Monday, July 14, 2008

Debat Minyak dan Budaya Baru Dalam Politik Malaysia

Selepas Pidato Palestin yang membawa Tun Dr. Mahathir dan (Allahyarham) Ustaz Fadzil Noor, aku kira Debat DS Anwar dan YB Dato' Shabery Chik adalah sesuatu yang dinantikan muncul dari kaca televisyen.

Sudah tentu ramai yang melihat YB Dato' Shabery bukanlah sosok yang sesuai untuk dipadankan dengan DS Anwar. Dalam bahasa politik, ini adalah untuk discredit DS Anwar walaupun sebelumnya DS Anwar mempelawa YAB PM dan YAB TPM yang mewakili kerajaan BN.

Rakyat umumnya sudah tentu mahu DS Anwar 'menghumban' hujah kerajaan kerana masalah kenaikan minyak pada hemat rakyat adalah membebankan mereka. Seorang libertarian akan menolak subsidi. Subsidi adalah manipulasi minyak. Namun pendirian libertarian bukan sekadar itu. Penghapusan subsidi saja tidak cukup, dalam realiti tiang-tiang libertarian yang lain tidak ditegakkan.

Sebab itu aku boleh bersetuju dengan pandangan Dato' Nazir Razak bahawa perkembangan politik di Malaysia mempengaruhi pelaburan luar. Ramai di kalangan kita gagal melihat pertumbuhan ekonomi dan perkaitannya dengan kepentingan kita menjaga institusi negara terutama yang bersabit persoalan undang-undang. Kepedulian mahasiswa kadangkala dilihat dangkal dengan berlapikkan hujah politik. Di satu sisi mahasiswa sendiri tidak cukup memperkasa wacana dan karakter. Perkembangan arus dan sumber maklumat dan ilmu nyata sebuah cabaran yang harus digarap lekas oleh semua.

Debat ini akan jadi satu detik sejarah, tidak kira siapa juga 'dianggap menang berhujah'. Persepsi rakyat dan pelabur harus dibentuk dengan proses demokrasi yang sihat. Alternatif debat dengan siaran langsung ini mungkin tidak mampu menjawab seluruh persoalan. Tapi ia mampu memperlihatkan kesungguhan kerajaan BN pada satu sisi untuk menguasai wacana dan persepsi awam secara lebih gentleman. Ya, ia sudah tentu tidak cukup, tapi itu aku mahu longgokkan dalam kes berlainan. Yang nyata debat ini nampak hampir pasti.

Cuma, dalam menonjolkan debat ini, aku rasa cara YB Shabery memberi gambaran buruk kepada demonstrasi adalah tidak perlu. Sepanjang pengalaman aku, majoriti malah hampir semua demonstran adalah berdisiplin. Mereka sedia membetulkan rakan-rakan mereka yang dilihat keterlaluan. Malaysia harus bersedia untuk langkah ke depan yang lebih sihat untuk perkembangan demokrasi. Tentang konsert yang tidak senonoh sebagaimana disebut YB Shabery, kita boleh bersetuju dalam pengertian bukanlah menidakkan terus fungsi hiburan.

Aku pernah menonton sambutan perjuangan rakyat di Korea melalui tayangan CD di UBU sekitar 2002 di mana beberapa persembahan bercorak hiburan diketengahkan. Malah UBU pernah terkenal sebagai kumpulan pementasan agit-prop kelolaan Isham Rais pada saat bara Reformasi 1998 baru menyala.

Malam Karyawan II anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama IKD cukup untuk menunjukkan rencamnya sifat hiburan yang boleh ditonjolkan. Kita tidak harus lekas mengalah dek kesilapan dan kelemahan yang pernah dan telah berlaku. Ia tidak harus menutup rasa perlunya inklusif dalam realiti jamak pengertian kemanusiaan.

Budaya - baru dan lama, buruk dan membina - apakah kita (termasuk aku!) sedia untuk mengerti?

8 comments:

  1. salam...

    semua orang tak sabar nak lihat debat.. boleh jadi anwar buat hal kali ke-2... tak hadir? dia tu, kan kaki pembelit...

    kalau dia hadir, anwar kena sediakan jawapan kepada soalan bukan buat soalan... agak sukar juga. lagipun isu liwatnya pada hari ini - 14.7.08 (ISNIN) sampai petang polis tunggu batang hidungpun tak nampak. wakil dihantar buat apa.

    apapun, besok kita lihat antara realiti dengan fantasi. kalau benar ada cara untuk turunkan harga minyak, bagaimana? anwar ada jawapan.

    abe MIE takut kalau anwar tidak hadir dan akan berkata, dia tidak layak berdebat dengan menteri penerangan yang masih hingus... boleh jadi. kalau benda ini berlaku, padan muka kita semua. masak-masak kena tipu kat anwar kali keseribu.

    pkrpasdap.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. jika Anwar dapat mengemukakan pandangan yang kuat, apakah kalian sedia kritik UMNO-BN?

    kalau tak..simpan saja politik kalian.

    saya melihat ini adalah bahagian dari proses yang harus diwarisi oleh generasi saya nanti, tanpa menolak bahawa poros lain masih banyak perlu dibaiki.

    ReplyDelete
  3. Majlis debat adalah tradisi intelektual Yunani. Dalam debat ada 2 pihak, masing-masing mengemukakan hujah bagi membuktikan pihak lawannya salah.

    Debat bukan strategi persuasi Islami.

    Saya berteori DS Anwar Ibrahim tidak akan menggunakan teknik debat Yunani dalam majlis 'debat' malam nanti.

    Beliau akan menggunakan panggung debat itu bagi menyampaikan buah fikirannya kepada dunia, tanpa mempedulikan apa hujah-hujah Datuk Shabery Cheek.

    Saya akan tunggu apakah teori saya ini betul ataupun salah.

    ReplyDelete
  4. Saya tidak rigid dengan bentuk Puan. Hujah adalah mekanisme pembangunan kapasiti intelek manusia dan jalan memahami agama. Waima ia tradisi Bani Israel sekalipun, atas maksud ilmu, saya fikir tidak ada masalah untuk saya mengunyah dan cuba memikirkannya.

    Ilmu adalah milik mukmin, di mana saja kita ketemui, kitalah yang paling layak mengambilnya - waima dari seorang fasik mahupun kafir.

    Saya pernah terbaca saat pemuka2 agama lain (5 jumlahnya) bertemu Rasulullah s.a.w. untuk mengajak Baginda s.a.w. mengikuti keyakinan mereka..dan jawab Baginda s.a.w. "apakah kalian mengajak aku tanpa hujah?". Usai hujah mereka, maka giliran Baginda s.a.w. pula menjawab. Jika ini bukan debat, saya tidak tahu apa harus dinamakan. Tapi ia harus dipandang seiring dengan peranan dakwah - membawa hujah yang lebih baik...

    Wallahu'alam

    ReplyDelete
  5. Tuan Amin yang sangat saya hormati jalan pikirnya,

    Esensi berdebat (debate) adalah membuktikan pihak lawan kita itu salah. (You are wrong, thefore I am right.)

    Berhujah bukan serupa dengan berdebat, sebab objektif berhujah bukan membuktikan orang lain salah.

    Berhujah bermakna mengemukakan bukti, dalil, fakta dan alasan (reason) bagi memperkukuh sudut pandang kita (tanpa membuktikan orang lain salah).

    Nota: Saya suka membaca hujah-hujah tuan dalam blog ini.

    ReplyDelete
  6. Puan Ainon,

    Saya kira pandangan bahawa debat cenderung membuktikan orang salah terpaksa saya tolak.

    Saya cenderung melihat begini. Debat bukan medan membuktikan 'aku benar dan kau salah' tapi lebih kepada 'pandangan aku lebih kuat berbanding pandangan kau'. Kuat di sini boleh jadi pelbagai bentuk, tergantung kepada konteksnya.

    Dan dalam debat, butir perinciannya saya kenal sebagai hujah perdebatan. Mudahnya debat memerlukan hujah, sebaliknya hujah tidak bergantung kepada perlunya debat.

    Nota : Saya sebenarnya sangat takut menerima pujian berlebihan, kerana saya yang tahu kelemahan saya cukup banyak. Seorang teman pernah menasihat saya bahawa berfikiran begitu tidak bagus. Ya, sebagai orang yang terlibat dalam sedikit kerja latihan pembangunan diri, sudah tentu saya akui ia tidak bagus..maksud saya di sini ialah saya mahu bermula dari kesedaran yang benar. Terima kasih ya selalu singgah dan bertukar fikiran.

    ReplyDelete
  7. Tuan Amin,

    Sementelah bercakap tentang pujian, saya sedang membuat kajian teknik Nabi Muhammad memuji orang-orang di sekelilingnya.

    Saya kumpulkan puji-pujian yang beliau pernah ucapkan. Banyak sekali.

    Pelan-pelan saya kaji teknik dan struktur sera konteks puji-pujian itu.

    Jadi, memuji adalah sunah Nabi Muhammad.

    ReplyDelete
  8. Puan Ainon,

    Saya tidak menolak pujian. Pujilah saya bila perlu, betulkan saya bila salah.

    Terima kasih ya!

    ReplyDelete