Friday, September 5, 2008

Jumaat

Hari ini ada beberapa aktiviti yang serius, meski dilayan secara santai. Sejak jam 11 bergelut dengan perjalanan intelektual bersama sahabat editor UmmahOnline, sdr Aqil Fithri di UKM. Kami merancang dan akhirnya bertemu dengan Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud, anak murid kanan Profesor Syed Naquib Al-Attas. Dari ofisnya di ATMA kami berpindah ke perpustakaan peribadi beliau di Sungai Merab, singgahsana yang unik dan indah. Usai solat Jumaat kami sambung mendengar dan bertanya, berkongsi pandangan dan argumentasi sehingga sekitar jam 3.45 petang sebelum berpecah.

Hari ini habis hampir RM100 beli buku-buku di UKM. Dua bulan terakhir ini aku telah habiskan RM650 untuk buku. Kawan-kawan di rumah sudah mula bertanya sama ada aku akan beli rak baru kerana ruang sudah tidak ada dan sebahagian buku bersepah di merata tempat. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu risau buku aku hilang. Tidak seperti rumah lama, pencuri buku aktif mengambil peluang! Buku Gelombang Kebangkitan Asia dengan tandatangan penulisnya Anwar Ibrahim (aku ambil semasa beliau dibicara di mahkamah) telah hilang! Mujur aku berjaya dapatkan buku baru. Mungkin sebab itu Pak Khalid menulis amaran bahawa pencuri buku yang diwaqafkan ke Rumah Penulis Abdullah Munsyi di Bukit Beruntung akan didakwa di akhirat!

Malam aku di Jalan Telawi. Singgah di Coffee Bean bertemu 'Abidin tentang projek BERAS untuk tempoh ke depan. Kami berkongsi pandangan untuk membongkar perspektif sejarah Malaysia yang bersangkut dengan pandangan libertarian. Sebenarnya perkara ini ada aku bincangkan dengan Profesor Wan Mohd Nor. Perbincangan yang tidak panjang kerana obsesi beliau yang aku sedari lebih awal adalah isu yang lebih asas dan besar. Tapi alhamdulillah, dari dialog ringkas bersangkutan libertarian, aku kekal berpandangan bahawa ia tidaklah seburuk perspektif yang diberikan, mungkin ini ijtihad aqli yang di luar kosmos ijtihad hukmi.

Usai bertemu 'Abidin, aku bertemu teman-teman yang lebih awal mengupas Kitab Fusus al-Hikam karya Ibnu 'Arabi. Kitab Fusus al-Hikam dibaca dan diterjemah oleh Sadat dari Bahasa Arab sebelum perkongsian dibuat. Pak Khalid bergurau serius dengan kami "jangan risau jika tidak faham sekarang, ia mungkin mengambil masa hingga 20 tahun untuk memahaminya!".

Kami kemudian ke Davis Corner seperti selalunya, menikmati roti canai dan minum sambil berbual santai. Sebilangan rakan-rakan lain yang tidak ikut serta sebelumnya datang. Malam di Bangsar selalu menjadi malam yang bermakna. Dan aku pulang dengan kepuasan yang tertangguh - anak muda tidak harus lekas lelah dengan pergelutan hidup.

8 comments:

  1. Manusia pejuang Liberalisma tidak akan memahami Fusus Al-Hikam sampai dia menemui liang lahad.

    ReplyDelete
  2. alamak! akak mmg nak pulangkan buku2 ikd yg akak pinjam, cuma terlalu byk urusan sejak dari keluar pejabat itu dulu selepas menumpang sekejap... hu hu...(takut kena sumpahan pak khalid) anai-anai tak makan buku sampai licin, lagipun byk yg pasal libertarian ideas akak simpan utk khatamkan dulu

    ReplyDelete
  3. Terima kasih pondok Dungun.

    Untuk saya, mendoakan manusia menemukan kebenaran lebih mulia dari mengharapkan mereka terus sesat. Proses mencari kebenaran untuk saya lebih baik dari berasa diri serba tahu :)

    Syabas kerana sdr adalah orang yang paling faham agama di dunia! :)

    Sdri Munirah,

    Sebahagian buku-buku yang ada memang sukar ditemukan, malah boleh dianggap klasik untuk diwacanakan. Saya memahami dari konteks tersebut :)

    Prof Syed Naquib juga tidak begitu disenangi di kalangan mereka yang berasa diri mereka lebih tahu apa itu agama, tetapi saya belum menemukan buah fikir dari mereka ini yang sesuai diangkat sebagaimana hasil kerja Prof Syed Naquib. Elok sekali melihat pandangan beliau berkaitan "tempat" kerana ia punya hubungan intim dengan apa yang kita faham tentang keadilan.

    ReplyDelete
  4. Mendoakan kebenaran adalah satu hal yang lain. Duduk di atas kebenaran adalah satu yang lain pula. Tidak saya kata bahawa saya adalah orang paling faham dalam Agama. Fusus Al-Hikam hanya dapat difahami jika kamu bersedia menerima sunnatuLlah dan hak nubuwwah yang kamu ketepikan dalam faham Liberal kamu. Saya telah melihat dan membaca tafsiran merapu puak Liberal. Ilmu ada keahliannya jadi jika mahu mencari ilmu agama cari yang berotoriti. Jika tidak jerlus dalam lumpur hitam pekat.

    Kalau kamu belum faham Agama jangan jadi perosak Agama. Sebab perosak Agama itu berada di dasar neraka jahannam. Jangan pula mengata yang aku mengecap kamu ahli neraka. Ianya sekadar ingatan.

    Ok !

    ReplyDelete
  5. Be original wahai pewaris reformasi !. Jangan berselindung di sebalik nama ilmuan-ilmuan. Yang pasti lingkaran zaman ini bukan sahaja membelenggu sipewaris tetapi yang mewariskan ilmu juga. Jika tidak maka mereka juga telah menjumpai kebenaran dan bercakap atas kebenaran.

    Mengapa berlingkar dalam kesesatan jika kebenaran itu ada bertengek di depan matamu ?

    ReplyDelete
  6. terima kasih Korban Demokrasi,

    saya rasa sdr gagal memahami libertarian dari sudut pandang saya. apapun, saya tidak menghalang untuk sdr terus menuduh kerana saya akan terus mendokong hak berbeza pandangan dan pegangan secara aman.

    semudah mana sdr mengeluarkan kenyataan berbunyi 'kebenaran' dan 'kesesatan', saya memilih untuk terus bergelut dengan persoalan ilmu sebagai alat mencari kebenaran. dan kebenaran yang saya cari tidak ada kena mengena dengan persoalan menafikan sunnatullah dan nubuwwah, sebaliknya menguatkan pegangan saya terhadapnya.

    saya tidak perlu berselindung di sebalik nama ilmuan, tetapi menjadi beradab jika kita memetik sumbernya. sahabat saya Sadat adalah lulusan timur tengah dan ilmu yang sdr kata autoriti itu dipelajarinya, apa salah jika saya dan rakan-rakan ikut hadir mendengarkannya? apa pula autoriti yang sdr ada untuk menafikan hak saya terhadap ilmu?

    saya mencari autoritatif hujah, bukan autoriti penghujah. Ia jauh lebih baik dari mendengar 'khutbah songsang BTN'!

    katakan saja - cemburu sdr pada arus Reformasi telah mengeheret kebencian yang tidak ada asasnya dalam agama!

    ReplyDelete
  7. Apakah asas faham kamu. Apakah justifikasinya dengan warisan keilmuan berotoriti yang ada dalam Agama ?. Segala pandangan yang kamu bawa tidak asli. Seburuk-buruk taqlid.

    Semuanya ikut-ikutan perasaan bangga ilmu yang dikutip dari filosuf-filosuf barat. Apa yang anda geluti ?. Adakah karya-karya manusia sesat ? Aku tidak menafikan hak kamu terhadap ilmu tetapi mengapa kamu jika masih dalam pergelutan mencari kebenaran tetapi telah menetapkan kebenaran itu melalui jalan yang kamu ambil itu.

    Autoritatif hujjah hanya ada pada karya haq. Tetapi kerana kamu telah menetapkan jenis haq yang kamu yakini walaupun mengakui dan berkata bahawa masih bergelut dengan pencarian kebenaran itu maka kamu menjadi kesasaran.

    Tidak aku cemburui kecuali apa yang dicemburui oleh Allah dan RasulNya. Kemenangan yang batil tiada sebab untuk dicemburui !. Buanglah sangkaan jahatmu itu. Ia tidak membawa kepada pesiapan untuk menerima kebenaran. Inilah satu lagi kelemahan besar para penganjal akal kaum reformis seperti kamu. Sangkaan bahawa semua manusia adalah sebusuk hatinya. Maka bagaimanakah sangkaan busuk ini dapat membawa kamu kepada hikmah dan penemuan kebenaran ? Jauh panggang dari api !

    Ok !

    ReplyDelete
  8. Saya jawab persoalan sdr dalam entri Nanar.

    ReplyDelete