Tuesday, July 1, 2008

Kronologi Isu Terkini DS Anwar (Dari Perspektif Aku)

Usai Maghrib, khabar tiris sampai bahawa satu laporan polis telah dibuat dengan pertuduhan bahawa DS Anwar terlibat dalam kes liwat ke atas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan di satu balai polis sekitar Kuala Lumpur pada jam 6 petang.

Sebelum itu telah ada khabar tiris kehilangan Saiful Bukhari Azlan, yang kebiasaannya cuba menunjukkan dirinya sebagai orang kanan DS Anwar.

Aku difahamkan berita ini sampai sedikit lewat kepada DS Anwar yang menghadiri mesyuarat MPT sebelum itu. Berita yang sampai lewat ini dikukuhkan dengan khabar dari seorang teman bahawa DS Anwar sempat berseloroh dan bergurau sebelum berita itu sampai kepadanya.

Memandangkan berita ini serius dan berkemungkinan ada tindakan polis yang boleh diambil secara tiba-tiba, maka pimpinan parti memilih untuk meyakinkan DS Anwar bahawa isu keselamatan beliau perlu diutamakan. DS Anwar dalam kenyataannya kepada pimpinan bertegas mahu kekal bersama rakyat. Khabarnya tawaran bantuan perlindungan datang dari pelbagai pihak dan rakan-rakan DS Anwar seluruh dunia juga berhubung untuk mengesahkan berita dan menzahirkan simpati dan sokongan untuk terus berjuang.

Program kami malam itu sempat berakhir, namun komitmen semua tidak dapat diperoleh kerana sebahagian darinya perlu menguruskan isu DS Anwar. Dari masa ke masa Hotel Quality mula dibanjiri ramai. Aku hanya memerhati sambil berkongsi pandangan dengan Eekmal (SU Akhbar DS Anwar yang baru), YB Nik Nazmi dan Che On.

Malam beransur ke pagi, aku sempat juga berbual dengan sebilangan yang hadir, sekadar membetulkan fakta dari cakap-cakap mereka yang aku dengar. Lalu berkenalan. Rupanya mereka bukan orang sebarangan, berstatus profesional dalam bidang masing-masing.

Ramai yang sangka Saiful Bukhari adalah pemegang Diari Merah yang baru. Hakikatnya selepas peninggalan Nik Nazmi, tidak ada siapa yang mewarisi tugas itu.

DS Anwar sebagaimana telah diumumkan sebelum ini memanggil pulang Farhash Wafa Salvador, mantan pimpinan pelajar di UK untuk membantu sebahagian dari pengurusan pejabat. Pada masa yang sama, DS Anwar secara berhemah memberi signal kepada Rahimi dan Saiful untuk sambung belajar.

Saiful sebelum ini menggunakan Rahimi untuk akses ke pejabat DS Anwar. Jujurnya, dari pandangan aku pejabat DS Anwar cukup ringkas dan aspek keselamatan perlu ditingkatkan. Aku nampak YB Sim cukup serius berkaitan pengurusan pejabat, semasa buat kali pertamanya aku ke sana (dan itulah satu-satunya hari aku ke pejabat DS Anwar). Seperti biasa, aku difahamkan Saiful hanya akan tunjuk muka bila 'bos' (panggilan ramai kepada DS Anwar) ada. Hari lain, jangan harap nampak muka. Tapi ada juga sumber mengatakan kerja Saiful ni bagus, sekurang-kurangnya tugas yang diberi berjalan. Tapi kenyataan ini tak bolehlah aku buat pengesahan. Dan gerak geri Saiful yang sememangnya dipantau sejak mula masuk ke pejabat semakin jelas bila Rahimi tidak dibenarkan lagi untuk akses ke pejabat. Di sini aku fikir mulanya kegawatan - bahawa political game mereka tidak cukup lincah.

Aku tidak tidur sehingga usai Subuh. Lena untuk 4 jam kemudian bangun bersiap untuk penutup program dan menyediakan dewan untuk Kenyataan Akhbar oleh Dr. Syed Husin Ali dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Jenuh menjaga pintu masuk, Utusan Malaysia adalah satu-satunya wakil media yang tak dibenarkan masuk.

Aku hanya tahu DS Anwar telah ke Kedutaan Turki saat kami makan tengah hari. Jujurnya aku tidak perlu ambil tahu pengurusan parti (kerana aku bukan ahli parti), tapi apa yang perlu aku tahu ialah momentum Reformasi harus berterusan.

Dari hal yang di atas..

1) Tidak timbul persoalan DS Anwar memohon untuk perlindungan. Beliau seperti biasa kekal mahu bersama rakyat namun akur dengan keputusan konsensus parti untuk beliau mengambil perlindungan dan menolak risiko berdasarkan pertuduhan yang ada.

2) Kedutaan Turki, apa masalahnya? Ke mana juga DS Anwar pergi, isu pokoknya adalah keselamatan. Dan aku melihat Turki kerana ia mewakili semangat Timur dan Barat secara serentak. Jika ada yang mahu pukul canang Turki negara sekular dan anak buah Amerika, aku tidak menghalang. Itu hanya kerja budak-budak.

3) Saiful bukan Setiausaha Sulit, Rahimi juga bukan walaupun khabarnya dia melobi dan pukul canang untuk jawatan itu. Sebahagian orang terdekat tahu kenapa Rahimi tidak boleh akses ke pejabat Dato' Seri Anwar lagi. Tapi biarkan perkara itu disimpan dulu.

4) Jika sebelum ini aku dan kawan-kawan melihat brain and man in power behind the issues ialah TDM, Najib, Gani Patail dan Musa Hassan (ini belum muktamad ya!), khabar tiris terkini ialah adanya penglibatan Ezam dalam isu ini.

Ada beberapa perkara lucu telah mula muncul dari peristiwa ini...beri perhatian dari banyak tulisan sekitar isu ini di blog-blog yang ada.

Selamatkan Malaysia!

1 comment:

  1. Salam.

    Saya telah banyak membaca komentar sdr di banyak tempat. Maaf saya mahu katakan sdr miskin akhlaq.

    Saya tidak mahu mengulas panjang. Sdr boleh terus dengan kemungkinan sdr. Untuk saya, kemungkinan2 yang sdr tunjukkan tidak cukup kuat kerana jelas sdr orang yang tidak buat revision sebelum menulis.

    Saya bukan menghina sdr, tapi saya rasa sdr boleh fikir sendiri..jika kebenaran yang sdr cari.

    Apa yang boleh saya sebut ialah saya menolak kes DSAI dari perspektif syariah dan juga logik. Tapi saya masih kekal mahukan sdr Saiful membuat pembuktian di mahkamah sebagai menghormati haknya
    (jika itu yang didakwa).

    ReplyDelete