Tuesday, July 15, 2008

Analisis dan Ulasan 1 : Debat DS Anwar-YB D Shabery

Aku pernah mahu jadi pendebat, sebelum aku memilih untuk tidak meneruskan keinginan itu. Waktu itu nama UPM agak tersohor di arena debat. Salah seorang pendebat UPM ialah YB Amir Sari, ADUN Batu Caves sekarang. Tapi aku kira tidak salah untuk aku cuba memberi ulasan terhadap Debat Bersejarah: DS Anwar dan YB D Shabery Chik, dan aku mahu cuba lakukan ini secara bersiri. Semoga dapat dihabiskan sebelum aku 'berehat' * di luar negara.

Debat ini pada keseluruhan motifnya adalah untuk pembentukan persepsi politik. Jika sekadar penghujahan, kita umum rancangan hujah telah membawa beberapa pandangan sebelum ini. Hanya saja kali ini kerajaan memberi ruang kepada Ketua Umum PKR, DS Anwar mewakili Pakatan Rakyat sementara kerajaan Barisan Nasional hanya meletakkan tokoh muda, D Ahmad Shabey Chik, Menteri Penerangan mewakili mereka. Sebagaimana entri aku pra-perdebatan, ia tidak lebih dari bahasa politiknya untuk discredit DS Anwar beserta Pakatan Rakyat (baca begini: jika DS Anwar gagal, beerti runtuhlah alternatif sebuah kerajaan baru. Jika D Shabery gagal, hujah bahawa dia kurang pengalaman masih dianggap sah).

Tajuk debat "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" jelas meletakkan beban pembuktian kepada DS Anwar selaku pencadang usul dan D Shabery sebagai pembangkang usul pula hanya sepatutnya berfungsi untuk menolak usul ini dengan menimbulkan keraguan munasabah terhadapnya.

Secara literal, meski harga penurunannya 10 sen sekalipun, ia sudah cukup untuk mengatakan DS Anwar berjaya membawa usul ini. Tapi sudah tentu kita tidak harus rigid dengan persoalan literal. Aku melihat debat ini lebih kepada merumus kebijaksanaan kebijakan-kebijakan (baca: dasar-dasar) kerajaan dalam pengurusan ekonomi. Dan ekonomi adalah aspek yang cukup luas serta mempunyai dinamikanya tersendiri.

Puncak perdebatan semalam aku lihat begini - siapa yang lebih dapat menunjukkan keadilan dalam pembuktian usul (mencadang atau membangkang), maka rakyat akan bersamanya. Keadilan di sini adalah sejauh mana proses pembuktian ini dapat meyakinkan rakyat bahawa pertimbangan-pertimbangan ekonomi, khususnya harga minyak akan dapat mengekalkan pertumbuhan dan meredakan kesukaran rakyat.

Seorang libertarian sudah tentu berharap YB D Shabery Chik mampu mewakili penghujahan mereka. Tapi realiti Malaysia yang serba senget akan menyukarkan beliau dalam konteks pembuktian fakta kes. Mengambil kira pengalaman dan pendirian DS Anwar yang kekal mendokong pasaran terbuka dalam banyak kenyataannya (juga tiang dari kepercayaan libertarian), adalah menarik untuk melihat beliau mengambil posisi pembawa usul ini. Dan ini mungkin menjelaskan Dasar Ekonomi yang berlegar di kalangan pemikir Jerman - Social Market Economy, yang cuba mengharmonikan pandangan ekonomi Sosialis dan Kapitalis. Dan untuk aku yang cenderung centrist, ini adalah bentuk ekonomi yang dekat dengan pandangan ekonomi Islam, mengambil yang baik dari keduanya. Aku sebenarnya tidak suka memberi label agama kepada apa-apa perbuatan, ternampak seolah-olah selainnya tidak agama (baca dalam konteks pengertian ibadah yang luas).

Maaf ya agak bersimpang siur. Selepas ini kita akan masuk ke maudhuk perdebatan semalam.

* Berehat di sini maksudnya 'lari sekejap dari isu semasa di Malaysia' dan 'masuk ke lembah antarabangsa', aduh!hehe..

No comments:

Post a Comment