Saturday, September 20, 2008

10 Tahun Selepas Reformasi

Aku tidak pasti, bila sebenarnya tarikh yang wajar kita rujuk sebagai titik mula Reformasi di Malaysia? Antara 2 September 1998, tarikh pemecatan DS Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri sehingga 20 September 1998, hari beliau ditangkap oleh sepasukan polis ala komando. Sebelumnya, Perisytiharan Permatang Pauh dizahirkan.

Reformasi membahang dengan slogan Undur Mahathir Undur! Jalan TAR, Masjid Negara dan Dataran Merdeka mungkin antara tempat yang kita akan kenang sebagai medan saksi keberanian rakyat. Dari tempoh 20 September 1998, doa tidak putus dipanjat. Tapi sedar atau tidak, ada pihak yang mempermainkan usaha ini. Misalnya mereka yang di BTN pernah mengungkap bahawa gagalnya DS Anwar keluar dari penjara dan terpaksa menghadapi ujian getirnya adalah bukti bahawa doa-doa ini tidak diterima. Mereka dengan angkuh membayangkan begini: cuba bayangkan doa ulama' merata dunia gagal menyelamatkan DS Anwar, malah Tun Dr. Mahathir kekal hidup sihat! Aduh, semudah itu lancang mulut mereka!

Kemudian tarikh baru muncul - 14 April mengenang lebam mata DS Anwar. Dari satu tempoh ke satu tempoh, rakyat bersabar dalam menghadapi kezaliman Tun Dr. Mahathir. Sekian banyak organisasi muncul rentetan peristiwa ini. Seluruh institusi dan jentera kerajaan bergerak angkuh mempertahankan kuasa. Sekian ramai diISAkan untuk mematikan langsung obor Reformasi. Dari zaman berani, mahasiswa mula ditekan. Di kampus, pada saat awal Reformasi hingga sekitar tahun 2002, tidak ada sekelumit keberanian untuk mahasiswa atau pensyarah menyatakan mereka pro-kerajaan (baca: UMNO-BN), tetapi rupanya selepas itu mereka seperti serigala lapar memburu mangsa.

Tapi Tun Dr. Mahathir sedar arus yang ada memaksanya berhenti sebelum terus dihina. Beliau berhenti tepat pada masanya sebelum melihat keruntuhan UMNO ketika berada di tangannya. Perdana Menteri, DS Abdullah hadir memberi harapan kepada rakyat. Pulihkanlah negara ini wahai cucu ulama' berlatar pengajian agama! Mereka yang kekal dalam arus Reformasi tergamam dengan harapan yang kian malap bila kemenangan besar UMNO-BN diumumkan. Jauh perlahan, mereka berbisik harap - DS Anwar akan bebas melalui DS Abdullah Ahmad Badawi. Arwah Pak Lang Zaki, saat itu di Palace of Justice (kini dikenali Istana Kehakiman) tegas menyatakan "Dia ini lebih jahat, lihat saja ketika dia menjadi Menteri Dalam Negeri!".

Aku yang kenal arwah Pak Lang sebagai seorang yang agak baran hanya diam. Ya, jauh di sudut hati aku juga berharap Malaysia akan melalui fasa jernih. Tapi kekal di hati kerisauan. Politik bukan semudah itu. Nyata telahan aku benar - sebuah gerombolan yang tidak berani berkata tidak pada Tun Dr. Mahathir, malah sebahagiannya turut sama memborong hujah bangsat ke seluruh pelusuk tanah air, tidak akan boleh mengubah apa-apa.

Pasca pembebasan DS Anwar, aku masih ingat saat YB Amir Sari dan YB Nurul Izzah menghubungi - DS Anwar saat berkeinginan berdialog dengan mahasiswa. Dialog terbuka dan pertama ini telah menghumban aku ke 'neraka kampus'. Nyata keangkuhan UMNO-BN dari lidah mereka di BTN tidak cukup ampuh berdepan dengan rasionalisme. Keberanian aku memanjangkan kaki untuk hadir jadi hujah untuk memasung setiap inci pergerakan aku di kampus hatta mandat warga kampus juga dipersetankan.

Kini DS Anwar berada di Parlimen dan mencatur perjalanan akhir sisa politiknya. Ya, beliau paling lama pun hanya ada 3 penggal. Itu paling lama. InsyaAllah jika kita panjang usia, kita akan terus mewarisi perjuangan Reformasi.

Tiap dari perubahan itu punya idea. Idea muncul dari tokoh. Tokoh dan idea sentiasa dua entiti yang kadang tercantum dan kadang terpisah.

Maka dengarlah wahai teman-teman, mereka yang mahu menjadi penyambung lidah Reformasi, kejujuran saja tidak mencukupi...rahsia Tuhan ada di sebalik kebijaksanaan yang bercantum dengan ikhlas niat dan amal.

No comments:

Post a Comment