Monday, July 28, 2008

Isu-Isu Keperihatinan Semasa

Isu 1 - Penyatuan UMNO dan PAS

Tidaklah salah, meski agak canggung mendengar berita pertemuan sulit UMNO dan PAS. PAS tidak sepenuhnya salah dalam hal ini untuk aku. Sebagai sebuah parti politik, dan sebagai rakyat merdeka, aku percaya bahawa kebebasan itu harus dipertahankan. Atas semangat yang sama juga, kebebasan tidak harus digadaikan sebagai hasil akhir pertemuan UMNO dan PAS. Jumpalah siapa saja waima Yahudi sekalipun!

Dalam realiti politik kita yang lembab, dengan segala kepayahan yang disediakan UMNO-BN selama ini. Ditambah dengan harapan menggunung rakyat untuk melihat perubahan politik ke arah yang lebih baik, pertemuan ini nyata pertemuan yang tidaklah disambut dengan baik. UMNO dan PAS adalah antara dua parti terlama ditubuhkan Malaysia. Tapi sebagaimana manusia, aku percaya usia bukan kayu ukur kematangan. PAS bukan tidak matang, tapi aku percaya kerana wacana yang hampir tidak bergerak barangkali, maka konklusi ini adalah bentuk ketidakmatangan yang tersisa. Sedar atau tidak, kerana isu ini, untuk beberapa waktu Pakatan Rakyat sebagai alternatif unggul setakat ini yang berjaya merobek keangkuhan BN dalam konteks politik pemerintahan dilihat amat kritikal oleh orang ramai. Suka atau tidak, PAS harus memikul beban 'kesilapan' ini.

Tapi aku percaya kolektivisme yang menolak pendekatan PAS ini tidak harus kekal. Mungkin dunia hampir kiamat untuk kita mengharapkan UMNO berubah..cuma kebarangkalian itu tidak harus ditolak - mungkin untuk generasi akan datang, sekitar 50 tahun dari sekarang!

Isu 2 - Reformasi di Malaysia

Sampai bila-bila kita harus ingat bahawa Malaysia perlu bergerak ke depan. Pergerakan ini harus ditandai dengan sosok pemimpin dan kepimpinan yang mantap. DS Anwar mungkin sosok yang dilihat mewakili semangat ini buat masa ini, selepas era Perdana Menteri sebelum PM sekarang..jauh hingga saat awal menuntut kemerdekaan. YAB PM sekarang bukanlah tidak bagus. Kita harus jujur bahawa ruang demokrasi sedikit terbuka kini. Tapi harus diingat bahawa demokrasi masih sebuah sistem, maka ia tidak bergerak sendiri. Demokrasi boleh menjadi sisi gelap dalam era kehidupan manusia bila kolektivisme diangkat secara salah. Contoh-contoh ini cukup banyak ditunjukkan oleh diktator dan mereka yang menjadi diktator dengan topeng demokrasi. Untuk memahami sedikit dari gambaran ini, hanya sedikit dari realitinya..bolehlah menonton filem The Last King of Scotland yang memperihalkan kediktatoran Idi Amin.

DS Anwar juga boleh menjadi diktator dan dia akan menjadi diktator sekiranya kita sebagai rakyat tidak bersedia mengubah bentuk wacana kita yang terus tersekat pada kolektivisme yang tidak objektif. Siapa juga, bukan sekadar DS Anwar..malah TG Haji Hadi, Lim Kit Siang dan lain-lain berpotensi menjadi diktator kerana kesilapan rakyat yang membiarkan lebihan kuasa kepada kerajaan.

Isu 3 - Isu Liwat dan Kerajaan Malaysia

Isu tuduhan liwat oleh Saiful masih tersekat. Aku telah berpesan kepada DS Anwar bahawa bila tiba saat yang lebih getir, Saiful tidak mustahil akan membuat pengakuan bahawa DS Anwar yang mengarahkan dia membuat tuduhan ini. DS Anwar bersetuju dengan pandangan aku bahawa kemungkinan ini tidak harus dipandang remeh. Politik dengan pandangan bahawa seni segala kemungkinan adalah real politik UMNO-BN.

Jika tidak masakan kita boleh biarkan sehingga kini bahawa laporan polis oleh Saiful tidak diterima oleh yang tertuduh, walhal tertuduh telah dilokap semalaman, aksi forensik di kawasan di mana tuduhan didakwa, aksi forensik di lokap pasca pembebasan DS Anwar, permintaan luar jangka terhadap DNA DS Anwar yang terkini, bukti pemalsuan bukti dalam kes terdahulu, pendedahan melalui kenyataan bersumpah yang bertalu-talu, kehilangan mereka yang membuat laporan bersumpah pasca kenyataan dan pelbagai lagi peristiwa yang mudah untuk kita nampak siapa di sebalik permainan ini dan motifnya.

Aku masih percaya peranan TDM tidak boleh semudahnya diketepikan. Pasca kegetiran beban bukti tuduhan terhadap DS Anwar di samping kegetiran aksi DS Najib dalam reaksinya, tiba-tiba muncul gesaan kuat untuk menumbangkan YAB PM. Kenapa? Ya, seluruh rakyat tahu lemahnya PM meski ada beberapa perlaksanaan atau pendekatannya baik untuk demokrasi. Hanya saja UMNO tetap UMNO, dalam bersalam kaki masih mahu menerajang. Tidak mungkin UMNO bersedia untuk demokrasi tulen kerana UMNO tidak pernah mahu kehilangan kuasa.

Dan ketidaksediaan ini adalah lambang kolektivisme beracun. Bahagialah mereka yang melihat harmoninya individualisme dan kolektivisme yang seiring. Hanya saja jika kita mahu berfikir ke depan sedikit, dan tidak terpasung dengan teori buta kolektivisme dengan rasa benci yang dalam terhadap individualisme.

6 comments:

  1. pada aku PAS tersangat tidak matang dlm menangani perkara ini. sedih dan letih~fuwwhhhh.....

    aku lebih suka pendekatan mahfuz omar juga mat sabu.nampaknya kepimpinan tertinggi PAS kena selalu bermesyuarat ni..

    ReplyDelete
  2. http://anwarpm.blogspot.com

    kamu apa tahu?

    ReplyDelete
  3. Tidak pernah melintas dalam fikiran saya kemungkinan Saiful membuat pengakuan disebabkan dia disuruh oleh DSAI.... Mengapa saya tidak fikir begitu!

    ReplyDelete
  4. Puan Ainon,

    Politik pada tahap tertentu akan jadi seni tanpa nilai Puan Ainon..

    Me Myself..

    Ya, PAS nampak tidak konsisten dalam persoalan ini. bertalu2 kenyataan pembelaan terhadap Presiden untuk aku tidak perlu. PAS tak perlu tunjuk kuat..org tahu kekuatan PAS. PAS harus berfikir bahawa kes ini sebenarnya membunuh karakter mereka sendiri. Bermatian tak mengaku, siap nak saman orang..kemudian bila pekung dah pecah, tiba2 timbul isu sir (kerahsiaan), timbul isu kami ada hak, timbul isu macam2!

    Mahfuz pun pelik, meski aku puji kesanggupannya mohon maaf. Bagaimana dia boleh kata dia tak dimaklumkan kemudian dia kata ada arahan untuk dia buat kenyataan menafikan ada pertemuan? Gila ke apa?

    Sebenarnya politik Malaysia yg tidak penuh kepastian ini untuk aku bagus..cuma persoalan idea belum muncul..

    Kawan2,

    Jangan lupa pohon untuk Akademi Merdeka 2008!

    ReplyDelete
  5. PAS pada aku harus dapat membezakan isu-isu;supaya pendapat yg dikeluarkan dpt dibezakan oleh masyarakat umum antara berupa pendapat peribadi dan parti.

    bagi menyuarakat pandangan isu-isu parti perlulah secara kolektif,lagipun mereka kan ada majlis syura.

    aku nampak tiada ketelusan disitu,tp ntahlah hanya mereka-mereka yg trlibat je la yg tau.

    dlm hal2 yg sebegini,kredit utk PKR.

    p/s:sebenarnya aku takut yg DSAI ni lama2 jadi AYATOLLAH bg PKR je,hehe

    pn ainon,sebaliknya sy byk kali berpikir begitu.

    ReplyDelete
  6. ya, aku telah berpesan kepada teman2 yg memilih PKR sbg wadah. wacana harus lekas bergerak supaya kebergantungan kepada DS Anwar dapat dikurangkan. hanya saja aku setuju bahawa isu sekarang agak mendesak.

    mujur Pak Khalid sejak dulu tidak obses soal ini dan lebih berminat mengajak kami utk tidak lekas terpesona. maksud aku isu politik kuasa meski penting tidak harus mengalih perhatian kami kpd kerja2 lain (dan begitulah libertarian umumnya!).

    tidak perlu beri kredit kpd siapa pun. jalan ke depan politik malaysia masih penuh ketidakpastian. dan libertarian akan sentiasa merobek ruang kuasa agak kuasa kerajaan adalah minima. dengan itu, kami yakin DS Anwar tidak akan menjadi 'Ayatollah' dengan sendirinya.

    PAS sebenarnya untuk aku dalam tempoh unfreeze, atau lebih tepat storming - di mana ia menguji kekuatan dan keluwesan prinsip untuk diajukan pada realiti tanpa menghilangkan identiti mereka. Ia sesuatu yang baik, jika mereka memahami persoalan ini dan mahu menguruskannya dengan sabar, baik dan menggunakan akal budi yang jujur.

    pokoknya PAS melontar bola 'Islam'nya terlalu kuat..dan apabila terkena dinding, ia kuat juga melantun kembali!

    ReplyDelete