Bahagian 1
Dari video di atas, dalam masa 4 minit masa yang diperuntukan sebagai pembukaan, DS Anwar menegaskan usul dengan perincian bahawa pengurangan adalah sebanyak 50 sen untuk langkah awal disusuli dengan justifikasi keperluan usul ini dipertimbangkan sambil berkias bahawa keperitan orang Melayu umumnya berikutan kenaikan harga minyak (menyangkal dakwaan UMNO-BN sebagai juara Melayu dan dakwaan mereka bahawa DS Anwar pengkhianat Melayu). Bagi membolehkan 50 sen ini diturunkan, 5 billion diperlukan sebagai tambahan kepada peruntukan yang sedia ada. Cara mendapatkan 5 billion ini juga cuba ditunjukkan dengan mengambil satu contoh dari keuntungan IPP (Independent Power Producer) yang boleh dikurangkan dengan mendapat 2-3 billion daripadanya. Beliau juga menunjukkan pemisahan belanja Petronas untuk pengurusan dan juga apa yang diberi kepada kerajaan.
DS Shabery Chik pula dalam kenyataan awalnya cuba menempelak DS Anwar dengan mendakwa pilihan DS Anwar adalah populis dan pilihan kerajaan adalah lebih tepat - naikkan harga minyak. Beliau mendakwa DS harus mengikut ucapannya sebelum Pilihan Raya Umum 2008 - bukan turun sekadar 50 sen. DS Shabery menjelaskan bahawa kenaikan harga minyak adalah fenomena sedunia di mana beliau memberi contoh perang di Iraq, kemungkinan serangan di Iran, permintaan di China dan India dan sebagainya. Beliau membawa contoh sejarah sekitar 70-an di mana Perang Ramadhan berlaku dan negara-negara Arab mengenakan embargo kepada negara-negara yang menyokong Israel dan pada masa yang sama mengurangkan keluaran minyak. Inflasi teruk sedunia berlaku dengan kenaikan harga minyak naik 400% daripada 10 dollar setong kepada 40 dollar setong. Tahun 1974 Tun Razak tubuhkan Petronas dan Malaysia dikenakan tekanan, DS Anwar dikatakan berarak di jalan raya - suka mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. Beliau berhenti dengan kenyataan akhir - memberi subsidi minyak bukan penyelesaian.
Soalan Dato' Johan Jaafar - Petronas menguasai 40% pasaran runcit petroleum. Jika subsidi yang besar diberikan, kerajaan perlu menanggung beberapa syarikat minyak raksasa yang ada di negara ini contohnya Shell dan Exxon Mobil.
DS Shabery mengatakan kita perlu akui kaedah subsidi tidak bertahan lama - beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi. Wang patut dilaburkan untuk kepentingan rakyat, jika untuk minyak akan digunakan oleh orang kaya. Syarikat lain dapat untuk dari kaedah ini, maka lebih baik bagi terus kepada rakyat. Negara maju yang kaya juga tidak rasuah contohnya Norway tidak memberi subsidi dan kita perlu bergerak ke arah itu.
DS Anwar menjawab pendapatan per kapita di Norway 10 kali lebih besar dari Malaysia, justeru perbandingan asas yang diberi adalah meleset. Kenaikan mendadak cukup membebankan dan ini akan memberi kesan kepada masa depan UMNO-BN. Prinsip subsidi sama dengan insentif - melalui infrastruktur, pelabuhan dan sebagainya dan bailout - tampung kerugian MAS, Perwaja dan sebagainya cuma namanya beza. Kenapa kepada rakyat ia disebut subsidi dan kepada peniaga disebut insentif? Malaysia punya dana, dan kita bertanggungjawab.
Pandangan aku :
Aku tidak mahu jadi macam seorang pencacai UMNO-BN yang aku temui lama sebelum ini. Dia melihat kenaikan harga minyak sebagai kebodohan Pak Lah. Almaklum, fanatikus UMNO-BN dan pembenci DS Anwar hanya kenal UMNO-BN.
Biar aku nyatakan secara jelas, sama seperti 'ceramah percuma' aku kepadanya - bahawa hujah kenaikan harga minyak (baca:penarikan subsidi) adalah hujah libertarian. Hanya saja UMNO-BN tidak cukup kuat dari segi fakta kes untuk cuba menjadi libertarian. Dalam PKR, kini aku dapat kesan telah bergerak wacana yang lebih sengit. Kelompok kiri dan kanan kini bertarung secara sihat untuk merumus dasar. Khabar baik ini muncul dari mulut Dr. Syed Husin Ali sendiri semasa Seminar Gagasan dan Kebijakan "Hujah bahawa subsidi minyak lebih banyak dinikmati oleh orang kaya ada benarnya, justeru kita mesti memberi perhatian yang lebih dalam merumus dasar (baca:kebijakan)". Libertarian, di mana-mana menolak kezaliman nyata berbanding spekulasi. Maka, sediakan UMNO-BN membetulkan kezaliman yang nyata berbanding kezaliman spekulasi?
Berdasarkan konteks debat, aku kira kedua-dua mereka ada hujah yang jelas di sini. Hanya saja DS Anwar lebih bertumpu kepada isu dan menjelaskan latar masalah rakyat dengan lebih jelas berbanding D Shabery Chik yang dilihat ramai berpegang pada faham pembuktian "waima apa pun, BN yang terbaik dan DS Anwar adalah pengacau" (jenis faham yang memang dipupuk di BTN dan Mahathirisme). D Shabery sepatutnya meyakinkan rakyat dengan mengheret isu ini kepada - bagaimana kenaikan harga minyak dapat menyelesaikan masalah rakyat dan menyelamatkan negara. Jika ini adalah premis debat dari D Shabery Chik, aku rasa debat pada malam itu akan berakhir dengan kepuasan ramai secara luar biasa.
Dalam menyerang sikap DS Anwar sekitar tahun 1970-an, aku kira D Shabery harus lebih adil. Jelaskan jika benar perarakan DS Anwar itu adalah kerana menentang penubuhan Petronas atau isu lain? Jika isu lain, apa perlu disebut? Apakah jika keputusan Tun Razak benar tentang penubuhan Petronas, maka ia akan benar dengan keputusan-keputusan yang lain? Dan aku tidak fikir Tun Razak dan DS Anwar berseteru panjang jika kita tahu sejarahnya Tun Razak pernah minta kepada Dato' Ibrahim untuk menghantar DS Anwar ke luar negara dan menyambung pengajian dalam bidang Undang-Undang. Dato' Ibrahim juga bekas Ahli Parlimen dari UMNO-BN dan di situ aku kira uniknya DS Anwar.
Balik kepada maudhuk minyak, D Shabery Chik membawa contoh yang tidak sepenuhnya salah - peristiwa 1970-an, saat Petronas baru ditubuhkan. Konteks bicara harus jelas bahawa zaman penentangan terhadap Imperialisme Amerika dan pertentangan dengan Aliran Kiri yang diterajui Soviet memang mudah menarik penentangan dan sokongan (bergantung kepada sisi mana anda melihat isu). Contoh Norway adalah contoh yang terbatal berdasarkan jawapan balas DS Anwar. Tentang Venezuela? Nanti ya, tunggu rakaman selanjutnya...
Untuk aku hujah D Shabery Chik tidak perlu bersandar kepada pra PRU-12 kerana yang jelasnya bila beliau minta DS Anwar turunkan ikut harga pra-PRU-12, adakah beliau bersetuju dengan premis minyak boleh diturunkan? Adakah beliau lupa cerita pra-PRU-12 adalah bersandar kepada harga minyak sebelum PRU-12?
Nota :
Dalam membela premis DS Anwar yang lebih kuat berbanding premis D Shabery yang sepatutnya boleh lebih kuat, aku suka galakkan pembaca memahami pendirian ekonomi dari pelbagai ideologi politik. Ini akan lebih membantu kita. Tidak perlu fanatik ideologi, kerana keutamaan kepada isu kenegaraan ini cukup banyak dan ia tergantung kepada set nilai yang kita pilih darinya.
Jumpa lagi dalam lanjutan rakaman yang lain...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment