Monday, July 28, 2008

Musim Panas

Ya, ia benar-benar tentang musim panas di San Diego, bukan musim panas dalam politik Malaysia. Dan ini hanya catatan biasa yang umum..aku masih belum sepenuhnya dengan mood menulis.

18 jam di atas penerbangan dari Kuala Lumpur-Taiwan-Los Angeles-San Diego cukup untuk buat aku keletihan. Sempat juga singgah di Balboa Park (antara Taman yang terbaik di dunia dengan 15 muzium pelbagai tema dan pelbagai tarikan lain) sebelum menghadiri 21 ucapan sekitar falsafah, sejarah, undang-undang dan ekonomi yang berpaksikan persoalan kebebasan.

Aku kira ada jurang yang agak besar dalam wacana di Malaysia dan Amerika. Juga persoalan budaya yang mendasari wacana.

Sayang Yon Goicochea Lara tidak dapat hadir di saat akhir kerana datuknya sakit kuat dan kemudiannya meninggal semasa kami di pertengahan kursus. Tapi kami sempat bersama mantan Penasihat Ekonomi Rusia di bawah pemerintahan Vladimir Putin, Andrei Illirianov yang meletak jawatan sebagai protes kepada pendekatan ekonomi yang diambil Putin. Juga tidak ketinggalan Rejoice Ngwenya yang kuat menentang dasar Presiden Zimbabwe, Mugabe. Terlihat not 10 million Zimbabwe yang tidak bernilai dipamerkan di luar dewan - protes kepada dasar ekonomi yang gagal!

Hari pertama aku berkenalan dengan seorang Yahudi dan dia mendakwa "barangkali saya adalah orang Yahudi pertama yang saudara jumpa", dan aku mengakuinya. Sekitar isu hubungan Islam dan Amerika serta hubungan dengan Yahudi, aku bertegas kepada teman-teman di sana - dari Amerika kebanyakannya yang berminat untuk tahu, bahawa isu pokok terhadap rasa skeptikal umat Islam terhadap Amerika adalah sikap Amerika terhadap isu di Palestin dan juga isu-isu berkaitan Israel. Mereka mengakuinya dan mereka mahu terus berhubung dengan aku melalui email selepas ini berkaitannya. Ia mengingatkan aku kepada seorang teman, anak kepada peguam Chin Peng yang tamat pengajian Sarjananya di Oxford tahun lalu. Dia mengikuti sebuah pertubuhan yang ringkasnya menghubungkan kelompok Muslim dan Yahudi. Ia juga mengingatkan aku inisiatif Outward Bound, sebuah pertubuhan berasaskan pendidikan melalui pengalaman yang giat menghubungan belia Yahudi dan Palestin.

Pilihan kita tidak sedikit tentang isu Palestin dan Israel. Seorang teman yang cenderung Syiah tapi kaya kebijaksanaannya dari pandangan aku pernah memberikan pandangan bahawa Yahudi sebenarnya menuntut sebuah tanah yang dijanjikan kepada mereka dalam Al-Quran! Dan aku bertekad untuk cuba melihat persoalan ini dengan lebih jujur. Dia, saat aku mengajukan beberapa pandangan balas kekal berpendapat reaksi umat Islam, atas nama pertubuhan apa pun tidak sepenuhnya Islami (baca:mewakili pandangan teks dan konteks) dan ia memunculkan banyak masalah.

Sebelum balik, kerana program kami tamat sekitar jam 10 pagi (waktu Amerika) dan kapal terbang aku dari San Diego hanya pada 8.28 malam, aku memilih untuk bersama teman-teman dari US, Rusia, Azerbaijan dan Brazil (mereka sebahagiannya menaiki kapal terbang jam 10.30 dan ada yang bermalam di bandar) keluar menikmati udara bandar yang sesak kerana pelbagai persidangan antarabangsa, antaranya Comic Con (persidangan komik antarabangsa). Semua hotel dan hostel di San Diego penuh! Di mana-mana boleh terlihat anak muda menggalas beg besar Comic Con dengan pelbagai barangan. Dan kami memilih untuk berehat di kawasan pelabuhan sambil mendengar kisah ekonomi dan politik Rusia pra kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Rusia (USSR).

Aku percaya kunjungan pertama ke Amerika ini bukanlah kunjungan terakhir. Ramai teman-teman di sana sangat terkejut kerana aku benar-benar ke sana untuk kursus ini, dan tidak mengambil sebahagian masa untuk hal-hal lain. Amerika nyata sebuah penempatan dunia yang kompleks tapi aku rasa tidak sukar difahami.

Oh ya, aku hanya punya sedikit waktu di Lapangan Terbang Tom Bradley untuk menjengah kedai buku. Terlalu banyak buku yang menarik perhatian aku, tapi sayang wang dipoket aku tidak begitu mengizinkan, ditambah dengan ruang beg yang penuh (4 buku percuma dan 6 buku yang aku beli, serta cenderahati untuk adik-adik serta kedua mak dan ayah - maaf ya teman-teman!).

Selain mengulang lihat Forrest Gump di dalam kapal terbang, aku menghabiskan masa bermain catur dengan Garry Kasparov 2400 melalui permainan dalam sistem yang disediakan MAS. Tidak ketinggalan juga Be Kind Rewind lakonan Black Jack dan Danny Clover yang sungguh indie! Balik ke rumah, aku baru selesai menonton CD Blue Ray yang aku beli - Enemy of The States lakonan Will Smith dan akan menonton Love In Time of Cholera.

Itu saja buat masa ini.

No comments:

Post a Comment