Aku tidak betul-betul ingat, tapi itu kali pertama aku nekad bahawa jika aku ditangkap, maka aku redha. Ia berlaku sempena mengingati 365 tahanan politik ISA. Ya, penahanan yang akhirnya mengalihkan sisi politik Ezam Mohd Nor dan sebilangan rakan-rakannya. Protes mogok lapar itu aku sertai spontan - hanya untuk 90 jam, kerana aku telah berjanji untuk urusan lain kemudiannya.
Itu kali pertama aku berbual dengan Raja Petra, arwah Pak Lang, mengenali cikgu Badrul, Kak Nora reformis, Dato' Sanusi, abang Nasir Isa, Hidhir, Mani, berkawan dengan Muthanna anak Pak Abu (YB Saari Sungib), kenal dengan sebilangan reformis antaranya arwah Pak Non nasi kandar dan lain-lain (maaf ya tak senaraikan semua). Sebelum hari-hari akhir aku di sana, kami sempat hadir protes di Kedutaan Amerika dan sebelum pulang hadir ke Dewan Perhimpunan Cina Selangor dalam satu majlis di sana. Masih aku ingat ada lawatan dari Kedutaan Jerman ke Taman Melewar yang diiringi oleh arwah Ustaz Fadzil Noor dan kami membuat beberapa persembahan kebudayaan bagi mengisi aktiviti malam. Ya, kami yang muslim berniat puasa dengan meneguk sedikit air ketika sahur dan berbuka.
Aku agak asing dengan orang politik. Aku menunjukkan bantahan aku kerana ia kuat menggasak naluri aku. Pemeriksaan dibuat dari masa ke masa. Aku hanya ingat Dr. Lo' Lo' ada sekali datang memeriksa sebelum anak Raja Petra mendapati kekurangan gula dalam badan aku adalah di tahap serius - 2.7, rendah dari kadar normal 3.3 (seingat aku, tapi tak tahu macam mana nak baca). Katanya, jika turun pada tahap 2.5 aku boleh tidak sedarkan diri atau pengsan. Raja Petra berseloroh "kita akan buat kenduri jika ada yang pengsan". Atas nasihat anak beliau, aku 'dipaksa' minum air kelapa yang kemudiannya meningkatkan kandungan gula dalam badan aku.
Selepas 90 jam aku berhenti. Aku tidak ikut rombongan ke Terengganu untuk road show ISA.
Dalam tempoh itu aku lihat kecekalan dan daya juang cukup tinggi di kalangan ahli keluarga mangsa. Sokongan masyarakat juga amat menggalakkan. Tapi suka atau tidak, hati di dalam siapa yang tahu?
ISA selama-lamanya zalim. Di BTN, tidak tahu sama ada masih wujud atau tidak. Ada teks tazkirah disediakan untuk menjustifikasikan kezaliman ISA ini. Ia dibukukan bersama teks-teks yang lain untuk dibaca oleh imam dari kalangan staf atau jurulatih. Hanya kerana aku pernah menjadi imam di kalangan peserta di sana, aku terbelek buku tazkirah tersebut.
Celakalah mereka yang berbuat zalim. ISA adalah undang-undang yang telah banyak kali disalah guna sebagai alat politik pemerintah.
Hati-hati, dalam tempoh terdekat ini kita mesti berani untuk membuka wacana baru. Bahawa kita mahu keamanan dikekalkan dalam apa juga cara, dan peralihan kuasa kepada kerajaan baru yang menunggu masa terbaik diterima dengan penuh keinsafan bahawa tanggungjawab sentiasa terpikul di kalangan setiap kita untuk menjamin keadilan dan keamanan semua individu tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.
Hapus, hapus!
Hapus ISA!
Jahanam, jahanam!
Kezaliman!
Hidup hidup!
Keadilan!
Undur undur!
Pemimpin korup!
Hapus hapus!
Hapus ISA!
Friday, September 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment