Aku hanya dapat membaca dari jauh perkembangan politik Malaysia. Nampaknya isu 'muzakarah' (baca: muqabalah, menurut YB TG Nik Aziz) telah terapung dan menjadi isu keperihatinan ramai. Saat ini PAS mungkin rasa terdesak kerana apa yang selalu dipercayai gerakan yang menggunakan nama Islam sebagai nama kelompok mereka sebagai sir (kerahsiaan) kini tidak lagi menjadi rahsia. Sebab itu aku telah menghidu lama, kena beberapa pendedahan dari kelompok bloggers tentang 'muzakarah' ini mulanya tidak dijawab (seolah-olah tidak berlaku), kemudiannya dikuatkan lagi dengan 'hentaman keras' tetapi kemudiannya seolah ada perubahan strategi untuk menjadi superior hinggalah ia sendiri ditelanjangkan oleh PM baru-baru ini.
Politik ala PAS mahu ke mana?
Meski saya akui bahawa terlalu ramai sosok dalam PAS adalah sosok yang aku hormati, akui dan sanjungi akhlaq dan peribadi mereka, ia tidak bermakna dalam urusan masyarakat membolehkan mereka berbuat apa saja. Ya, ia juga sama seperti DS Anwar.
Bila wakil UMNO mahu merundingkan kepentingan Melayu-Islam (kununnya!) dengan DS Anwar, beliau tegas bahawa ia mesti melibatkan pimpinan lain dalam Pakatan Rakyat. Ini penting untuk ditanggapi, bahawa Pakatan Rakyat adalah sebuah pakatan yang melangkaui falsafah politik biasa di Malaysia. Dan ia masih baru sebagaimana kata YB TG Nik Aziz.
Entah apa malang di Malaysia, kita tidak minat dengan politik idea.
DS Anwar akan berterusan dilabel agen Barat, kerana ini adalah permainan psyche Melayu yang telah sekian lama diwar-warkan - Barat seluruhnya jahat dan mereka adalah kuasa Imperialis yang hanya mahu meluaskan kuasa. Ia dikuatkan lagi dengan sokongan kelompok Sosialis-Komunis yang juga turut sama memainkan jarum yang sama. Lihat saja di benua Amerika Latin, jarum yang sama dimainkan Chaves, Castro dan lain-lain lagi.
Sebab itu agenda kebebasan yang mahu diperjuangkan di Malaysia adalah berliku. Malah aku kini melihat ia juga berliku di Amerika dan banyak negara lain. Hanya saja kelompok libertarian yang kuat mendokong agenda kebebasan sedikit selamat di negara lain kerana mereka dididik meletakkan Perlembagaan Negara di tempat yang tinggi. Justeru, kerangka perjuangan mereka adalah absah dan mereka lebih banyak menumpukan masa kepada persoalan idea bersangkutan. Tidak semua mereka peduli persoalan kuasa sebaliknya mereka peduli persoalan "apa itu kebebasan?", "apa itu keadilan?" dan sebagainya. Kerja mereka adalah menterjemah persoalan falsafah kepada bentuk praktis. Mereka percaya kepada engagement kerana mereka sentiasa mahu bersedia untuk pembinaan semula alam fikir mereka. Kenyataan ini bukanlah menunjukkan bahawa libertarian adalah kelompok sempurna dalam masyarakat! Tapi untuk aku ia adalah pilihan yang baik dan wajar diperhatikan. Dan ini adalah sebahagian jawapan awal kenapa aku tidak berparti.
Kita?
Sedarkah bahawa dunia kita dilihat sebagai musuh utama kebebasan? Sedarkah bahawa dunia kita dilihat musuh utama alam fikir? Dan begitu banyak lagi kepincangan yang kita sapu ke bawah tikar dengan memesongkan makna perjuangan kepada - ini semua agenda asing! Dan kita tidak pernah mahu bergelut dengan idea.
Mungkin telahan DS Anwar ketika mengemukakan pandangan kesesuaian dan keperluan Pasaran Bebas dan Islam di Minaret of Freedom Institute penting untuk diperhatikan. Kita terlalu lama bergelut dengan wacana sepihak - wacana kiri yang mendominasi idea pasca Perang Dunia, tanpa kita sedia memberi ruang kepada idea lain. Dunia kiri atau kanan, atau selainnya, untuk aku baik saja - selagi mana kita mahu menekuninya dengan kewarasan fikir.
Wednesday, July 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment