Tuesday, September 23, 2008

Pasaran Bebas

Aku telah sedar lebih awal, malah aku suarakan di blog ini sekitar isu minyak.

DS Anwar akan berdepan dengan kesulitan pencinta aliran Sosialisme bila mengusulkan Pasaran Bebas sebagai manifesto parti. Sebenarnya pegangan DS Anwar ini sudah lebih awal dijelaskannya, lama sebaik keluar dari penjara dan dipertahankannya. Pasaran bebas adalah tiang dari idea liberalisme klasik yang didokong dengan tiang-tiang lain. Aku juga bicara aspek ini dengan sebilangan teman sebelumnya dari kalangan aktivis dakwah yang skeptikal dengan idea ini.

Mengkritik idea liberalisme klasik, sosialisme atau apa juga namanya tidak salah. Malah aku sangat suka kerana ia akan mengkayakan pemahaman kita dan membantu kita mengolah kehidupan dengan lebih baik. Terlanjur ada yang bertanya di chatbox aku, maka aku mahu menjawab sedikit.

Cadangan aku begini:

Kelompok Islamis yang mahu mengkritik liberalisme klasik harus memahami dari mana mereka harus bermula. Seharusnya bukan dari rujukan yang salah. Sama juga bila kita mahu mempersoalkan pendekatan-pendekatan Islamis atau siapa saja. Asas kritikan mesti jelas. Bab asas kritikan ini juga aku bincang santai tetapi agak panjang dalam kereta bersama Aqil Fithri dan Kak Munirah dalam facebook - kedua-duanya berkaitan isu bahasa.

Dalam erti kata yang lain, tiang-tiang liberalisme klasik yang asas iaitu 1) Tanggungjawab individu (individual responsibility, boleh juga dibaca sekali sebagai individual liberty). 2) Kedaulatan undang-undang, 3) Pasaran bebas dan 4) Kerajaan terhad. Keempat-empat tiang ini berdiri serentak seumpama kerusi, jika patah satu kaki maka ia tidak stabil. Sebab itu, mereka yang mahu wewenang menolak kapitalisme (yang tentunya dilindungi dari idea pasaran bebas) perlu faham dan bermula dari garis yang betul.

Bukankah kelompok Islamis sering menggesa pihak lain merujuk sumber yang berautoriti? Aku pula menekankan lebih sedikit - yang berautoritatif. Bukan aku tidak percaya autoriti. Sebagaimana aku jelaskan kepada YB Nik Nazmi dan sdr Hilmi semalam, bila idea masuk ke ruang awam (public sphere yang tentunya kredit kepada Juergen Habermas!), ia harus bergerak dalam bentuk pasaran. Kita jangan lekas marah jika kita gagal menterjemahkan idea kita untuk diyakini. Aku lihat kelompok yang bersetuju dan mempromosi idea libertarian tidak jengkel menjadi minoriti juga di Amerika! (Ini pun satu masalah bila orang melihat idea liberalisme sama dengan Amerikanisasi).

Kelompok Islamis harus memikirkan realiti sejarah yang membenarkan perdagangan bebas di rantau ini yang membolehkan Islam sampai. Dalam idea pasaran bebas juga menekankan hak pemilikan harta (property rights) di mana kita tidak boleh mengambil harta orang lain tanpa hak. Dalam Islam sendiri bersetuju bahawa kita tidak boleh mencuri. Islam menganjurkan zakat dengan nilaian peratusan yang rendah dan idea libertarian untuk merendahkan malah menghapuskan cukai cukup dekat dengan pandangan ini. Islam juga banyak mengusulkan institusi waqaf malah ulama'-ulama' besar mengelak menjadi sebahagian dari kerajaan di mana ini adalah unsur tanggungjawab individu dan kerajaan terhad yang juga diusulkan oleh libertarian. Sebab itu aku percaya, idea liberalisme klasik adalah antara yang paling hampir dengan pandangan Islam.

Dr. Syed Husin Ali sendiri mengakui argumentasi libertarian bila beliau secara berseloroh dalam Seminar Gagasan dan Kebijakan yang dianjurkan IKD di Quality Hotel (hari di mana DS Anwar dituduh Saiful melalui laporan polis). Katanya berseloroh "pandangan bahawa subsidi minyak menguntungkan orang kaya ada kebenarannya dan kita perlu mengkaji pandangan balas terhadap pandangan ini".

Sebenarnya lebih banyak yang perlu dihurai. Sebagai orang yang pernah rapat dengan UBU dan berkawan dengan pelbagai jamak pandangan, aku tidak ralat dengan argumentasi malah berterima kasih untuknya. Akhirnya kita berkongsi sebuah kehidupan yang sama dan kita harus berterusan mengolah kebijaksanaan untuk manfaat ramai.

Kapitalis tidak semua memahami libertarian tetapi seorang yang memahami idea libertarian berpotensi menjadi kapitalis yang baik. Idea bahawa kapitalis sentiasa mencari keuntungan sebenarnya boleh diperdebatkan lagi dan tidak terhenti setakat itu.

Pandangan aku mungkin sensitif, tetapi dari hal yang sama kami mengemukakan pandangan kepada seorang ustaz PUM (yang aku ceritakan sebelum ini). Hajat di hati memang mahu melihat Islamis lebih matang dalam berhujah, maka teruskan usaha kalian. Aku kekal berpegang dengan pandangan sebagaimana dalam UmmahOnline sebelum ini - pengalaman akan menyuntik kesederhanaan kepada kita.

Apa yang boleh aku anjurkan ialah:
1) Luaskan pergaulan, banyakkan mencabar apa yang kita percaya untuk tujuan mengukuhkannya atau memperbaikinya.
2) Bersabar dan tidak lekas membuat kesimpulan.
3) Berlaku adil - meletakkan sesuatu pada tempatnya.
4) Tidak fanatik, malah sentiasa merasakan diri ini tidak cukup (bukan untuk inferiority, tetapi orang Melayu kata ikut resam padi dan sentiasa rasa diri nak belajar dan sedia diajar, malah berkongsi sebagai satu tanda sentiasa mengajar tanpa niat berasa lebih hebat)
5) Sentiasa memaafkan kelemahan dan menggalakkan daya saing yang sihat.
6) Memahami equality before the law.
7) Niat yang baik dan pengakuan hakiki bahawa ilmu Allah s.w.t. itu Maha Luas.
8) Menghormati kemuliaan insan dalam erti kata semua ada potensi untuk maju.

Tentu banyak lagi, dan kalian lebih tahu.

* Kadang-kadang jengkel sedikit menulis macam orang baik ni, hehe
** Untuk kawan-kawan Islamis, kamu adalah saudaraku dan aku tidak bermaksud memperlekehkan kamu kerana keadilan Tuhan itu tidak mampu aku pujuk dengan lembut lidahku atau spekulasi mindaku.
*** Untuk kawan-kawan yang bukan Islam, agamaku mengajar aku melihat kalian sebagai insan yang dimuliakan Tuhan, mana mungkin redha aku pada penindasan dan kezaliman melainkan sedaya-upaya kudratku memikirkan jalan penyelesaian untuk dilaksanakan untuk semua.

2 comments: