Monday, September 15, 2008

Yang Menarik Sehari Dua Ini

Tadi sah Dato' Zaid Ibrahim meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas membuat kenyataan mempertikaikan tindakan mengenakan ISA kepada Raja Petra, YB Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily. Sebetulnya, Dato' Zaid Ibrahim firm dalam pendiriannya ini. Kita boleh rujuk pada pandangannya sejak sekian lama. Kekalnya Dato' Zaid dalam UMNO memang sesuatu yang unik. Beberapa kali juga aku jumpa Dato' Zaid dalam pelbagai forum. Beliau juga konsisten dengan pandangan bahawa AUKU perlu dipinda atau dihapuskan terus.

Tapi, percaya atau tidak, Dato' Zaid tidaklah begitu diterima terutama dari kalangan aktivis dakwah kononnya kerana beliau berpandangan liberal. Isu tidak juga dikupas-kupas melainkan label melatari sentimen.

Sebelum ini penentangan terhadap ISA juga disuarakan mufti negeri aku, SS Dr. Mohd. Asri. Meskipun ada beberapa percanggahan pendapat, umumnya aku suka mufti aku ni. Cuma aku harap beliau hati-hati kerana mungkin di luar pengetahuannya, penerangan berbaur Wahabi telah menimbulkan keributan di kalangan masyarakat di Perlis sebagaimana aku dengar orang-orang tua berborak bila aku balik kampung. Aku suka mufti aku ni sebab beliau banyak mendahulukan hujah dalam hal berbeza pendapat - semudah itu. Soal setuju atau tidak jatuh nombor dua bagi aku. Dengan cara ini kita menghormati kejadian manusia dengan menjamin keamanan dan keselamatan mereka serta membenarkan mereka memanfaatkan potensi mereka di samping menggalakkan kita memanfaatkan potensi kita. Hujah adalah alat mengkayakan pemahaman dan iman yang disandarkan dengan pemahaman adalah sebaik-baik iman. Bukankah mereka yang paling bertaqwa ialah mereka yang paling berilmu? Ilmu Allah s.w.t. Maha Luas, maka berhati-hatilah kita dalam cepat sangat nak 'menghumban manusia ke wilayah sesat'.

Dalam pada itu, sambutan Hari Malaysia akan dibuat di Stadium Kelana Jaya. Seorang teman bertanya "kau agak polis akan buat kacau tak?". Ini mungkin didorong faktor mudahnya polis mengeluarkan permit. Untuk aku, adalah cukup baik polis memberikan permit dan yakinlah rakyat yang cintakan keadilan juga cintakan keamanan. Keamanan tidak mungkin muncul tanpa keadilan. Ia adalah realiti hidup sehari-hari. Terlalu banyak contoh yang kalian boleh fikirkan sendiri. Jawab aku pada kawan mudah sahaja "insyaAllah tidak berlaku kekacauan jika hanya sekadar ceramah dan tidak ada aksi tunjuk bontot".

Petang ini telah ada suara sinis menyindir pindaan tarikh lompat parti. Esok DS Anwar akan membuat sidang media khas dan kita nantikan apa kata beliau. Untuk aku yang serba sedikit tahu perihal lompat parti ini, insyaAllah kesabaran masih kekal.

Apa yang penting ialah kita tingkatkan kesabaran, ia tidak bermakna kita redha dengan kezaliman dan kelemahan kepimpinan Barisan Nasional. Jika kita banyak membaca pandangan DS Anwar sejak dulu hingga sekarang, kita tentu faham makna yang cuba disampaikan dari konteks insan Asia sebagai persona religious dan juga budaya sebagai pemangkin peradaban. Bagi mereka yang memilih menghentam sebelum bersabar memahami, kalian bebas berbuat demikian.

Aku ada tinggalkan pesan pada kawan tersebut - aku akan menulis tentang DS Abdullah Ahmad Badawi: Insan Baik Yang Gagal.

No comments:

Post a Comment