Wednesday, September 10, 2008

Taiwan dan Cerita 16 September (lagi!)

Cerita tentang rombongan ke Taiwan oleh Kelab Penyokong Barisan Nasional di Parlimen (BNBBC) khabarnya telah dirancang 2 bulan lepas. Aneh, kerana rupanya dalam perancangan tersebut mereka jadi keliru hingga ke saat akhir mahu ke mana - Australia, China atau Taiwan.

Komentar dari seorang Ahli Parlimen bahawa ia tidak kena pada masanya adalah cukup tepat. Khalayak umum pemerhati politik tidak sukar untuk melihat ini sebagai usaha melengahkan agenda 16 September.

Yang ini nampak sikit seriusnya!

16 September sebagai mana aku sebut berulang kali adalah agenda serius, dan UMNO-BN cukup tahu tentang hal ini (melalui Saiful barangkali!). Komentar penafian mereka di media hanyalah komunikasi politik untuk menunjukkan mereka kononnya stabil. Kemasukan Tun Dr Mahathir ke dalam UMNO adalah tanda lain bahawa mereka tidak punya pilihan yang banyak. Aneh, tidak kedengaran komentar dari kalangan UMNO tentang ini sebagaimana mereka beria-ria tidak mahu DS Anwar masuk ke dalam UMNO, malah ketika mereka berbolak-balik tentang kemasukan Ezam!

Perdana Menteri, DS Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya telah mendengar taklimat bahawa kes liwat ini tidak ada asas dan adalah fitnah semata-mata. Sebahagian Menteri dan Ahli Parlimen UMNO-BN juga tahu tentang hal ini. Sebab itu UMNO-BN mengambil sedikit masa untuk 'squeeze' isu kepada hal-hal lain misalnya DS Anwar adalah pengkhianat Melayu dan Negara. Mereka tidak ada modal politik melainkan melakukan apa saja untuk memastikan DS Anwar tidak menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak ada ketrampilan hujah untuk berasa yakin bahawa dalam demokrasi yang sihat, DS Anwar sentiasa boleh dijatuhkan melalui proses Pilihan Raya yang adil dan telus, meskipun beliau menjadi Perdana Menteri.

Ketidakyakinan ini berpunca dari kegagalan mereka memastikan sistem demokrasi di Malaysia berjalan dengan sebaiknya. Mereka takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka sangka dokongan rakyat kepada DS Anwar adalah kerana batang tubuh DS Anwar. Mereka gagal melihat jalur falsafah yang banyak dan bergerak sebagai arus di sebalik gerakan reformasi.

No comments:

Post a Comment