Friday, July 11, 2008

Perspektif

Jika kita membaca surat khabar, kita tentu pernah bertemu dengan bahagian Surat Pembaca. Surat-surat ini boleh jadi surat yang betul-betul datang dari pembaca, selebihnya ia adalah bahagian yang dibuat untuk memandu isu yang akan muncul.

Hal di atas lebih kurang sama dengan isu-isu di blog. Meskipun blog adalah tulisan individu (dan seorang libertarian tentu sukakan perkembangan ini), ia tidak menafikan bahawa pandangan kolektif boleh dibentuk melaluinya.

Lewat seminggu ini kita dapati ada pengulangan beberapa isu penting. Isu 'londeh seluar' oleh Alak, vokalis Carburetor Dung, antara kumpulan muzik underground tertua di Malaysia tiba-tiba diangkat sebagai isu kepentingan negara oleh sebahagian kelompok politik yang mahu menjuarai isu negara dan masyarakat. Isu Alak punya simbol yang tersendiri, tetapi sayangnya isu ini telah diheret ke perspektif yang tidak sepatutnya. Dan aku malu melihat wacana yang berlaku sangat cincai. Dalam bahasa dakwah, sudah tentu kekal jadi pilihan utama aku ialah perspektif Ustaz Hasrizal.

Hari ini kita tengok ada tangan teokrasi masuk dalam mimbar masjid. JAKIM yang menyelenggara khutbah bagi pihak kerajaan, dan selama ini diguna sebagai lambang 'Islamisasi' oleh kerajaan dikatakan telah 'membela DS Anwar' dari teks khutbah yang disediakan.

Ada pengadu domba mahu terus menyemarakkan percanggahan dalam Pakatan Rakyat. Meskipun tidak guna untuk menipu diri sendiri bahawa kerjasama Pakatan Rakyat adalah satu kerjasama pelik dan unik (dari perspektif ideologi dan pendekatan perjuangan), gambaran besar terhadap isu di Malaysia tidak harus dikesampingkan. Jika mereka lebih selesa PAS berada di luar Pakatan Rakyat, mereka harus menjawab bagaimana ia dapat menidakkan kezaliman yang dihadapi masyarakat dari kepimpinan bobrok UMNO-BN. Perkembangan dari orientasi kampus baru-baru ini cukup menunjukkan bahawa UMNO-BN tidak akan beranjak dari state of denial dan akan terus memusatkan isu kaum dan diberi topeng agama agar ia dapat memukau pandangan ramai. Pandangan agama ini akan dimunculkan melalui slogan 'Amerika', 'Zionis' dan pelbagai lagi yang sebenarnya mereka sendiri tidak ada jawapan konkrit. Jika tidak percaya, tanya mereka (baik UMNO atau PAS atau siapa saja), apakah mereka mahu halau Kedutaan Amerika dari Malaysia? Atau apakah langkah untuk mengurangkang pelaburan ekonomi dari Amerika atau negara-negara yang mendokong kewujudan Israel? Cukup untuk aku katakan, kerencaman yang ada memerlukan wacana yang lebih jujur dan beerti, tidak semudah slogan membenci.

Kata TG Haji Hadi "kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu". Aku tidak pasti sama ada benar semua kaum menerimanya dengan rela. Aku tidak ada masalah untuk mengatakan Melayu wajar mengetuai negara dan semua kaum sedar bahawa untuk menjamin kestabilan politik, ia wajar menerimanya (sekurang-kurangnya buat masa ini). Tapi garis yang lebih besar dan jelas ialah Melayu yang bagaimana? Melayu yang korupsi? Melayu yang zalim? Apakah untuk mengukuhkan komitmen ini PAS sanggup menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan dasar yang lebih meyakinkan? Seingat aku, DS Anwar adalah lebih ke depan dalam memperihalkan isu ini. Ke mana PAS selama kewujudannya dalam membicarakan isu ini? Saranan aku, PAS harus mula berorientasi ke depan.

Aku percaya PAS tidak ketandusan sisi dari perkembangan gerakan Islam dan 'negara Islam' seluruh dunia untuk membantu mereka. Mereka mendakwa negara mereka negara Islam, justeru model mana pilihan PAS? Atau PAS ada model lain? Jika model lain, bagaimana? Kenapa berbeza? Dalam isu mubahalah aku tidak mendengar dengan jelas pandangan PAS melainkan perspektif hambar TG Haji Hadi yang gagal melihat isu tuduhan terhadap DS Anwar dalam konteks yang lebih besar. Mujur ada komentar untuk isu ini diselesaikan di mahkamah yang ADIL. Tapi dalam bahasa politik, PAS gagal menggarap isu ini sebagai landasan bahawa PAS lebih layak memerintah Malaysia (tidak bermakna parti lain berjaya ya! kecuali UMNO mungkin mendapat kredit dari kegagalan lawannya).

Aku tidak ada masalah dengan mana-mana parti. Mereka parti politik, dan aku individu. Untuk aku syurga itu atas pilihan Allah s.w.t.. Orang politik cukup ramai yang aku kenal baik-baik malah dihormati. Tapi membicarakan isu negara tidak boleh sekadar itu. Telinga aku yang kena sembur dengan kawan-kawan ni terpaksa aku tadah untuk kebaikan aku sendiri, kerana berjalan mesti ke depan...

Ini mungkin cebisan pandangan TG Nik Aziz yang terbaik dalam memerangi akar kewujudan UMNO-BN.

No comments:

Post a Comment