1) Rasuah seks ahli PKR di Perak
Tindakan PKR menyokong MB Perak dalam kes pemecatan seorang Ahli Majlis Daerah atas faktor rasuah seks (siap buat analogi sedekah tu!) adalah tepat. Tiada kompromi untuk salah laku begini.
Tindakan MB Perak juga satu keberanian yang mesti dicontohi oleh mana-mana pihak yang berhajat menjadi pemimpin. Ia tidak mudah tetapi prinsip yang jelas begini juga tidak sukar meraih sokongan ramai.
Spekulasi akan muncul kerana bagi mereka yang terlebih liberal, soal seks mungkin dianggap hal individu, dan kita pun tak berminat nak aibkan pelakunya dengan menjadikan ia bahan utama perbincangan, tetapi rasuah seks yang diterima cukup jelas menunjukkan dia tak layak - biarpun dia dapat bawa 10 ribu orang pengikut bersamanya.
Pun jangan dilupa, si perasuah terlebih dulu kena juga ditangkap..jangan main lepas macam tu saja. Kalau boleh kita nak korek sampai dapat petualang perancangnya. Harap-harap tak muncul nama manusia yang confident kerajaan Perak bertukar pada hari Merdeka - tak lain tak bukan sdr Ezam Mohd Nor dan YB DS Tajol Rosli.
2) Isu Kuil di Selangor
Merobohkan tempat ibadat tanpa justifikasi yang jelas adalah tertolak. Justifikasi mesti jelas dan ditunjukkan dengan jelas. Apa yang berlaku menunjukkan kejelasan ini kabur. Jika benar ada usaha pembaikan (atau bahasa beritanya renovation), satu mekanisme lain harus dibentuk agar pengguna kuil tersebut dapat maklum.
Tindakan berita memainkan isu ini tidak lain dan tidak bukan ada unsur politik. Tapi untuk aku, bila berita beri peluang EXCO terbabit menjawab, ia dah cukup bagus.
3) Penangguhan Perhimpunan Khas UMNO
Ia telah dijangka. UMNO juga sangat sedar bahawa tarikh yang mereka pilih akan membawa rebah kepada mereka. Tundaan ini juga tidak banyak membantu. Situasi UMNO adalah ditelah mati emak diluah mati bapak.
Usaha Tun Dr. M balik kepada UMNO hanya menjelaskan lagi niat sebenar beliau keluar UMNO iaitu kebencian sebenar dan rasa takut kepada DS Anwar. Beliau akan mengikhtiarkan apa saja yang boleh untuk mengambil alih posisi PM melalui proksinya. Tindakan serampang dua mata yang biasa diamalkan beliau harus dibaca dengan teliti.
UMNO-BN buat masa ini berjaya melengahkan tekanan politik oleh Pakatan Rakyat khususnya DS Anwar Ibrahim. Dalam mood puasa dan raya ini, rakyat memang lebih gemar untuk bertenang dan ,mengendurkan ketegangan. Tapi air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya.
Rumah terbuka Raya ini pasti akan menjadi medan untuk ahli politik mengatur strategi mara ke depan. Mereka tidak terlalu bodoh untuk menjangkakan perang besar politik Malaysia sekurang-kurangnya hingga Perhimpunan Khas UMNO nanti.
Rakyat tidak harus mengalih perhatian terhadap tanggungjawab. Kerja tetap kena buat. Politik tetap kena ambil tahu. Dari sumber ramai teman-teman yang bekerja dalam kerajaan, UMNO-BN sekarang umpama harimau yang luka parah. Mereka menanti masa untuk melancarkan cengkaman mereka selepas ini. Buat masa ini, arahan-arahan tidak bertulis dari pegawai-pegawai kerajaan ialah tidak memberi kerjasama penuh terhadap kerajaan negeri atau dalam erti kata lain "jangan buat 100%" dengan cara melengahkan dan sebagainya. Mereka tidak mahu dan tidak akan bersedia menukar wacana politik Malaysia.
4) Pilihan Raya Kampus
Aku kekal dengan sikap asal bahawa yang perlu dirobah di kampus ialah budaya politik (kepimpinan) sama ada di peringkat pentadbiran atau pelajar. Tidak penting kumpulan mana yang menang selagi keadilan ditegakkan di kampus.
Isu mengangkat kemuliaan insan dan martabat ilmu harus menjadi keutamaan. Pimpinan pelajar tidak harus melayan adu domba pihak-pihak tertentu untuk melaga-lagakan fraksi pelajar. Kewujudan pelbagai kumpulan pelajar dengan pelbagai ideologi dan tuntutan harus diraikan dan digunakan sebagai medan percambahan hujah yang mendorong kematangan.
Hujah perkauman dan semangat agama melampau harus ditolak. Dialog, debat, seminar, simposium, pidato dan seumpamanya harus dirancakkan dan dipelbagaikan pengisiannya. Cara ini akan memastikan budaya ilmu subur di kampus. Kuliah di luar waktu pejabat harus ditolak kerana mahasiswa harus punya masa lapang yang cukup untuk berekreasi dan menguruskan hal-hal peribadi.
Tindakan pensyarah dan pegawai universiti yang merendahkan status mahasiswa berbanding pelajar sekolah harus dibersihkan. Jika mereka tidak sedia dipersoalkan, mereka harus berhenti menjadi pensyarah dan mencari kerja yang mereka percaya ada manusia sedia dibodohkan melaluinya.
Makanan di kampus mahal kerana ada pihak memonopoli perniagaan di kampus. Pasaran tidak bebas walaupun peniaga-peniaga ini berbeza. Mereka terpaksa menyewa tapak berniaga dari syarikat (kroni menteri) tertentu.
Mahasiswa juga mesti berani mencabar diri sendiri untuk berubah. Berhenti mengharapkan kerajaan menyediakan peluang kerja yang cukup untuk semua. Kita harus membuat tuntutan yang lebih realistik kepada kerajaan dan tuntutan ini hanya boleh muncul jika kita mampu membebaskan diri kita dari kitar semula idea-idea parti pembangkang yang tidak didalami. Usaha mendalami mana-mana idea harus rancak di kampus, justeru kita dapat menilai isu di luar kampus dengan lebih adil. Untuk ini, universiti harus membebaskan pelajar menyaring idea.
Dengan daya saring yang tinggi, kita akan melihat satu perubahan dalam budaya masyarakat.
Untuk kampus-kampus utama, kalian harus berani mengangkat wakil-wakil dari kelompok minoriti misalnya kaum India agar suara mereka dapat diangkat ke meja perdebatan mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kempen perkauman secara senyap di kampus yang menjalar kini bukan jalan yang dapat membawa Malaysia ke depan. Mahasiswa juga harus diberi kebenaran mengendalikan akhbar sendiri. Di sini medan menguji mereka tentang soal keadilan dan pertanggungjawaban sebagaimana mereka tuntut.
Pensyarah harus menyediakan tugasan yang praktikal - mencabar dan bukan diukur dari longgokan kuantiti tugasan yang kemudian disemak sepintas lalu.
Monday, September 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment