i) Nuzul Quran
Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa itu bahawa orang berfikir selama beberapa waktu tiap tahun menjauhkan diri dari orang ramai, berkhalwat dan mendekatkan diri dengan Tuhan-Tuhan mereka dengan cara bertapa dan berdoa, mengharapkan rezeki dan diberi pengetahuan.
Tatkala Muhammad (s.a.w.) sendiri dalam keadaan tidur di Gua Hira' pada 17 Ramadhan, datanglah malaikat membawa sehelai lembaran seraya berkata kepadanya "Bacalah!". Dengan terkejut Muhammad (s.a.w.) menjawab "Saya tidak tahu membaca". Kemudian malaikat berkata lagi "Bacalah!" dan dijawab Muhammad (s.a.w.) "Apa yang akan saya baca?". Malaikat lalu berkata "Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Dan Tuhanmu Maha Pemurah. Yang mengajarkan dengan pena. Mengajar manusia apa yang belum diketahuinya..."
Lalu ia mengucapkan kata itu. Malaikat pun pergi...(ada sebahagian berpendapat wahyu turun dalam keadaan Muhammad (s.a.w.) jaga).
ii) Badar
Pada hari kelapan Ramadhan tahun kedua Hijrah, Nabi s.a.w. berangkat dengan para sahabat r.a. meninggalkan Madinah. Pimpinan solat diserahkan kepada Amr bin Umm Maktum, sedang pimpinan Madinah kepada Abu Lubaba dari Rauha. dalam perjalanan ini muslimin didahului oleh dua bendera hitam. Mereka membawa 70 ekor unta yang ditunggangi secara silih berganti - termasuk oleh Baginda s.a.w. sendiri bersama Saidina Ali k.w. dan Marthad al-Ghanawi. Jumlah mereka ialah 305 orang - 83 dari Muhajirin, 61 dari Aus dan selebihnya Khazraj.
....Dari berita yang diterimanya "kadang-kadang sehari sembilan, kadang-kadang sepuluh" bila menyoal jumlah ternakan yang dipotong sehari cukup untuk menggambarkan kepada Baginda s.a.w. bahawa pihak musuh seramai 900 hingga 1000 orang.
...Muslimin berangkat ke tempat mata air di Badar, dan perjalanan ini lebih mudah kerana hujan. Setelah hampir, Muhammad (s.a.w.) berhenti. Hubab bin Mundir, orang yang paling banyak mengenal tempat bertanya selepas melihat Nabi s.a.w. turun di tempat tersebut, "Rasulullah, bagaimana pendapat tuan kita berhenti di tempat ini? Jika ini wahyu Tuhan, kita tidak akan maju atau mundur setapak pun dari tempat ini. Atau adakah ini sekadar pendapat tuan sendiri, suatu taktik perang belaka?".
Baginda s.a.w. menjawab "sekadar pendapat saya dan sebagai taktik perang".
"Rasulullah, jika begitu tidak tepat kita berhenti di tempat ini. Mari kita berpindah sampai ke tempat mata air yang paling dekat dengan mereka, lalu telaga kering di belakang itu kita timbus. Seterusnya kita buat kolam dan kita isi air hingga penuh. Kemudian barulah kita menghadapi mereka berperang. Kita akan mendapat air minum sedangkan mereka tidak" cadang Hubab pada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. menerima cadangan ini dengan senang hati.
"Oh Nabi! Bangunkanlah semangat orang-orang beriman itu dalam menghadapi perang, Apabila kamu berjumlah 20 orang yang tabah, mereka akan mengalahkan 200 orang. Apabila kamu berjumlah 100 orang, nescaya akan mengalahkan 1000 orang kafir; kerana mereka adalah orang-orang yang tidak mengerti. Sekarang Tuhan meringankan kamu, kerana mengetahui bahawa pada kamu masih ada kelemahan. Maka jika kamu berjumlah seratus orang yang tabah akan dapat mengalahkan 2000 orang dengan izin Allah. Dan Allah bersama orang-orang yang tabah" (Al-Quran, 8:55-56).
"Ingat, ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat, 'Aku bersama kamu'. Teguhkanlah pendirian orang-orang beriman itu. Akan kutanamkan rasa gentar ke dalam hati orang-orang kafir itu. Pukullah bahagian atas leher mereka dan pukul pula setiap hujung jari mereka". (Al-Quran, 8:12).
"Sebenarnya bukan kamu yang membunuh mereka, melainkan Allah juga yang telah membunuh mereka. Juga ketika kau melempari, sebenarnya bukan engkau yang melakukan itu, melainkan Tuhan juga". (Al-Quran, 8:17).
Perang Badar kekal dalam ingatan umat Islam, bagaimana pertolongan Allah s.w.t. tidak akan putus untuk mereka yang meyakini Allah s.w.t. dan Muhammad s.a.w. sebagai Rasulullah berdepan dengan ancaman musuh yang cukup besar berbanding muslimin.
Sehingga petang itu pihak muslimin kekal tinggal di Badar dan menguruskan mayat Quraisy dalam sebuah perigi besar. Malam itu, saat Baginda s.a.w. merenung pertolongan Allah s.w.t., para sahabat r.a. mendengar Baginda s.a.w. berkata "Wahai Utba bin Rabia! Syaiba bin Rabia! Umayya bin Khalaf! Wahai Abu Jahal bin Hisyam!...dan seterusnya satu persatu nama-nama mayat yang ada dalam perigi itu. "Wahai penghuni perigi, aku telah bertemu dengan apa yang telah dijanjikan Tuhanku".
"Rasulullah, kenapa berbicara dengan orang yang sudah mati?" tanya sahabat.
"Apa yang dikatakan itu lebih mereka dengar daripada kamu" jawab Rasulullah s.a.w. "..tetapi mereka tidak dapat menjawab".
Saat itu Rasulullah s.a.w. terpandang Abu Huzaifa bin Utba yang wajahnya sedih dan mukanya berubah. "Barangkali ada sesuatu dalam hatimu tentang ayahmu, Abu Huzaifa? tanya Rasulullah s.a.w..
"Sekali-kali tidak, Rasulullah" jawabnya. "Tentang ayah, saya tidak sangsi lagi, juga tentang kematiannya. Hanya yang saya tahu dia mempunyai fikiran yang baik, bijaksana dan berjasa. Jadi saya amat berharap dia mendapat petunjuk menjadi seorang Islam. Tetapi sesudah melihat apa yang terjadi, dan teringat akan hidupnya dulu dalam kekafiran, maka makin jauh apa yang saya harapkan darinya, itulah yang membuatkan saya sedih".
Rasulullah s.a.w. kemudian menyebut tentang kebaikannya serta mendoakan kebaikan baginya.
Tuesday, September 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ironinya. pada asalnya utbah bin rabiah menentang serangan kpd pihak mulimin. tapi abu Jahal berdegil dn sengaja mengapi2kan semangat jahiliyyah org2 quraisy.
ReplyDeletelalu utbah mengalah dn betul2 kalah bila dia tewas di tgn Ali bin Abi talib dlm pertarungan satu lwn satu.
nice info bro!
salam...
ReplyDelete