keganasan dan sbgnya)

    Sekurang2nya 3 ini di peringkat asas.. :)

    ReplyDelete