Monday, July 28, 2008

Meletup Lagi!

Jet lag belum habis sepenuhnya, tapi aku mahu terus menulis - bukan tentang kursus singkat di San Diego, California (barang kali kemudian). Ada penulis muda terkenal pernah memohon untuk kursus jurnalisme di Iowa, tapi sayang tidak dapat (baca:belum dapat), dan dia terus menerus memaki Amerika, dunia yang entah sepenuhnya dia kenal atau tidak.

Raja Petra meletup lagi. Kali ini dengan dokumen doktor berkaitan tidak kesan liwat berlaku terhadap Saiful!

Sebenarnya isu tuduhan liwat terhadap DS Anwar pada pandangan aku adalah satu babak dari rancangan besar (grand design) untuk memastikan UMNO-BN terus berkuasa. Aku percaya ada beberapa kumpulan berbeza wujud dengan rancangan yang berbeza - paling tidak ada dua kumpulan yang mahu kekal berkuasa, dan yang mahu berkuasa melalui UMNO-BN (tanpa menafikan ada lebih kumpulan dengan percaturan berbeza). Pendek kata UMNO-BN berada pada kedudukan yang sangat terdesak atau lemah.

Dalam proses ini, yang muncul ialah karakter sebenar parti politik berasaskan kaum Melayu (sama ada bersalut agama atau tidak pada namanya - baca:memerlukan sokongan kaum Melayu, sama ada beralasan agama atau tidak). Dan kerana itu, aku tidak melihat ada kewajaran untuk menyokong agenda ini sepenuhnya.

Perpaduan adalah slogan muluk. Tidak ada manusia suka berpecah. Tapi sokongan perpaduan untuk aku bukan untuk menebalkan lagi dominasi kolektivisme terhadap individualisme. Atas nama perpaduan dan keagungan bangsa Aryan, Hitler merobek nilai kemanusiaan dan individualisme.

Yang ternampak dari 'apa pun nama yang nak diberi' tentang hubungan UMNO-PAS di belakang tabir, ia adalah percaturan yang kurang beretika untuk aku. Tidak beretika untuk aku di sini bukanlah persoalan perpaduan tersebut, tapi persoalan proses membina perpaduan tersebut. Premisnya boleh dipertikaikan. Jika atas nama menguatkan kedudukan Melayu di Malaysia, ia hanya akan memanggil kekuatan-kekuatan lain untuk terus membuat percaturan belakang tabir. Maka apa yang tersurat tidak selamanya akan jujur kepada rakyat.

Wacana dan idealisme politik di Malaysia untuk aku masih tidak banyak bergerak. Penyatuan PAS dan UMNO untuk aku tidak sepenuhnya salah. Tapi dari wacana yang berputar, ia jelas tidak bermula dari premis yang betul.

PAS perlu lebih progresif. Jika benar premis mereka adalah Islam, maka ia harus membangun manifesto yang lebih jelas dan juga perlu bersedia diuji di pasaran idea. Manifesto ini harus menggarap seluruh kekuatan dasar yang mahu diwujudkan dan tidak wajar harus sekadar berpaksikan Al-Quran dan Sunnah kerana terma 'atas nama Al-Quran dan Sunnah' telah banyak dipincangkan oleh sekian pihak.

Aneh. Cukup aneh.

Dari demikian banyaknya kepincangan dan keangkuhan berterusan UMNO-BN. Konklusi yang boleh hadir sebagai pilihan utama PAS ialah rundingan belakang tabir dengan UMNO!

Ya, seorang teman berbisik di telefon - isu ini akan tamat sedikit masa lagi (sekurang-kurangnya untuk waktu yang mendesak kini). Sebagai bukan orang parti, sudah tentu 'peduli apa aku' dengan isu BN atau Pakatan Rakyat akan perintah. Isu bagi aku adalah persoalan idea dan persoalan politik adalah persoalan dasar yang harus muncul dari kekuatan idea. Dan idea tidak harus selamanya dilihat sebagai produk akal yang memusuhi agama dan bangsa, bahkan ialah yang menguatkannya.

Ah, mereka hanya kenal 'konspirasi melawan Melayu dan Islam'. Peradaban dan budaya, entah apa makna sebenar yang mereka faham!

No comments:

Post a Comment