Thursday, September 4, 2008

Cerita Ramadhan di Malaysia

Cerita 1

Dr. Mohd Osman Abdul Hamid akhirnya 'keluar dari persembunyian' dan mempertahankan laporan perubatannya yang entah dibocorkan oleh siapa - bahawa Saiful "Sumpah" Bukhari tidak pernah diliwat. Ada kawan menyatakan kepada aku - Saiful sedang sakit sekarang tapi aku tidak mahu lagi menjadikannya asas untuk menghentam Saiful. Juga dikhabarkan Musa Hassan, Ketua Polis Negara dalam situasi yang cukup genting. Semoga mereka bertaubat dan diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi muslim yang lebih baik. Syurga neraka adalah kerja Tuhan, begitu juga hal hidup dan mati. Semoga kita mengambil pelajaran.

Pendedahan Dr. Osman sebenarnya membuktikan ada kepincangan dalam proses penyiasat polis. Ini bukan satu pertuduhan jahat tetapi ia sesuatu yang serius. Kepincangan ini bukan baru tetapi telah ditunjukkan Tuhan bila Saiful sendiri menyatakan 'dia dipaksa'. Pendakwaan tidak mungkin muncul tanpa siasatan. Apatah lagi bila dimaklumkan bahawa Saiful dalam jagaan polis! Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam proses ini. Rakyat belum cukup bodoh untuk membiarkan perkara ini berlanjutan kerana dengan semangat Kemerdekaan, kita masih boleh mencintai Malaysia tanpa perlu mencintai Kerajaan UMNO-Barisan Nasional. Kita masih boleh mengangkat martabat Melayu dan Islam tanpa perlu berlaku tidak adil kepada bangsa dan agama selainnya. Kita seharusnya sedar bahawa penyatuan Melayu atau Islam adalah retorika kosong tanpa disokong oleh Kedaulatan Undang-Undang dan manifestasi keadilan dalam prosesnya.

Cerita 2

Tokoh Kewartawanan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia kira-kira 6.30 petang tadi di Pusat Perubatan Pantai selepas menghadapi jangkitan paru-paru penghujung bulan lalu. Al-Fatihah.

Pak Samad mungkin antara tokoh yang ingin aku temui tapi sayang tidak berkesempatan. Kita generasi muda di Malaysia cukup bertuah kerana berpeluang hidup selisih zaman dengan mereka yang telah banyak berjasa kepada negara. Buruk dan baik manusia sesudah mati kita serahkan kepada Allah s.w.t.. Kita diajar untuk cakap yang baik-baik saja tentang si mati dalam budaya kita. Ya, maafkan dosa yang lalu tetapi ambil ingatan untuk kehidupan seterusnya.

Cerita 3

UMNO minta maaf atas kenyataan Ketua Bahagian Bukit Bendera dan YAB PM kata itu adalah kenyataan peribadi dan bukan pendirian UMNO. UMNO juga meminta GERAKAN memberi mereka peluang sekali lagi. Sambil itu, ada laporan BPR terhadap YAB PM dan YAB TPM.

Sebenarnya kenyataan perkauman ni lebih semarak di Biro Tata Negara (BTN). Tanya saja kepada mereka yang pernah hadir terutama bukan kursus asas. Pasca Reformasi 1998, nama DS Anwar Ibrahim tidak pernah sunyi dari maki hamun mereka. Nama aku juga pernah naik di layar pertunjukan slaid mereka sebagai mahasiswa yang menyokong DS Anwar.

SMS dari BTN yang dipanjangkan oleh TNC kepada aku dulu untuk melucutkan jawatan sebagai Pengarah Konvensyen Mahasiswa Nasional bukan rahsia di kalangan MPPUPM. Hatta, biar kontinjen UPM sendiri tidak cukup, aku dan kawan-kawan lain yang ada di UPM tidak dibenarkan hadir. Suara TNC yang berbunyi dari corong telefon bimbit mereka yang memujuk TNC berbunyi begini:
"buat apa kita nak bagi peluang kepada orang yang sokong pembangkang?". TNC yang sama hadir bertemu kami dulu dengan angkuh memakai tag "Perwakilan UMNO". Ada orang BTN pernah dengan angkuh berkata pada aku "YB-YB pun kami bantai juga" untuk menunjukkan betapa berkuasanya BTN dalam politik perkauman ala UMNO-BN. TNC ini khabarnya adalah calon NC kerana Menteri Pengajian Tinggi sekarang adalah dari 'kampungnya'. TNC ini cukup terkenal dengan seruan perkauman di kampus terutama dalam perjumpaan tertutup. Sebenarnya seruan perkauman ini bukanlah dalam bentuk Melayu, tetapi satu kaum yang tak pernah dikenal di dunia lain - namanya UMNO-BN.

Entah kenapa, kenyataan bahawa manusia dilahirkan bebas tetapi di mana-mana mereka terpenjara adalah tepat untuk menggambarkan bagaimana manusia sendiri memusuhi kebebasan orang lain tetapi mahukan kebebasan untuk dirinya. Kita harus semaikan semangat kebebasan kepada semua - baik kawan atau lawan atau sesiapa saja. Kebebasan memang sentiasa datang dengan tanggungjawab. Hanya mereka yang cemburu dengan jaminan asas Perlembagaan berkaitan kebebasan yang sering meracau bahawa "kebebasan datang dengan tanggungjawab". Tanggungjawab juga datang untuk menjamin kebebasan - bukan untuk memusuhinya!

No comments:

Post a Comment