Hari ini aku dimaklumkan bahawa usul Undi Tidak Percaya telah dibawa oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, DS Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Aku tidak pasti, adakah ini kali pertama usul undi tidak percaya dibawa ke Parlimen sepanjang sejarah kemerdekaan Malaysia. Untuk kita sebagai rakyat, kita tahu bahawa usul ini punya justifikasi meskipun aku separuh yakin ia boleh berjaya. Pilihan aku ialah peralihan kuasa berlangsung dalam Pilihan Raya ke-13. Tapi dalam situasi UMNO-BN kekal dalam state of denial pasca Keputusan Pilihan Raya ke-12, usul ini ada kewarasannya. Aku tak tahu sama ada ia benar-benar telah diperhalusi oleh Pakatan Rakyat. Rakyat untuk aku kekal mahukan keamanan, dan keamanan ini tanpa membelakangkan keadilan.
Aku juga terbaca berita peralihan kuasa oleh Perdana Menteri akan berlaku pada 2010. Tempoh dari sekarang ke 2010 bukanlah satu tempoh yang lama untuk kita, tapi ia cukup lama untuk sesuatu berlaku dalam arena politik tanah air. Justeru, ahli politik kini mungkin mula mengambil posisi yang lebih jelas dalam percaturan kuasa mereka. Jarak yang tidak terlalu panjang adalah satu jaminan rasa lega untuk DS Najib barangkali, sekurang-kurangnya untuk tidak gopoh bertindak. Tapi jika kita mengambil pengalaman DS Anwar 'disepak' keluar dari UMNO-BN sebelum ini, nyata tempoh itu memadai. Malah isu yang menghimpit DS Najib lebih besar berbanding isu yang menghimpit DS Anwar dulunya. Tun Dr Mahathir percaya bahawa DS Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri.
Aku agak jengkel bila YB Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar beria menggesa PM Australia untuk bertemu DS Anwar. Meski ada justifikasi bahawa PM Australia perlu mendapatkan perspektif berimbang, dan DS Anwar adalah 'calon PM', adalah lebih wajar beliau menggesa PM Australia bertemu Ketua Pembangkang, DS Wan Azizah Wan Ismail. Meskipun ia tidak banyak menunjukkan perbezaan kerana DS Anwar juga berpeluang hadir, aku kekal percaya kesilapan asas yang sedang berlaku sekarang ialah peranan DS Wan Azizah yang dilihat tenggelam dengan hebahan media yang sangat minima. Dan hal ini untuk aku tidak membina rasa hormat terhadap institusi Parlimen (walaupun budaya di Malaysia kekal dengan budaya popular).
Isu asas adalah isu demokrasi. Rudd seharusnya berasa bebas untuk menemui sesiapa. Dan Rudd juga seharusnya rasa bebas untuk tidak menemui sesiapa. Sudah tentu sebagai PM Australia, Rudd bersikap canggung dengan isu-isu yang sepatutnya dijadikan isu keperihatinan bersama. Tapi isu ini perlu diperhalusi, budaya politik berasaskan sentimen di Malaysia masih tebal dan belum terlihat kemahuan yang jelas untuk berani keluar dari aspek itu secara radikal. Maka, wacana jatuh nombor dua. Isu paling dominan yang sering dimainkan UMNO-BN ialah bantuan luar. Kesejagatan pergerakan demokrasi ternyata jadi satu cabaran untuk kita menentukan garis halus yang menyeliputinya.
Alih-alih isu Carburetor Dung telah jadi isu Negara. Lucu pulak rasanya. Sampai YB Husam Musa yang pernah seketika diwar-warkan calon MB Kelantan dan calon Perdana Menteri masa depan 'terpaks' buat kenyataan kontroversi. Aku tidak berminat nak cari salah siapa dalam isu ni. Tak guna nak tuding jari pada Carburetor Dung, Jawatankuasa atau Unit Amal. Pada aku keputusan mesyuarat harus dipatuhi oleh Isham. Tapi itu tidak harus menghentikan sikap inklusif (mungkin pada waktu yang lain). Kenyataan Alak dan Joe Kidd sebelum persembahan masih terngiang di telinga aku "Kami tidak mewakili mana-mana parti politik". Aku tak tahu sama ada kita menganggap itu sinikal tanpa erti. Untuk aku ia membawa erti yang cukup besar.
Mungkin benar adanya pendapat bahawa mengurus manusia adalah persoalan mengurus emosi. Tapi aku tidak mahu jadi 'binatang jalang', aku mahu jadi 'haiwan sosial yang berfikir!'.
Thursday, July 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment