Tuesday, September 9, 2008

Pesan Khusus II

Dalam tempoh terdekat kita harus hati-hati dengan mesej perkauman. Sebenarnya sampai bila-bila kita harus hati-hati dengan mesej perkauman.

Tindakan sebilangan ahli UMNO di Pulau Pinang adalah keterlaluan dan kita orang Melayu-Islam tidak harus termakan dengan usaha menyalakan mesej perkauman ini. Respon Parti Gerakan boleh kita fahami, tetapi kita wajib menolak gesaan mereka untuk menggunakan ISA terhadap mereka yang berkenaan.

Sejarah cukup untuk membuktikan bagaimana UMNO memainkan sentimen perkauman apabila terdesak. Kita harus pastikan bahawa kita dari kalangan pelbagai bangsa harus bersatu sekurang-kurangnya dalam tempoh kekalutan ini. Kita boleh saja tidak bersetuju dengan pelbagai isu, tapi kita harus berikrar untuk menanganinya secara aman.

Sekiranya timbul kemahuan peralihan kuasa, UMNO harus sedar bahawa mereka gagal mendapatkan keyakinan dan keyakinan tidak boleh dipaksakan melainkan diyakinkan dalam bentuk hujah dan tindakan praktis.

Jika kita orang Melayu bersandar pada persoalan Islam, kita harus yakin bahawa Rasulullah s.a.w. dalam banyak perjanjian adalah minoriti dan Baginda s.a.w. kekal sedia bermuafakat kerana beliau mampu meyakini pihak lain dan dibuktikan bagaimana orang lain mengangkat Baginda s.a.w. sebagai pemimpin. Tidak timbul soal majoriti dan minoriti.

Ingat pesan khusus ini - tolak perkauman, tingkatkan keyakinan bahawa kita cukup akal-budi yang sihat untuk menangani persoalan yang datang. Masalah datang untuk diselesaikan, bukan dengan menimbulkan masalah yang lebih besar.

1 comment: