Sebetulnya laporan ini ada dibincangkan semasa aku ke Tropicana. Tapi aku tidak memuatkan di dalam blog ini sebelumnya kerana keputusan belum diambil. Dan sudah tentu beberapa perhitungan perlu diambil sebelum laporan ini dipanjangkan.
Saiful khabarnya dalam jagaan polis, dan pada masa yang sama enak mengemaskini akaun friendster, membuat blog, membuat serangan melalui mel elektronik kepada DS Anwar dan dipanjangkan kepada beberapa teman dan media - publisiti murahan! Sebab itu dalam kemaskini sebelum ini aku berpesan kepada teman-teman agar menyimpan semua bukti ini. Aku percaya bila pertarungan ini masuk gear 5 nanti dia adalah orang yang paling tersepit.
DS Anwar khabarnya menyampaikan pendiriannya kepada Dr. Asri (wallahu'alam) - bahawa isu sokongan Melayu-Islam tidak timbul berkaitan isu mubahalah. Beliau tidak mahu nanti ada dakwaan bahawa beliau membelakangkan syarak, itu nasihat dari para ulama' yang berhubung dengan beliau. Dari situ muncul laporan untuk Qazaf. Namun begitu, aku suka sekali melihat perbezaan pandangan yang seharusnya diangkat sebagai sesuatu yang sihat di kalangan ulama'. Perbezaan yang tidak diraikan hanya akan mengheret kepada sikap jelik masyarakat terhadap agama. Dan dari peristiwa ini juga cukup untuk menunjukkan rencamnya wacana agama yang setahu aku tidak pernah diangkat hatta oleh PAS sepanjang dekad perjuangan Negara Islam mereka. Aku tidak terkejut kerana dokumen Negara Islam yang dikeluarkan PAS juga masih baru malah ia tidak lebih mendalam dibandingkan dengan buku-buku perdebatan isu Negara Islam. Sefaham aku, buku pembelaan terhadap Negara Islam oleh Bapak Muhammad Natsir lebih bertenaga. Ini bukan kritikan, aku harap ini adalah sebahagian galakan untuk aktivis dakwah berani pergi lebih jauh dalam usrah mereka. Pengalaman hadir usrah dan 'membuang masa' dengan kisah masjid Putrajaya panas kerana dibina dari sumber yang tidak pasti dan tangan yang zalim untuk aku sedikit memualkan. Usrah tidak semestinya bertumpu ke situ. Usrah harus membuka kunci kemanusiaan agar lebih bermaruah (baca:mulia).
Dalam kes DS Anwar, tidak hairan Dr. Dzul sendiri mahukan DS Anwar bersumpah kerana orang Melayu dan orang Islam terdesak untuk mencari keputusan. Fenomena quick fix ini selalunya tidak sihat. Bayangkan bila DS Anwar bersumpah, muncul pula kenyataan dari para ulama' bahawa DS Anwar tidak ikut syarak. Justeru, mahu ke mana kita? Keluar dari satu masalah untuk masuk masalah lain?
UMNO-BN nampaknya masih dalam state of denial untuk aku. Kempen halus dan berterusan masih giat. Pendirian pembenci DS Anwar masih kekal sejak dulu. Pendirian ini sebenarnya berdiri atas satu aqidah - Ketuanan Melayu. Tapi mereka tahu retorika Ketuanan Melayu kini tidak cukup berkesan. Maka Ketuanan Melayu perlu disalut dengan retotika Islam kerana umum maklum di Malaysia majoriti Melayu adalah Islam. Dan umum seolah menerima bahawa ia tidak terpisahkan. Serangan berterusan Saiful adalah untuk ini. Dia memberi topeng Islam kepada Ketuanan Melayu. Justeru, DS Anwar juga harus menonjolkan wajah Islam untuk dibandingkan dengan topeng Islam bawaan Saiful. Saiful tentu lupa bahawa banyak gadis-gadis di Uniten yang pernah dijadikan 'teman cinta'nya boleh saja mengungkap kejelikan beliau. Orang di pejabat cukup arif bagaimana Saiful memainkan jarumnya agar diari DS Anwar dikendalikan olehnya. Tapi Saiful mungkin terlupa bahawa tidak semua peristiwa harus dimasukkan dalam catatan.
Saiful tidak akan menang pertarungan ini - baik syarak, logik dan fakta kes. Saiful tahu dia berani kerana dia kini 'dilindungi'. Tapi kita percaya kuasa Tuhan, dan Tuhan itu akan mendahulukan rahmat-Nya sebelum bala. Kemunculan pemberani, meski dilihat 'tidak Islam atau tidak Melayu' untuk aku adalah kerja Tuhan. Dan ia tidak harus menghentikan ikhtiar kita.
Rakyat yang terdesak kini dipaksa mengalihkan perhatian. Mereka semahunya memisahkan DS Anwar dengan rakyat. Sebab itu Ezam dan lain-lain sejak awal lagi meletakkan konteks bicara. Mereka tidak mahu DS Anwar mengaitkan hal ini dengan perkembangan politik. Mereka tiba-tiba jadi bodoh, seolah-olah DS Anwar bukan ahli politik dan seolah-olah DS Anwar tidak menggugah kerusi pemerintah. Ada khabar tiris bahawa institusi IKD akan dirobek oleh Ezam sebaik saja dia diangkat menjadi Menteri. Nada berbaur ugutan ini adalah nada orang yang kecil jiwanya. InsyaAllah, tidak harus dan tidak akan muncul nada "Siaplah kalian jika DS Anwar menjadi Perdana Menteri!".
Apa yang kita mahu ialah Kedaulatan Undang-Undang diangkat agar keadilan dan kebebasan, sebagaimana yang digagaskan oleh Pemahsyuran Kemerdekaan Malaysia dan diulang dengan kemasukan Sabah dan Sarawak dapat dipertahankan.
Tuesday, July 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Saudara Amin;
ReplyDeleteAlhamdulillah, tahniah kerana sentiasa menghadirkan pencerahan segar dalam suasana kelabu politik yang membuatkan saya di kejauhan kadangnya keliru dan sedikit tersasar. Saya berpandangan catatan akhi mencerahkan ufuk pandang dan rujukan bermakna untuk memahami silat politik kini..
Sabah dan Sarawak menutup entri ini.. Bila pula akhi nak bercerita tentang senario politik Borneo? :-)
Wallahu a'lam.
salam akhi Muhtar,
ReplyDeleteJujurnya saya tidak begitu arif dengan politik Sabah. Tapi dua kali berkunjung ke sana atas tujuan personal (daki Kinabalu) dan berksus di sana cukup membawa hati saya dekat dengan rakyat Sabah.
Dalam kekayaan hasil negara, rakyat Sabah dihimpit kesukaran hidup. Jika kita benar-benar turun ke daerah yang lebih dalam, mustahil hati kita tidak tersentuh.
Saya belum pernah berkunjung ke Sarawak meski ada sebilangan rakan2 di sana malah teman rumah sewa lama juga dari sana. InsyaAllah satu hari akan sampai.
Apapun, di mana-mana belahan muka bumi, kita adalah saudara..dan Allah s.w.t. tidak menciptakan kita tanpa sebab.
Memisahkan DSAI dengan rakyat + memisahkan ikd dengan tradisi intelektual = zaman gelap.
ReplyDeleteTerima kasih atas pencerahan yang diberikan.
ReplyDeleteTerima kasih.
Salam...
ReplyDeletePertama kali melawat ke blog ini hasil info dari sang empunya Riwayat Hayat... seperti yang ku utarakan di Riwayat Hayat.. Karl Marx pernah berkata bahawa agama ibarat candu dan ditambah pula oleh Isham Rais bahawa di Msia ianya lebih dari itu.. agama juga adalah topeng untuk mereka yang kononnya 'pejuang agama'...
Teruskan berjuang dan insyallah matlamat akhir perjuangan kita itu akan tercapai jua akhirnya...
Salam Sifu,
ReplyDeleteTidaklah saya menulis kerana berasa sudah cukup cerdik melainkan saya berharap sungguh dari kritikan dan pujian akan memberi nilai tambah kepada cara saya memandang kehidupan dan menghadapinya. Terima kasih kerana sering berkunjung ya! Saya tak tahu sama ada satu hari nanti akan ada buku tulisan saya diterbitkan PTS :)
Afif,
ReplyDeleteSaya mungkin orang yang terakhir mahu mengherdik orang agama. Saya lebih suka menyantuni mereka, sama seperti mana saya mahu menyantuni selainnya. Pokok persoalan ialah kita tidak mahu membina musuh, kita mahu menggalakkan interaksi yang sihat dengan hujah. Menerima atau menolak jatuh di tingkat kedua atau kemudiannya. Jika kita tidak memulakan usaha ini, malanglah masa depan negara dan kemanusiaan.